Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

TraceTogether selamat, privasi terjamin

Vivian: Polis akan ikut undang-undang jika guna data TraceTogether dalam siasatan jenayah serius; Rang Undang-Undang Covid-19 (Langkah-Langkah Sementara) (Pindaan) dilulus
Feb 03, 2021 | 05:30 AM



RAMAI penduduk Singapura yakin penggunaan TraceTogether selamat dan dapat melindungi kesihatan awam, dengan polis akan bertindak secara wajar dan mengikut undang-undang apabila menggunakan data daripada sistem penjejakan kontak itu bagi siasatan jenayah yang serius.



Menekankan demikian semalam, Menteri Bertanggungjawab bagi Inisiatif Negara Bijak, Dr Vivian Balakrishnan, bahkan berkata lebih 390,000 pengguna baru dicatat dalam tempoh sebulan lalu.



Ini meskipun bulan lalu beliau akur dengan kesilapannya sebelum ini yang menyatakan data aplikasi atau token TraceTogether itu hanya boleh digunakan untuk tujuan penjejakan kontak sahaja.



Namun Dr Balakrishnan kemudian menjelaskan data itu sebenarnya juga boleh digunakan polis bagi siasatan jenayah serius.



"Rumusan mudah saya adalah meskipun warga Singapura tahu saya salah cakap, mereka juga percaya sistem TraceTogether kita selamat. (Sistem itu) melakukan yang sewajarnya. Ia melindungi kesihatan awam, dan mereka juga percaya polis akan bertindak mengikut undang-undang," kata Dr Balakrishnan, yang juga Menteri Ehwal Luar, di Parlimen.



Kini, lebih 80 peratus penduduk warga Singapura menyertai program TraceTogether, yang bertujuan menjejak kontak dalam usaha menangani kes penularan Covid-19.



Bagaimanapun, Dr Balakrishnan berkata beliau juga kesal seramai 350 individu telah meminta pemerintah menghapuskan data TraceTogether dalam tempoh sebulan lalu. Mereka yang tidak menggunakan TraceTogether akan menjejas keselamatan diri mereka dan keluarga mereka, kata Dr Balakrishnan.



Di Parlimen bulan lalu, Dr Balakrishnan menjelaskan polis mempunyai kuasa di bawah Kanun Prosedur Jenayah (CPC) untuk mengarahkan sesiapa memberi data, termasuk di bawah sistem TraceTogether, bagi tujuan siasatan jenayah.



Beliau akur beliau "tidak terfikir" tentang CPC apabila beliau menyebut Jun lalu bahawa data itu hanya akan digunakan untuk penjejakan kontak.



Beliau menjelaskan semalam bahawa beliau sedar bahawa data itu boleh digunakan bagi siasatan jenayah serius apabila ini ditimbulkan seorang penduduk pada Oktober lalu. Dr Balakrishnan kemudian melakukan pengesahan dan mengadakan perbincangan dengan beberapa anggota Kabinet.



Semalam, Rang Undang-Undang Covid-19 (Langkah-Langkah Sementara) (Pindaan) diluluskan bagi memberi jaminan bahawa data TraceTogether akan dihadkan bagi penjejakan kontak Covid-19 dan siasatan jenayah serius sahaja.



Langkah itu bertujuan menghapuskan sebarang keraguan dalam kalangan rakyat Singapura dan memberi jaminan bahawa data akan dilindungi dengan betul dan digunakan sewajarnya, kata Dr Balakrishnan.



Data TraceTogether boleh digunakan bagi siasatan terhadap tujuh kategori jenayah serius yang ditetapkan sehingga pemerintah menghentikan penggunaan sistem TraceTogether dan SafeEntry apabila pandemik berakhir.



Ini seperti dalam kes penggunaan bahan letupan, senjata api atau senjata bahaya; pengganasan; pembunuhan; kesalahan dadah yang membawa kepada hukuman mati; larikan diri dari tahanan di mana seseorang dijangka cederakan orang lain; penculikan; dan rogol.



Anggota Parlimen (AP) yang menyertai perbahasan mengenai penggunaan TraceTogether itu semalam rata-rata menyokong jaminan yang diberikan Dr Balakrishnan, dan akur pentingnya polis mempunyai akses kepada data dalam kes jenayah yang serius.



Pemimpin pembangkang, Encik Pritam Singh, juga menyokong.



Beliau berkata privasi warga Singapura lebih terjamin di bawah rang undang-undang tersebut.



Namun, Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Encik Leong Mun Wai, daripada Parti Kemajuan Singapura (PSP) berkata partinya tidak menyokong rang undang-undang itu kerana langkah pemerintah yang nampak seperti mengubah pendirian hingga menjejas keyakinan rakyat.



Dr Balakrishnan berkata beliau yakin pemerintah membuat perkara yang sewajarnya dengan bersikap telus dengan rakyat mengenai kesilapannya, dan memberi jaminan tentang penggunaan data tersebut.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >