KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) telah menghubungi dan menyelaraskan ujian Covid-19 buat 254 individu yang mengunjungi kedai kamera SLR Revolution di pusat beli-belah Excelsior di Coleman Street antara 15 Ogos dengan 18 Ogos lalu.
Menjelaskan demikian dalam kenyataannya pada Jumaat malam (4 Sepetember), MOH berkata ini adalah sebagai langkah pencegahan buat mereka menyusuli pengesanan tiga kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan mereka yang bekerja di kedai itu atau berkunjung ke situ.
Usaha ini dibuat meskipun risiko jangkitan bagi pengunjung disifatkan rendah. Sejauh ini, 250 individu sudah menjalani ujian Covid-19 dan semua hasil ujian negatif. Baki empat lagi belum menjalani ujian 'swab'.
Sehingga 12 tengah hari Jumaat (4 September), 40 kes jangkitan baru Covid-19 dikenal pasti. Tiada kes masyarakat dikesan.
Dalam kalangan tiga kes import pula, seorang adalah warga Singapura dan seorang pula adalah Penduduk Tetap yang pulang ke Singapura dari India.
Seorang lagi pemegang pas lawatan jangka pendek yang berkunjung ke sini dari India pada 26 Ogos lalu.
Beliau dibenarkan masuk ke Singapura kerana isterinya menjalani rawatan perubatan di Singapura. Semua kes ini sudah diberi Notis Jangan Tinggalkan Rumah (SHN) selama 14 hari setibanya di Singapura.
Mereka dikesan menghidap Covid-19 ketika menjalani SHN di kemudahan khusus.
Sementara itu, MOH juga mendedahkan 33 kes yang dikenal pasti sebelum ini didapati berkait lantas membentuk kelompok baru di Blue Stars Dormitory di 3 Kian Teck Lane.
146 kes sudah dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat.
Manakala 51 kes pula masih dirawat di hospital dengan kebanyakannya berada dalam keadaan mantap atau kian pulih.