Transformasi SPH Media dalam era digital, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:30
Syuruk
6:53
Zuhur
12:56
Asar
4:19
Maghrib
6:56
Isyak
8:10
Suatu Ketika di Singapura
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat0

SEDUTAN UCAPAN KHAW BOON WAN SEBAGAI PENGERUSI SPH MEDIA TRUST

Transformasi SPH Media dalam era digital

May 13, 2021 | 05:30 AM

AKHBAR utama SPH Media, The Straits Times (ST), Lianhe Zaobao (ZB), Berita Harian (BH) dan Tamil Murasu (TM), adalah institusi penting. Mereka mencatat sejarah kita, dengan liputan menyeluruh berita tempatan dalam keempat-empat bahasa.

Mereka membantu menyatukan kita sebagai satu bangsa dan menyampaikan nilai penting kepada golongan muda. Mereka juga membuat liputan mengenai peristiwa global dan mentafsirkannya buat warga kita, memberi perspektif Singapura dan menyampaikan suara Singapura kepada dunia.

Kita bangga dengan penerbitan ini dan bilik berita yang menghasilkannya. Bakat di bilik berita telah menghasilkan produk bermutu tinggi yang dapat kepercayaan pembaca.

Namun, revolusi digital menjejas teruk industri media. Ekonomi mereka tergugat.

Pertama, wadah seperti Facebook dan Google telah mengambil sebahagian besar pendapatan iklan media. Kedua, kini terdapat banyak isi kandungan dalam talian, banyak yang percuma, bersaing bagi perhatian pembaca.

Halal Home Based Business
Lauk Malam Raya by ZaraRasya

Yang pasti puas hati! FREE DELIVERY & 1.5l bottled...

Uncle Big's Kitchen

Shellout Platter Besar...dan banyak lagi!

OKathira!

Air kathira luar biasa. Banyak inti, tak rugi!

Do you own a Halal Home-based Business in Singapore? List your products on Berita Harian

Ketiga, ini telah mengubah tabiat membaca generasi baru. Mereka sekarang mengetahui apa yang berlaku daripada media sosial dan kumpulan sembang mereka, dan kurang daripada membaca surat khabar harian, terutama dalam bentuk cetak.

Bersama dengan akhbar dalam kumpulan sama, BT, WB, Shin Min dan TNP, SPH Media telah dapat mengekalkan pembacanya sejauh ini, tetapi jumlah sama tidak memberi jaminan kejayaan masa depan.

Pemerintah telah melihat ini sejak beberapa tahun lalu. Masyarakat kita akan menjadi lebih lemah jika media arus perdana tempatan semakin berkurangan dan tidak dapat menyediakan berita dan analisis yang boleh dipercayai.

TANGANI PERSAINGAN SENGIT

Berdepan dengan serangan hebat maklumat - tidak selalunya bersifat fakta atau tepat, dan kadangkala palsu semata - kewartawanan yang boleh dipercayai adalah satu kebaikan awam dan harus disokong.

Oleh itu, pemerintah menggalak SPH Media agar meningkatkan keupayaan dalam persaingan sengit ini. Pengalaman NYT, FT dan beberapa akhbar lain menunjukkan transformasi media digital yang serius, walaupun bukan satu ubat ajaib, dapat membantu membangun masa depan dan kesinambungan bagi syarikat media yang memberi tumpuan kepada kewartawanan bermutu.

Menjadi digital bukanlah perkara baru bagi SPH Media, tetapi kita sekarang perlu meningkatkan dengan lebih tegas dan muktamad untuk meningkatkan jumlah pembaca dengan pantas terutama dalam kalangan golongan muda. Ini akan memerlukan pelaburan besar dalam transformasi media digital, pelaburan yang memerlukan masa lama untuk mendapatkan hasilnya.

Pemerintah bersedia membantu SPH Media membangun keupayaan, inovasi perintis, selain mempertingkat kemampuan untuk meningkatkan kesan dan jangkauan. Namun, walaupun dengan jumlah pembaca semakin meningkat, kemampuan menaikkan pendapatan digital untuk mengatasi penurunan hasil pendapatan cetak yang berterusan merupakan satu cabaran kewangan utama.

CABARAN SATU FENOMENA GLOBAL

Cabaran yang dihadapi akhbar kita tidaklah unik bagi Singapura. Ia adalah satu fenomena global. Surat khabar bermutu di seluruh dunia menghadapi cabaran ini. Banyak yang gulung tikar kerana tidak dapat menanggung kerugian kewangan. Sebilangannya, seperti Washington Post dan SCMP, mempunyai hartawan untuk membiayai operasi media mereka.

Yang lain telah mengambil jalan ke arah politik perpecahan untuk menaikkan langganan, menyimpang daripada misi asalnya.

Di Singapura, kita harus menempah jalan kita sendiri. SPH Media perlu membangunkan model yang berkemampanan dari segi kewangan dan akan membolehkannya terus menyediakan produk bermutu tinggi dan dipercayai pembacanya.

Apa yang jelas model syarikat yang tersenarai bukan lagi struktur perniagaan terbaik bagi kewartawanan bermutu. Walaupun sumbernya ada, pemegang saham tidak mempunyai kesediaan untuk mengekalkan pelaburan dalam peningkatan keupayaan dan transformasi digital.

Tanpa satu penyusunan semula yang radikal, bilik berita akan terus dihimpit; mutu dan langganan produk mereka akhirnya akan merosot.

Mangsa pertama kemungkinan nya adalah akhbar bahasa ibunda. Ini akan menjejas masyarakat berbilang kaum kita. Tanpa sokongan kewangan yang tetap dan besar daripada pemerintah, SPH Media boleh segera muflis. Ia akan menjadi satu perjuangan sukar untuk mempertahankan kewartawanan bermutu demi kebaikan awam.

BERITA OLEH WARGA, BUAT WARGA

Seperti yang ditegaskan Menteri Iswaran di Parlimen pada Isnin, "media bermutu tinggi, profesional dan dihormati, yang melaporkan berita oleh warga Singapura buat warga Singapura, amat penting bagi struktur negara kita".

Inilah peranan yang dikehendaki pemerintah yang dimainkan media tempatan. Ini juga pendekatan saya melihat peranan nasional media. Kami akan melakukan semua yang diperlukan untuk memastikan bahawa SPH Media berjaya dalam peranan ini.

Penyelesaiannya adalah untuk mengeluarkan perniagaan media SPH daripada syarikat tersenarai, dengan persetujuan pemegang saham SPH dan memindahkannya menjadi SPH Media Trust, satu syarikat berhad dengan jaminan, atau company limited by guarantee (CLG).

Ini membolehkan kami mengekalkan disiplin kewangan sebuah perusahaan komersial dan pada masa sama, boleh mendapatkan pembiayaan daripada pemerintah serta sumber lain bagi pelaburan besar dalam transformasi digital, sesuatu yang bukan menjadi pilihan pemegang saham dalam syarikat tersenarai.

CLG itu harus memberi keterangan bagi pembiayaan awam yang diterima dan dana itu akan digunakan bagi tujuan membina keupayaan.

Pembiayaan sedemikian sudah pun wujud dan ditawarkan kepada syarikat lain, termasuk Mediacorp.

Sembilan Pemegang Saham Pengurusan SPH telah diminta membentuk SPH Media Trust, untuk mengambil alih perniagaan media SPH.

Mereka telah bersetuju menjadi anggota pengasas CLG itu untuk meneruskan misi mereka menyokong kewartawanan bermutu tinggi.

Kami akan kemudian mengembangkan keanggotaan CLG untuk turut merangkumi syarikat mantap lain, khususnya syarikat dalam ekonomi digital.

Bersama, mereka akan menjadi pemegang amanah SPH Media Trust dan dipertanggungjawabkan dengan misi penting melindungi bilik berita bermutu tinggi dan boleh dipercayai di Singapura, selain terus memenuhi misi kebaikan buat orang awam.

Tarikh pemindahan syarikat itu dirancang pada 1 September, paling awal. Anggota pengasas CLG itu telah meminta saya menjadi pengerusi. Saya menerima tanggungjawab berat ini.

PASTIKAN PERALIHAN LANCAR

Keutamaan segera saya adalah memastikan peralihan lancar, tanpa gangguan kepada perniagaan media sekarang. Kesemua 2,500 kakitangan media dan berkaitan media SPH akan berpindah ke SPH Media Trust.

Encik Patrick Daniel akan mengendalikan SPH Media Trust sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) sementara. Beliau sebelum ini memegang jawatan Ketua Editor Kumpulan Media Inggeris/Melayu/Tamil SPH dan Timbalan CEO SPH. Oleh itu, saya menjangka peralihan ini berjalan dengan lancar.

Saya berterima kasih kepada Encik Daniel kerana bersetuju membantu kami. Seperti saya, beliau juga sedang menikmati persaraannya. Namun, beliau secara peribadi mahu melihat SPH Media berjaya.

Saya telah meyakinkannya bahawa saya akan mula mencari CEO yang akan memajukan SPH Media pada masa akan datang sebagai pertubuhan media digital berbilang bahasa, yang boleh memahami kedua-dua Timur dan Barat namun tetap mempunyai jiwa Singapura serta menjadi antara yang terbaik di dunia.

Dengan itu, kami boleh menangani cabaran ini:

a) Bagaimana mahu mempertingkat produk digital sekarang?

b) Bagaimana mahu menambah jumlah pembaca, khususnya di kalangan golongan muda?

c) Bagaimana mahu menambah keuntungan hasil digital untuk mengatasi keuntungan media cetak yang berkurangan?

Saya akan bekerjasama dengan pasukan SPH Media Trust ini untuk melakar strategi dan melaksanakannya dengan berhati-hati. Kami akan mendapatkan kepakaran yang kami tiada.

Kami akan belajar daripada usaha transformasi media digital yang berjaya. Kami akan memanfaatkan sokongan pembiayaan pemerintah untuk membina keupayaan.

TUBUH AKADEMI MEDIA

Bilik berita sekarang dibina bagi era media cetak dan mereka harus diubah lagi bagi era telefon bimbit dan tablet.

Kini, kami harus memanfaatkan teknologi dan wadah digital untuk mengeluarkan kandungan itu secara aktif bagi mendekati pelanggan dan bukan pelanggan kami.

Untuk berjaya dalam usaha ini, kami harus menjalin hubungan bermakna dengan pelanggan dan bukan pelanggan, serta mendengar mereka dan memahami tabiat digital mereka, selain menyesuaikan kandungan kami agar sesuai dengan gaya hidup dan keinginan mereka.

Selepas kami sudah menstabilkan peralihan ini, kami akan menubuhkan Akademi SPH Media untuk melatih kakitangan baru secara sistematik dan meningkatkan kemahiran kakitangan. Akademi ini akan menjadi wadah berguna bagi kakitangan membina semangat berpasukan, meningkatkan kerjasama serta mengukuhkan nilai dan komitmen kepada kewartawanan yang bermutu tinggi dalam era digital.

Tanggapan jelas saya sejauh ini adalah bilik berita bersedia menyahut cabarannya. Mereka sedar tentang peranan nasional yang dimainkan media dan mereka tidak boleh gagal dalam misi ini.

Secara ringkas, kami akan mempertingkat kapasiti media digital mereka. Kami akan membangunkan pasukan teknologi digital terbaik untuk menyokong transformasi.

Kami akan memperkasa bilik berita dengan kemahiran dan alat dalam grafik, video, teknologi, desain dan data untuk menjadikan pengalaman seharian membaca berita lebih mudah, menambat minat dan menawan hati. Ini memerlukan usaha bersama dalam kalangan wartawan, jurutera IT dan karyawan media dalam talian.

PASTIKAN SUMBER MENCUKUPI

Kami juga akan memastikan jumlah kakitangan bilik berita mencukupi agar mereka mempunyai kapasiti mendekati pembaca dengan bermakna. Kami sedang mengusahakan pelaburan tambahan yang akan diperlukan untuk usaha ini.

Namun ingat: transformasi satu perjalanan. Ia bukan sekadar satu latihan teknikal. Ia juga satu transformasi budaya. Ia mengambil masa dan usaha bagi perubahan budaya berlaku.

Bahkan bagi sebuah projek baru, adalah sukar memulakan sebuah syarikat media baru. Adalah beberapa kali lebih sukar bagi sebuah syarikat yang sudah wujud dengan tradisi korporat yang mapan.

Untuk memberi satu gambaran: Saya belum lagi memeriksa prasarana IT SPH Media yang sedia ada. Saya tidak akan rasa terkejut jika legasi sistem IT akan menghambat usaha kami untuk dengan segera mempertingkat produk digital kami.

Kami akan bekerja keras untuk mengatasi kekangan ini. Kami berharap pembaca dan pelanggan akan bersabar dengan kami sedang kami memperbaiki dan menggantikan "paip digital".

Selain menangani keperluan segera, kami juga mesti merancang bagi masa depan. Kami akan terus merekrut dan melatih generasi wartawan seterusnya dan menyediakan mereka kerjaya memuaskan yang lama.

PERTINGKAT BIASISWA SPH

Mulai tahun depan, kami akan mempertingkat anugerah Biasiswa SPH, bukan hanya dalam bidang kewartawanan, namun juga dalam bidang digital.

Kami juga akan mengaturkan program bekerja sambil belajar bagi mahasiswa setempat untuk mendedahkan mereka kepada kerjaya dalam kewartawanan dan media digital.

Bagi wartawan, kami akan mengaturkan fellowship dan program bekerja sambil belajar di bilik berita bertaraf dunia bagi menjalin rangkaian global dan kemungkinan kerjasama rentas sempadan.

Kami bertekad menjadikan bidang kewartawanan sebagai profesi menarik yang menawarkan kerjaya yang mendatangkan kepuasan kepada lelaki dan wanita muda yang berbakat dan bercita-cita tinggi.

Saya optimistik kami boleh berjaya berdasarkan tiga pemerhatian:

a) Pertama, kami mempunyai wartawan serius dan bakat kreatif dalam bilik berita kami, komited kepada misi dan sangat berminat. Saya akan membantu mereka merealisasikan cita-cita mereka.

b) Kedua, kami mempunyai sokongan kuat PM Lee dan pemerintahnya. Mereka tahu bahawa mempunyai sumber berita dan maklumat yang boleh dipercayai kekal penting bagi pembangunan negara.

Meskipun kita mesti menawarkan pelbagai sudut pandangan, kita tidak boleh pergi ke laluan media yang memecahbelahkan dan merosakkan, atau kewartawanan clickbait yang memenuhi kehendak mata yang melihat tetapi gagal memberikan maklumat atau mendidik pembaca.

Inilah kepentingan yang mendorong kumpulan saya. Jika tidak, Patrick Daniel dan saya tidak akan keluar daripada persaraan untuk mengusahakan projek nasional ini.

c) Ketiga: saya percaya masyarakat perniagaan kami akan menyokong kami. Saya mendapatkan pandangan beberapa karyawan kanan daripada sektor swasta. Mereka bukan daripada media, tetapi mereka telah memerhatikan kesan memusnahkan terhadap masyarakat apabila media bermutu tunduk kepada gangguan digital.

BAB BARU SPH

Ini merupakan permulaan sebuah bab baru bagi SPH Media.

Kali terakhir kami mempunyai penyusunan semula yang besar adalah pada awal 1980-an apabila surat khabar digabungkan dan disatukan. Ia adalah untuk menghadapi realiti komersial ketika itu demi memastikan daya maju surat khabar bermutu di Singapura.

Kini, objektif strategik itu kekal sama: untuk memelihara akhbar bermutu dalam kesemua empat bahasa yang dipercayai pembaca, dan untuk mengekalkannya buat jangka panjang.

Begitu juga, nilai dan prinsip yang menyokong jenama kewartawanan kami tidak berubah; kewibawaan dan profesionalisme wartawan kami; dan kebebasan bilik berita kami.

PM Lee mengingatkan kami semasa acara Ulang Tahun Ke-170 ST bahawa "...anda mesti...sedar akan peranan penting anda di Singapura, dan terus mengekalkan ciri laporan boleh dipercayai, seimbang dan objektif anda… mengambil perspektif jangka panjang mengenai kepentingan Singapura, dan melaporkan berita untuk rakyat Singapura melalui kaca mata rakyat Singapura. Maklum, didik dan hiburkan - kira-kira mengikut urutan itu".

Hari ini, hampir enam tahun kemudian, laporan boleh dipercayai, seimbang dan objektif adalah sama penting seperti sebelumnya.

Begitu juga dengan mengambil perspektif jangka panjang mengenai kepentingan Singapura, dan melaporkan berita untuk rakyat Singapura melalui kaca mata rakyat Singapura. Namun sejak PM Lee mengatakan demikian, gangguan digital telah memperluaskan lagi jurang antara media tradisional dengan media baru. Ia tidak lagi mencukupi bagi surat khabar untuk "maklum, didik dan hiburkan".

Dengan penyebaran berita dan berita terkini sepanjang masa, keupayaan media tradisional untuk memberikan maklumat bukan lagi satu faktor pembezaan. Persaingan kini dalam analisis yang mendalam dan pandangan asal, dan juga dalam pembentangannya. Kami perlu segera mengemas kini misi kami bagi era digital. Saya membincangkan ini bersama PM Lee dan beliau setuju dengan analisis ini.


"Secara ringkas, kami akan mempertingkat kapasiti media digital mereka. Kami akan membangunkan pasukan teknologi digital terbaik untuk menyokong transformasi.
Kami akan memperkasa bilik berita dengan kemahiran dan alat dalam grafik, video, teknologi, desain dan data untuk menjadikan pengalaman seharian membaca berita lebih mudah, menambat minat dan menawan hati. Ini memerlukan usaha bersama dalam kalangan wartawan, jurutera IT dan karyawan media dalam talian."

- Encik Khaw Boon Wan.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map