Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Ucapan Majlis Perjumpaan Hari Raya Menteri Masagos

Jun 05, 2020 | 08:49 PM



BERIKUT ucapan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad di Majlis Perjumpaan Hari Raya Menteri pada Jumaat (5 Jun):



Saudara saudari sekalian, asatizah kita memainkan peranan penting dalam membimbing dan memberi sokongan rohani kepada masyarakat kita. Mereka telah lama membuktikan kebolehan mereka. Kini mereka membuktikan pentingnya peranan mereka dalam mengharungi krisis COVID-19 yang mencabar ini. Keupayaan mereka bukanlah terbina dalam sehari – tetapi lahir dari tekad dan usaha pemimpin-pemimpin masyarakat terdahalu sepanjang berdekad-dekad lamanya. Begitulah lama masanya yang diperlukan untuk kepakaran ilmu agama matang, hingga asatizah kita tangkas memberi panduan dan memimpin masyarakat dalam hal-ehwal keagamaan dalam konteks yang unik di Singapura. Kita telah lama melabur untuk memperkukuhkan institusi agama kita sambil mengasah dan meningkatkan taraf asatizah kita hari ini. Meskipun begitu, banyak lagi yang kita mesti dan boleh lakukan untuk memperkukuhkan lagi institusi dan sektor keagamaan kita. Ini menjadi inti ucapan Hari Raya saya tahun ini.



Saya bermula dengan melakarkan visi jangka panjang untuk sektor keagamaan kita. Mufti ialah pegawai di puncak kepimpinan agama dan beliau menentukan hala tujunya di Singapura. Mufti juga memantau semua hal-ehwal keagamaan yang dipegang jawatan dua Timbalan Mufti, Dekan Akademi Muis, Presiden Kanan Mahkamah Syariah dan Pendaftar Pejabat Pernikahan Orang-orang Islam. Pada masa-masa hadapan, Mufti harus dipilih daripada kalangan pegawai yang menyandang lima jawatan tersebut setelah meraih ilmu dan pengalaman yang luas. Kelima-lima pegawai ini pula memantau pelbagai laluan bagi asatizah kita. Lama-kelamaan, saya harap para asatizah juga dapat bergilir tempat untuk ke laluanlaluan yang lain demi meluaskan pengalaman mereka sambil mendalami ilmu dan mendapat pengiktirafan bagi kemahiran dalam semua bidang kerja tersebut.



Pada April lalu, Muis telah melancarkan Rangka Kerjaya dan Kecekapan (CCF). Ia merupakan sebuah rancangan di bawah Pelan Pembangunan Tenaga Kerja Asatizah (AWDP), yang berpandukan saranan oleh Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (COFA) yang telah diterajui oleh Menteri Negara Kanan Dr Maliki Osman. Dengan CCF, para pegawai di sektor keagamaan akan lebih faham mengenai peluang-peluang pekerjaan serta kemahiran, kecekapan dan pentauliahan yang perlu bagi pelbagai tugas dalam sektor tersebut. Ini merangkumi dasar dan pembangunan agama, pendidikan, pembangunan masjid dan masyarakat, serta perundangan dan pembangunan keluarga, yang memerlukan pemahaman dalam bidang-bidang seperti kaunseling, kerja sosial, dan juga perundangan keluarga Islam. CCF merupakan peta kerjaya bagi seorang siswazah yang mungkin bermula sebagai pegawai di masjid, sampailah ke kemuncak kerjayanya sebagai Mufti, jika beliau mempunyai keupayaan dan dorongan untuk melakukan sedemikian. Muis juga sedang meneliti sokongan yang diperlukan asatizah kita untuk mempertingkat kemahiran dalam bidang-bidang penting ini.



Selain itu, Muis juga sedang mempertingkatkan program Pendidikan Profesional Berterusan (CPE) di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS). Sepanjang beberapa bulan akan datang, asatizah dan majikan dari sektor agama akan diundang untuk sama-sama membentuk sebuah rangka kerja yang mengemukakan kurikulum CPE yang lebih holistik, agar ia relevan dan berguna kepada sektor agama secara amnya.



CPE sangat penting dalam ekonomi pasca-COVID-19. Ia sehaluan dengan Belanjawan Kecekalan yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat minggu lalu. Khususnya, kita perlu menyediakan peluang latihan yang akan membantu para asatizah mempertingkatkan dan memperbaharui kemahiran mereka. Ini juga perlu supaya kita sama menanam budaya pembelajaran sepanjang hayat di kalangan asatizah. Semuanya agar mereka dapat menyesuaikan diri dan bersikap terbuka untuk meneroka pendekatan baru, atau pun mengejar peluang di luar bidang agama dengan kemahiran baru yang diperolehi.



Untuk melengkapkan transformasi sektor keagamaan, Muis sedang menyemak semula rangka dan skala gaji bagi para asatizah, untuk dipadankan dengan kelayakan, pengalaman dan kemahiran mereka. Muis akan membuat perbandingan dengan sektor yang setaraf dan semasa. Ini akan memakan masa. Tetapi, kalau pun kita belum dapat memberikan asatizah gaji yang setimpal dengan kemahiran dan sumbangan mereka sekarang, kita harus mengatur langkah jangka panjang supaya kita mampu melakukannya pada masa depan.



Umumnya, sebahagian besar pembiayaan sektor agama kita datang dari sumbangan masyarakat kita sendiri. Ini sangat penting kerana ia mewujudkan pemikiran keagamaan yang objektif, berkecuali dan tidak terpengaruh oleh kuasa asing. Hari ini, sumbangan Dana Pembinaan Masjid dan MENDAKI (MBMF) telah membina masjid-masjid yang kita banggakan serta keperluan pendidikan khusus untuk masyarakat kita. Derma yang anda salurkan kepada masjid-masjid pula membantu dalam penyelenggaraan masjid-masjid kita. Beberapa tahun yang lalu, Muis juga telah melancarkan “Wakaf Ilmu” – iaitu sebuah wakaf istimewa yang terdiri daripada sumbangan wang daripada masyarakat. Sumbangan itu kemudiannya dilaburkan bagi menjana pulangan setiap tahun untuk diagihkan kepada madrasah-madrasah kita.



Sistem sokongan tersebut sangat membantu kerana ia terus mendana keperluan masjid dan madrasah kita, walaupun ekonomi kita terjejas dengan krisis COVID-19 ini. Namun sistem sokongan kita tidak boleh terhad kepada pembangunan institusi-institusi tersebut sahaja. Malah pentadbiran masjid terganggu kerana tiada sistem yang kukuh dalam mengumpul derma apabila jemaah tidak lagi memasukkan wang ke dalam tabung masjid seperti yang biasanya kita lakukan. Kita perlu wujudkan sistem pendanaan yang kukuh dan berdaya tahan supaya asatizah kita dapat menyara hidup, program agama dapat berjalan, cendekiawan agama terus diasah, dan kebajikan jemaah yang memerlukan boleh terus diuruskan, walau dilanda krisis ekonomi. 



Atas pertimbangan inilah, saya telah meminta Muis untuk menubuhkan Wakaf Masyarakat Singapura. Wakaf ini bertujuan untuk menyokong institusi keagamaan kita, pembangunan asatizah serta usaha-usaha kemasyarakatan, yang belum didukung secara sistematik melalui wadah-wadah seperti dana MBMF dan pungutan zakat. Ia juga bakal menyokong penggajian para astizah yang setimpal dengan sumbangan mereka.



Kalau usaha Wakaf Ilmu sebelum ini mengumpul aset cair (liquid asset) dari masyarakat untuk dikumpulkan menjadi aset pelaburan, Wakaf Masyarakat Singapura sebaliknya mendorong masyarakat membina aset hartanah mereka dahulu, dan mewakafkannya untuk menghasilkan aset cair pada masa mendatang. Justeru, hasrat saya, adalah untuk Wakaf tersebut berbentuk portfolio hartanah baru. 



Amalan menyumbang hartanah demi kegunaan masa hadapan sememangnya sudah wujud dalam warisan kita. Sebagai contoh, Almarhum Syed Omar Ali Aljunied telah mewakafkan Masjid Omar Kampong Melaka, yang kini masih berdiri di tapak asalnya di daerah bandar. Berasal dari Yaman, beliau tiba di Singapura pada abad ke-19, dan merupakan seorang pedagang yang berjaya. Beliau turut mewakafkan Masjid Bencoolen serta bangunan-bangunan di sampingnya. Begitu juga dengan Almarhumah Hajjah Fatimah binti Sulaiman, seorang pedagang dan dermawan yang terkenal pada abad ke-19. Semasa di sini, beliau telah membina rumah-rumah bagi golongan fakir miskin dan mendermakan tapak rumahnya untuk didirikan sebuah masjid. Kita kini kenali masjid tersebut sebagai Masjid Hajjah Fatimah. Pada hemat saya, inilah matlamat yang paling murni bagi orang Islam mengumpul harta, bukan kerana kepentingan sendiri, tetapi kerana ia boleh terus memanfaatkan generasi mendatang. Ini sekaligus menjadi bekalan akhirat kita dalam bentuk amal jariah melalui pewakafan harta. Seperti dalam lirik lagu “Ku Cari Damai Abadi” yang pernah dinyanyikan Bang Ramli Sarip: 



Aku cari bukan harta bertimbun-timbun untuk hidup kaya; 



Aku cari bukan wang berjuta-juta untuk hidup bergaya;



Dengan pengurusan yang teliti, pahala dari amal jariah mereka akan terus mengalir sampai ke akhirat nanti! Insyaallah. 



Sayangnya mewakafkan hartanah adalah satu budaya yang kelihatan hilang dari kita. Justeru, pada suasana Hari Raya yang mulia ini, saya ingin mengajak masyarakat, terutama mereka yang lebih mampu, supaya bersedia untuk memanfaatkan rezeki dan harta kekayaan kita, untuk membantu memenuhi pembiayaan sosio-agama kita pada masa ini dan masa hadapan. Saya yakin, dengan menjiwai matlamat berwakaf hartanah, ia dapat memberi kita matlamat yang murni dan bermakna dalam kita mengejar kejayaan di dunia. 



Saya gembira mengetahui ramai daripada kita cukup mampan hingga memiliki hartanah selain dari rumah yang kita diami. Ia merupakan sumber pendapatan sampingan atau persiapan untuk persaraan, satu persiapan yang baik. Tambahan dari ini, saya mengesyorkan tuan-puan mewasiatkan hartanah tersebut kepada Wakaf Masyarakat Singapura sebagai amal jariah untuk menabur jasa kepada generasi mendatang, terutama dalam menyokong pembangunan para asatizah dan alim-ulama kita, seperti yang dilakukan sesepuh kita, Almarhum Syed Omar Aljunied dan Almarhumah Hajjah Fatimah. Sektor agama kita juga akan lebih berdaya tahan mengharungi krisis pada masa-masa mendatang. Inilah persiapan yang sangat baik, dan jasa tuan puan pula kekal hingga akhirat nanti.



Namun, sebagai asas terkumpulnya wakaf tersebut, pekerja kita perlu ada sumber pendapatan yang stabil, karyawan kita mesti cekap dan bersemangat untuk mencapai kejayaan, dan perusahaan kita harus memperkukuhkan daya bingkas dan keupayaan mereka untuk mengharungi perubahan ekonomi. 



Sejajar dengan ini, Menteri Negara Zaqy Mohamad sedang memimpin sebuah kumpulan kerja yang terdiri daripada MENDAKI SENSE, DPPMS, NTUC serta badan-badan masyarakat yang lain. Di tengah-tengah penularan COVID-19 ini, ramai di kalangan pekerja kita terjejas. Ada yang kehilangan kerja, dan ada pula telah membawa pulang pendapatan yang lebih rendah. Justeru, kumpulan kerja ini akan menyelaraskan usahanya dengan strategi yang dilakarkan oleh Majlis Pekerjaan Kebangsaan, untuk membantu masyarakat kita yang terjejas bingkas bangun, agar membuat persiapan untuk masa depan yang lebih baik. Kalaupun berlaku gangguan ekonomi nanti, visi menyumbang menerusi Wakaf Masyarakat Singapura akan hidup sentiasa dalam benak kita. Kerjasama sebegini adalah lanjutan dari gandingan dan gotong royong M3 bersama badan-badan Melayu Islam seperti Pergas, PPIS, AMPS dan FIM dalam ikatan SGTeguhBersatu membantu masyarakat kita menghadapi krisis Covid-19. 



Usaha MOS Zaqy juga selaras dengan usaha khidmat mentor dalam menggunakan waktu yang ada mempersiapkan golongan muda kita. Ini diterajui AP Rahayu Mahzam.Saya menyeru mereka yang sudah nikmati kejayaan, tampil ke hadapan menjadi mentor, bantu anak muda kita luaskan jaringan sosial dan ufuk pemikiran mereka, dan semaikan semangat ingin berbakti kepada negara dan masyarakat dalam diri mereka. Kita telah pun merintis Pejabat Pementoran Belia di Mendaki untuk sediakan ruang bagi para karyawan mendampingi belia kita supaya mereka dapat mencapai kecemerlangan sebagai karyawan berjaya di masa hadapan.



Izinkan saya buat kesimpulan. Tahun lalu saya mengajak kita menjadi Masyarakat Gemilang. Ia adalah ikatan kita sebagai individu-individu yang masing-masing mempunyai keperibadian terpuji, kemahiran yang memanfaatkan, dan kewarganegaraan yang meyakinkan. Sebagai Masyarakat Gemilang kita akan mencapai kesaksamaan sebagai rakyat secara hakiki, dan bukan setakat kesaksamaan dari segi hak semata-mata. 



Kini saya mengajak Masyarakat Gemilang membina iltizam untuk menghidupkan kembali budaya mengumpul hartanah yang boleh kita wakafkan sebagai warisan kita kepada generasi Masyarakat Gemilang mendatang. Wakaf Masyarakat Singapura memastikan masyarakat akan terus mempunyai sumber yang dapat membantu menjalankan tanggungjawab memenuhi keperluan keagamaan masyarakat kita sekalipun dipukul badai krisis. 



Dalam khutbah Hari Raya beliau tahun ini, Mufti telah mengingatkan kita bahawa Aidilfitri kali ini bukan sekadar melambangkan kemenangan. Ia mengingatkan kita akan perjuangan dan pengorbanan yang berterusan dalam kita memainkan peranan untuk melindungi nyawa dan menjaga keselamatan semua. Marilah kita terus menyemarakkan semangat perjuangan ini, sedang kita bina masa depan kita bersama, sebagai sebuah Masyarakat Gemilang.






Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >