Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21

Ujian lebih kerap di dormitori antara perkara yang boleh diperbaiki

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

Ujian lebih kerap di dormitori antara perkara yang boleh diperbaiki

Jan 22, 2021 | 05:30 AM

PELBAGAI perkara boleh dilakukan dengan lebih baik dalam menangani krisis Covid-19 tahun lalu, seperti melaksanakan rejim ujian kerap di dormitori pekerja asing, tatkala Singapura menyaksikan kenaikan kes yang mendadak semasa kemuncak pandemik itu pada April dan Mei.

Namun hakikatnya, cabaran yang dihadapi Singapura pada ketika itu adalah negara ini tidak mempunyai keupayaan yang mencukupi untuk melaksanakan ujian pada tahap yang diperlukan, kata pengerusi bersama pasukan bertindak bagi menangani Covid-19, Encik Lawrence Wong.

Ditanya apakah mungkin perkara berbeza yang akan dilakukan pasukannya bagi membendung kes jangkitan di dormitori jika diimbas kembali, Encik Wong berkata Singapura berada dalam kedudukan berbeza pada tahun lalu, tanpa adanya sumber yang memadai dan pengetahuan menyeluruh tentang virus Covid-19 berbanding hari ini.

Menyentuh tentang cabaran yang dihadapi itu, Encik Wong berkongsi bahawa pasukan bertindak itu memberi taklimat kepada Kabinet negara, termasuk Perdana Menteri Lee Hsien Loong, dari masa ke masa untuk memaklumkan kepada mereka tentang langkah dan saranan berbeza bagi menangani pandemik itu.

Pernah sekali, Encik Lee memberitahu Encik Wong bahawa Kabinet boleh memberikan idea kepada pasukan tersebut, namun pada akhirnya, pengerusi bersama pasukan itulah yang perlu menentukan apakah langkah dan saranan yang boleh dilaksanakan "kerana kita mempunyai jumlah kit ujian terhad, sumber terhad dari segi tenaga manusia".

"Setiap kali anda mengerahkan sumber ke sesuatu kawasan, ia bererti kita tidak mempunyai sumber untuk dikerahkan ke kawasan lain. Oleh itu, untuk mahu melakukan segala-galanya itu satu hal, tetapi untuk mempunyai sumber untuk melaksanakannya dengan baik, itu satu hal lain sama sekali," kata beliau, yang juga Menteri Pendidikan.

Singapura melaporkan dua kes Covid-19 dalam dormitori pekerja asing yang pertama pada 29 Mac tahun lalu. Kedua-dua kes itu ada kaitan dengan satu sama lain dan melibatkan pemegang permit kerja dari Bangladesh dan India.

Sehari kemudian, timbul kelompok dormitori pekerja asing yang pertama di mana empat kes disahkan, termasuk dua kes pekerja asing itu, yang membentuk kelompok baru di S11 Dormitory@Punggol.

Dari situ, mula timbul beberapa kelompok dormitori yang lain, dengan negara ini mencatatkan lebih 1,000 kes Covid-19 melibatkan pekerja asing semasa kemuncaknya pada April tahun lalu.

Demi membendung penularan virus di dalam dormitori, pemerintah mengumumkan langkah-langkah seperti kuarantin di dormitori dan pelaksanaan ujian yang meluas bagi pekerja asing.

Jumlah kes harian di dormitori mula merosot kepada satu angka pada Oktober tahun lalu, dengan tiada kes Covid-19 dilaporkan di dormitori buat kali pertama dalam lebih enam bulan pada 13 Oktober.

Kes-kes di dormitori pekerja asing membentuk sebahagian besar, atau lebih 90 peratus, daripada jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Singapura.

Encik Wong berkata jika dibandingkan dengan tahun lalu, Singapura berada dalam kedudukan lebih kukuh dan mempunyai keupayaan ujian dan penjejakan yang jauh lebih baik hari ini.

Namun, beliau menegaskan bahawa mempunyai keupayaan yang lebih baik hari ini tidak bererti keadaan sempurna dan negara ini tidak mungkin gagal seperti dahulu.

"Meskipun kita telah melaksanakan langkah berjaga-jaga dan perlindungan, jika kita... mula leka, bukan saja dari segi tugas barisan depan, malah dari segi respons dan tingkah laku sosial, dari segi bagaimana orang ramai mematuhi langkah-langkah, bukan hanya perkara termaktub dalam undang-undang tetapi maksud yang tersirat dalam peraturan yang dilaksanakan - jika terdapat kelemahan dalam bidang ini, akan menjadi amat mudah bagi kelompok baru timbul.

"Kita akan tergesa-gesa sekali lagi seperti tahun lalu. Oleh itu, ini adalah peringatan serius bahawa kita perlu sentiasa berhati-hati dan berwaspada," kata beliau.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3