Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Tubuh lebih cergas, disiplin lebih mantap hasil Perkhidmatan Negara

Nov 05, 2017 | 05:30 AM



Sempena ulang tahun Perkhidmatan Negara yang ke-50 (NS50) tahun ini, pelbagai daya usaha dan acara telah dianjurkan bagi memberi penghormatan kepada setiap anak lelaki Singapura yang telah dan sedang menjalani Perkhidmatan Negara (NS). Bagi memahami dengan lebih mendalam latihan NS yang dijalani - satu pengalaman yang tidak dilalui kaum Hawa - dua wartawan wanita Berita Minggu, ERVINA MOHD JAMIL (ervinamj@sph.com.sg) dan IRMA KAMARUDIN (irmak@sph.com.sg), mengikuti beberapa latihan yang dijalani anggota NS sepenuh masa (NSF) polis di Akademi Home Team baru-baru ini. Mereka kini lebih faham bukan sahaja latihan yang dijalani NSF polis itu, malah lebih menghargai dan sedar peranan penting yang dimainkan anggota NS serta pengorbanan dan aspirasi mereka. Ikuti laporan mereka di halaman ini dan halaman sebelah.



APABILA mereka memasuki Perkhidmatan Negara (NS) sekitar 12 minggu lalu, Konstabel Khas Pelatih (TSC) Izzat Syahmi Namdi dan Haiqal Anwar Harneis mempunyai berat badan yang berlebihan.



Dua anak muda berusia 20 tahun itu juga baru tamat pengajian mereka - TSC Izzat Syahmi daripada Politeknik Ngee Ann dalam bidang teknologi aeroangkasa, dan TSC Haiqal Anwar daripada Politeknik Singapura dalam bidang kejuruteraan aeronautika - sekitar empat bulan sebelum memasuki NS.



Namun, dalam sekitar 10 minggu lagi mereka akan selesai menjalani latihan asas mereka di Akademi Home Team (HTA) dan menyarungkan baju seragam biru sama yang dipakai pegawai polis biasa, dengan memikul tanggungjawab yang sama beratnya.



"Apabila kami memakai baju seragam biru ini kami tahu kami telah diberi amanah dan tanggungjawab sama yang digalas pegawai polis biasa... tiada bezanya antara pegawai biasa, anggota NS sepenuh masa (NSF) dan anggota kerahan (NSmen).



"Oleh itu, kami harus menjalankan tanggungjawab ini dengan baik juga," kata TSC Haiqal Anwar yang berharap dapat berkhidmat dengan Divisyen Polis Lapangan Terbang selepas selesai menjalani latihan asasnya.



Sejauh ini, latihan yang mereka jalani sama dengan latihan yang diikuti pegawai biasa.



Antaranya, termasuk latihan fizikal, taktik pertahanan polis, bantuan kecemasan, menembak, balapan berhalangan standard polis atau police standard obstacle course (PSOC) dan kelas undang-undang.



Ini antara lain kerana mereka juga akan ditugaskan bersama pegawai biasa itu selepas selesai menjalani latihan asas mereka.



Hasil latihan yang dijalani sepanjang 12 minggu lalu, dua sahabat daripada skuad yang sama itu sudah mula melihat perubahan pada diri mereka.



Antara perubahan yang paling ketara ialah mereka berdua telah berjaya mengurangkan berat badan dan mencapai tahap fizikal yang lebih baik.



TSC Izzat Syahmi berjaya mengurangkan berat badan sebanyak lapan kilogram dan kini berat badannya 68 kilogram berbanding 76 kilogram sebelum ini, manakala TSC Haiqal Anwar berjaya mengurangkan berat badannya sebanyak lebih 11 kilogram kepada 66.5 kilogram berbanding 78.1 kilogram sebelum ini.



"Sebelum masuk NS, saya mudah rasa penat selepas lari atau bersenam sedikit.



"Sekarang saya dah biasa. Waktu yang saya catat bagi ujian larian 2.4 kilometer pun sudah dikurangkan dan saya dah lulus IPPT (Ujian Kecekapan Jasmani Perseorangan)," kata TSC Haiqal Anwar.



TSC Izzat Syahmi pula, yang banyak menghabiskan masa bermain permainan komputer seperti Assassin's Creed dan bergantung pada pembantu rumahnya sebelum ini, mendapati tahap kecergasannya telah bertambah selepas menyertai NS.



Malah, beliau juga mendapati dirinya lebih yakin dan berdikari.



"Dulu saya ada banyak tabiat yang tidak baik tapi sekarang saya dah kurangkan bermain permainan komputer, lebih rajin cuci baju dan pinggan mangkuk sendiri, gosok baju dan tolong ibu bapa saya.



"Dulu pun saya kurang keyakinan diri tetapi kini saya diberi lebih banyak tanggungjawab, antaranya sebagai pemimpin skuad yang perlu memberi arahan kepada skuad saya," kata anak sulung daripada keluarga tiga beradik itu, yang ingin berkhidmat dengan Pasukan Respons Darat (GRF) polis selepas selesai menjalani latihan asasnya.



Meskipun mereka akui tidak tahu apa yang harus dijangkakan sebelum memasuki NS, ternyata 12 minggu lalu telah mematangkan kedua-dua TSC Izzat Syahmi dan TSC Haiqal Anwar serta menjadikan mereka lebih berdisiplin dan bertanggungjawab.



Ini amat penting kerana mereka juga bakal berkhidmat memastikan keselamatan Singapura, di samping pegawai polis biasa memerangi jenayah dan menyelamatkan nyawa.



Meskipun akur bakal berhadapan dengan pelbagai risiko semasa menjalankan tugas, kedua-dua TSC Izzat Syahmi dan TSC Haiqal Anwar tidak gentar.



Bagi TSC Haiqal Anwar, beliau bersyukur telah diberi pelbagai peluang untuk mencapai cita-citanya selama ini dan hidup di Singapura yang aman damai, dengan warga pelbagai bangsa dan agama hidup bersama dengan harmoni.



"Saya nak sumbang semula kepada negara ini dan sebab itulah saya ingin menjadi pegawai polis yang baik," ujarnya.



Bagi TSC Izzat Syahmi pula, beliau ingin menjalankan tanggungjawabnya memastikan keselamatan Singapura dengan baik demi keluarga dan orang di sekelilingnya yang beliau cintai.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >