Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Tunai haji: 62% jemaah telah buat pengesahan

Jan 27, 2023 | 05:30 AM



MAJLIS Ugama Islam Singapura telah menerima kembali sekitar 930 jawapan atau 62 peratus daripada 1,500 Surat Niat (LOI) yang dihantar kepada bakal jemaah untuk mengetahui sekiranya mereka berhasrat melakukan ibadah haji tahun ini.



Daripada keseluruhan jawapan yang diterima itu sehingga kelmarin, sekitar 56 peratus atau 520 penerima LOI telah melahirkan keinginan melakukan ibadah itu tahun ini.



Menyatakan demikian sebagai respons kepada Berita Harian (BH), Muis juga berkata sekitar 56 penerima LOI atau enam peratus jawapan yang diterima menolak LOI tersebut sehingga kelmarin.



"Berdasarkan tarikh pendaftaran (dalam sistem), sehingga 900 pendaftar yang mengesahkan keinginan mereka untuk menunaikan haji akan menerima tawaran formal untuk menyertai ibadah itu," kata Muis.



Singapura telah diperuntukkan kuota rasmi sebanyak 900 tempat haji bagi musim haji tahun ini oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.



Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam di Singapura, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad yang bertemu Menteri Haji dan Umrah Saudi, Dr. Tawfiq bin Fawzan Al Rabiah dalam lawatannya ke Arab Saudi awal bulan ini menyatakan walaupun Singapura bermohon mendapatkan lebih banyak tempat untuk haji, beliau memohon persefahaman masyarakat memandangkan pandemik Covid-19 masih belum berakhir.



"Dan pihak berkuasa Haji dan Umrah di Saudi mengutamakan kesihatan, keselamatan serta kemaslahatan jemaah," kata Encik Masagos.



Salah seorang penerima LOI tahun ini, Encik Khairul Khalif Kamal Mustaffa, berkata beliau dan isterinya, Cik Nur Azizah Mohd Amin, telah memberikan respons dengan melahirkan kesediaan untuk melakukan ibadah haji tahun ini.



Pasangan itu menerima surat tersebut yang bertarikh 12 Januari lalu.



Surat tersebut antara lain memerlukan mereka mengakses portal MyHajSG untuk memberi keputusan mereka sebelum hari ini. .



Sekiranya mereka melahirkan keinginan untuk menunaikan haji tahun ini, mereka akan dipertimbangkan berdasarkan tarikh pendaftaran yang dahulu didahulukan.



"Jika anda terpilih untuk menunaikan haji pada tahun ini, kami akan mengeluarkan "Letter of Offer" (Surat Tawaran) melalui portal tersebut sekitar akhir Februari 2023.



"Namun, jika anda memutuskan untuk tidak menunaikan haji tahun ini, atau kami memutuskan tidak menerima keputusan anda sehingga tarikh akhir yang ditetapkan, anda akan dikembalikan ke dalam senarai menunggu," menurut surat yang diterima pasangan itu.



Kali pertama beliau menerima undangan menunaikan haji menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) adalah pada 2019 - sekitar dua minggu sebelum jadual keberangkatan.



Namun, beliau terpaksa menolaknya memandangkan beliau serta isteri tidak dapat membuat sebarang perancangan untuk penjagaan anak-anaknya pada ketika itu.



"Pada tahun berikutnya, kami terima LOI dan surat tawaran haji, namun kerana masalah Covid-19, maka ibadah tersebut tidak dapat ditunaikan. Padahal kami dah bayar cengkeram sekitar 50 peratus daripada kos keseluruhan," jelasnya yang menerima kembali cengkeramnya itu.



Kerajaan Arab Saudi melarang jemaah antarabangsa melakukan ibadah haji pada 2020 dan 2021 demi membendung penularan pandemik Covid-19.



Tahun lalu pula, mereka menerima LOI, namun kerana harga yang terlalu tinggi maka pasangan itu tidak dapat melakukannya.



"Kami juga ditanya tahun berapa kami ingin tunaikannya, dan kami katakan tahun berikutnya (tahun ini)," tambah beliau.



Baru-baru ini mereka berdua terima LOI - yang dianggap mereka undangan kali keempat.



"Mudah-mudahan, kami akan terima surat tawaran pula," ujarnya yang telah membuat perancangan untuk penjagaan anak-anak sekiranya dapat menunaikan haji tahun ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >