Subuh
5:30
Syuruk
6:53
Zuhur
12:55
Asar
4:19
Maghrib
6:56
Isyak
8:10
Halal Food Map
Turn on your location  and discover halal restaurants near you.
Setempat0

Tukang urut guna skim WSQ, WDA pertingkat kemahiran

Mar 18, 2018 | 05:30 AM

CIK Shalina Yusuf cukup berpengalaman dalam bidang urut tradisional Melayu dan perbidanan - kemahiran yang diwarisi turun-temurun.

Ayahnya tukang urut bagi masalah patah tulang dan neneknya pula seorang bidan.

Namun, ibu empat anak itu merasakan pengalaman dan kemahiran yang diwarisinya itu tidak mencukupi untuk dijadikan bekalan dalam menyediakan khidmat bertauliah khusus kepada golongan wanita.

Cik Shalina, 44 tahun, misalnya, pernah mengikuti kursus Kemahiran Tenaga Kerja (WSQ) dalam bidang anatomi urut seluruh badan, urut selepas bersalin dan urut tradisional yang dianjurkan oleh mereka yang benar-benar berpengalaman.

"Zaman telah berubah dan masyarakat hari ini mempunyai jangkaan lebih tinggi terhadap khidmat yang diberikan. Jika kita tidak meningkatkan kemahiran, kita akan tertinggal di belakang.

"Kursus yang diikuti juga menjadikan kita lebih bertauliah dan memberikan khidmat terbaik kepada pelanggan,'' tambahnya yang menyediakan khidmat dari rumah ke rumah.

Beliau, yang mempunyai pengalaman sekitar 10 tahun dalam bidang tersebut, merupakan setiausaha jawatankuasa sementara Persatuan Terapis Melayu Singapura yang bakal didaftarkan.

Encik Abdul Latiff Ahmad pula boleh berpuas hati dan berpeluk tubuh kerana mempunyai pelanggan tetap yang bertali arus ke kedai urutnya di Pusat Beli-Belah Katong.

Tetapi, beliau tetap berusaha meningkatkan kemahiran meskipun telah 14 tahun melayan pelanggan yang bukan sahaja banyak kerenahnya malah datang daripada pelbagai latar belakang termasuk dari luar negara.

Ayah empat anak itu mempunyai Diploma Terapi Spa dan Pengurusan Spa selepas mengikuti kursus anjuran Majlis Peperiksaan Terapi Antarabangsa (Itec) selama lapan bulan.

Encik Latiff, 64 tahun, memanfaatkan geran tawaran Agensi Pembangunan Tenaga Kerja (WDA) untuk meningkatkan dirinya.

Beliau juga mempunyai Diploma bagi Anatomi, Fisiologi dan Mengurut, juga daripada Itec, di samping dua lagi diploma dan pelbagai lagi sijil berkaitan bidang tersebut.

Justeru, selepas bekerja dengan beberapa kedai urut, beliau membuka kedai urut sendiri - Bodicaire Therapy.

Beliau berkata selama berkecimpung dalam bidang tersebut, belum pernah ada daya usaha dalam kalangan tukang urut Melayu bergabung bagi menubuhkan persatuan.

Justeru, beliaulah yang mengajukan gagasan bagi menubuhkan persatuan untuk mewakili mereka apabila berpeluang berbuat demikian baru-baru ini.

Encik Latiff, yang duduk sebagai anggota jawatankuasa sementara Persatuan Terapi Melayu Singapura, berkata:

"Masyarakat Singapura rata-rata lebih kenal perubatan tradisional Cina (TCM) dan Ayurveda. Sampai bila tukang urut Melayu harus bersendiri? Justeru, saya sarankan kepada rakan-rakan kenapa tidak kita tubuhkan persatuan?

"Lagipun, banyak yang boleh dilakukan seperti menggalak anggota meningkatkan kemahiran menerusi pelbagai kursus bersubsidi yang pemerintah sediakan, seminar, ceramah dan bengkel."

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian