MULAI tahun depan, pesakit yang memerlukan pembedahan boleh membuat tuntutan lebih banyak daripada insurans kesihatan wajib mereka.
Mengumumkan demikian hari ini (27 Disember), Kementerian Kesihatan berkata ini hasil had tuntutan MediShield Hayat yang dinaikkan.
Langkah ini dijangka memberi manfaat kepada sekitar 90,000 pesakit setahun.
MediShield Hayat merupakan pelan insurans kesihatan asas yang membantu membayar bil hospital yang besar dan rawatan pesakit luar tertentu termasuk dialisis dan kemoterapi.
Semua warga dan penduduk tetap (PR) Singapura dilindungi MediShield Hayat, yang ditadbirkan Lembaga Tabung Simpanan Pekerja (CPFB).
Pesakit yang menjalanii prosedur pembedahan yang tersenarai di bawah Senarai Prosedur Pembedahan kementerian itu boleh membuat tuntutan menerusi MediShield Hayat dan menggunakan Medisave untuk membayar bil pembedaan mereka.
Dengan had baru yang dikenakan, yang akan berkuat kuasa bagi pesakit yang menjalani pembedahan mulai 1 Januari nanti, pesakit boleh menjangkakan tuntutan lebih tinggi.
Namun, tiada perubahan bagi premium pada saat ini kerana pemerintah telah komited memastikan premium sama bagi lima tahun apabila MediShield Hayat dilancarkan pada November 2015.