Ujian reaksi rantai polimerase (PCR) wajib akan dijalankan ke atas penduduk-penduduk di blok 501 dan 507 Hougang Avenue 8, dan blok 745 Yishun Street 72 bermula esok (1 Jun) selepas pihak berkuasa menemui kemungkian penularan Covid-19.
Ujian mandatori itu dilakukan untuk mengelak penularan dalam masyarakat apabila penyelidikan epidemiologi menilai bahawa kemungkinan ada penularan berterusan menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataannya semalam.
MOH berkata, enam kes Covid-19 dikesan di blok 745 Yishun Street 72 dan ujian air sisa yang dilakukan kemudian telah mengesan serpihan virus Covid di blok tersebut.
Ujian PCR akan dijalankan di kolong blok itu pada 1 dan 2 Jun antara 9 pagi dengan 4 petang.
Sementara itu, MOH berkata tiada kes yang disahkan di blok 501 dan 507 Hougang Avenue 8, namun serpihan virus dikesan dalam sampel air sisa yang diambil daripada blok-blok tersebut.
"Sebagai langkah berjaga-jaga, kami akan menjalankan ujian Covid-19 bagi semua penduduk blok-blok itu," kata MOH.
Ujian PCR akan dijalankan di kolong blok 507 Hougang Avenue 8 dari 1 hingga 3 Jun antara 9 pagi dengan 4 petang.