UJIAN wajib akan dikendalikan bagi penduduk di Bukit Batok, Outram dan Farrer Park selepas kes Covid-19 dikesan di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di kawasan itu.
Tujuh orang dari empat isi rumah di Blok 237 Bukit Batok East Avenue 5 disahkan dijangkiti Covid-19, kata Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (6 Ogos).
Empat kes juga dikenal pasti di Blok 51 Chin Swee Road dan lagi lapan kes di Blok 683 Tessensohn Road.
MOH berkata siasatan masih diteruskan bagi menentukan kaitan dan sumber jangkitan.
Bagi menemukan sebarang kes tambahan jangkitan Covid-19 dalam masyarakat, semua penduduk yang menetap di tiga lokasi ini akan perlu melalui ujian wajib pada Sabtu, antara 9 pagi dengan 4 petang.
Pemilik dan kakitangan unit komersial di Blok 51 Chin Swee Road dan Blok 683 Tessensohn Road juga harus menjalani ujian.
Mereka yang tinggal di Blok 237 Bukit Batok East akan diuji di kolong Blok 236.
Sementara itu, penduduk, pemilik dan kakitangan unit komersial di Blok 51 Chin Swee Road akan diuji di kolong blok antara Blok 51 dan 53 Chin Swee Road.
Penduduk di Blok 683 Tessensohn Road boleh ke Deck4A, tempat meletak kereta berbilang tingkat di Blok 678 Perumal Road bagi ujian swab berkenaan.
Pilihan diberi bagi mereka yang diuji negatif bagi Covid-19 untuk menjalani ujian berkenaan mulai 2 Ogos, tambah MOH.
Pada Jumaat, MOH mengingatkan setiap orang yang menjalani ujian agar membawa kad pengenalan bagi tujuan mengenal pasti diri mereka.
Risalah telah diedarkan dan pesanan SMS pula dikirimkan kepada penduduk bagi memberi mereka lebih maklumat.
Penduduk dinasihati agar mengawasi kesihatan mereka secara rapi dan merujuk kepada doktor segera jika rasa tidak sihat.
Kata MOH: "Mereka yang masih menanti hasil ujian dinasihati agar mengurangkan interaksi sosial mereka seberapa banyak yang boleh. Mereka harus terus mengawasi kesihatan mereka dan mendapatkan rawatan perubatan jika terasa tidak sihat."