Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

CATATAN WARTAWAN

Umrah norma baru lebih mudah dan sistematik, tapi...

Jan 17, 2022 | 05:30 AM



 



BANYAKNYA 'persiapan' yang kena buat?



Kena ada status "Vaccinated" atau sudah menerima dua vaksinasi Covid-17, lebih baik kalau sudah terima vaksinasi penggalak, perlu jalani ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) empat kali, kena Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) 7-Hari, perlu dapat 'lampu hijau' tempat kerja dan isi pelbagai borang keizinan dan pemberitahuan sewaktu pergi dan balik.



Belum lagi keperluan muat turun dan mahirkan diri dengan aplikasi telefon bijak Tawakkalna dan Eatmarna - dua aplikasi penting yang MESTI ADA untuk membolehkan anda menunaikan umrah, tawaf mengelilingi Kaabah di Masjidilharam, Makkah; dan memasuki Raudhah serta menziarahi Makam Rasulullah saw di Masjid Nabawi di Madinah.



Ini semua belum termasuk debaran melaksanakan 'Umrah Norma Baru' dan menghadapi risiko jangkitan varian Omicron yang lebih mudah berjangkit selepas ibadat umrah di Tanah Suci dihentikan selama dua tahun gara-gara pandemik Covid-19.



Namun, atas azam yang kuat dan nasihat bahawa "inilah masa terbaik menunaikan umrah" berdasarkan kebimbangan "sebelum langkah-langkah sekatan lanjut dikuatkuasakan" pada masa depan, saya membulatkan tekad menunaikan umrah akhir bulan lalu.



Alhamdulillah, setelah memastikan semua syarat dan persiapan dipenuhi, ternyata ibadah Umrah Norma Baru saya dan isteri bukan sahaja berjalan lancar, malah di luar jangkaan awal kami - lebih teratur, sistematik, selasa dan semua orang dapat peluang yang saksama untuk beribadat.



Ini dapat saya rasakan sebaik sahaja menunaikan setiap ibadah yang menjadi rukun umrah seperti tawaf dan sai di Masjidil Haram serta 'ibadah idaman' seperti bersolat di Raudhah dan memberi salam betul-betul di hadapan Makam Rasulullah saw di Masjid Nabawi.



Mengapa persiapan - untuk ke Tanah Suci penting?



Ia sebenarnya bagi melindungi diri kita dan orang lain daripada bahaya dan padah dijangkiti Covid-19. Status "Vaccinated" dan Sijil Vaksinasi Kementerian Kesihatan (MOH) adalah bagi mengesahkan bahawa kita sudah mendapat perlindungan perubatan.



Sijil pengesahan dilindungi insurans (juga wajib) untuk memastikan kita dilindungi jika kita dijangkiti Covid-19 di Makkah atau Madinah supaya kita tidak perlu menanggung kos penginapan dan rawatan yang tinggi di sana.



Ujian PCR yang kita jalani sebelum pergi dan balik, empat kesemuanya, adalah untuk memastikan kita bebas Covid-19 sebelum ke luar negara, sebelum pulang di Makkah atau Madinah, sejurus mendarat pulang di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi dan sebelum bergaul semula dengan masyarakat selepas menjalani SHN selama tujuh hari.



Jika keputusan PCR-nya negatif, kita bolehlah bebas bergaul dengan keluarga, jiran dan masyarakat. Kalau positif terpaksalah menjalani Arahan Pengasingan (IO) 10 hari bagi yang sudah divaksinasi.



Ini supaya kita tidak menjangkiti orang-orang yang kita sayang, rakan dan masyarakat sekeliling apabila kita pulang ke tanah air.



Sebelum pulang, kita juga perlu mengisi borang Deklarasi Kesihatan Elektronik yang dikeluarkan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) untuk memberitahu di mana kita akan menjalani SHN, atau IO (jika perlu), supaya mudah bagi pihak berkuasa mengambil tindakan yang wajar. Demi keselamatan semua, memang ia wajar.



Selain memenuhi syarat-syarat penting ini, memahirkan diri kita menggunakan telefon bijak juga boleh memberi kita kelebihan.



Pertamanya kita perlu memuat turun aplikasi Tawakkalna (lebih kurang macam Trace Together) dan Eatmarna (serupa permohonan menempah slot solat Jumaat).



Tawakkalna membolehkan kita masuk bukan sahaja di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, malah kesemua masjid di seluruh Saudi, kedai, pusat beli-belah dan restoran - kan sama macam di sini?



Eatmarna pula membolehkan kita menempah slot Umrah, memasuki Raudhah bagi Muslimin dan Muslimah, memberi salam di depan Makam Rasulullah saw dan menunaikan solat lima waktu di Masjdil Haram serta Masjid Nabawi.



Untuk membuat permohonan ini, kita perlulah mahir menggunakan telefon bijak kita sendiri. Kalau tidak kita terpaksalah meminta bantuan dan mengharap ihsan orang lain.



Apabila kita sudah membuat semua tempahan, ibadah kita menjadi mudah. Dengan hanya mereka yang membuat tempahan sahaja dibenarkan masuk ke masjid, padang tawaf, kawasan sai, Raudhah dan Makam Rasulullah saw, kita tak perlu lagi berasak-asak dan berasa terhimpit di tempat istimewa ini.



Malah, dengan perancangan rapi, saya dapat bersolat di saf pertama di depan Kaabah banyak kali, bersolat dan berdoa di bawah Mimbar Nabi di Raudhah selama sekitar 10 minit dengan aman dan memberi salam kepada Rasulullah saw dengan tenang.



Ini semua memenuhi semua hajat saya di Makkah dan Madinah - beribadah dengan selesa tanpa diganggu dan menyusahkan orang lain orang lain.



Walaupun ada langkah-langkah yang boleh diperbaiki - terutama impian agar semua jemaah diizinkan mencium Hajar Aswad dengan prosedur serupa - saya rasa akhirnya semua protokol dan prosedur operasi standard (SOP) membolehkan semua jemaah umrah, dan insya-Allah haji, melaksanakan ibadat mereka dengan sistematik, teratur, aman dan saksama.



Cuma nasihat saya, teruskanlah ambil langkah berjaga-jaga di sana dan di mana sahaja tempat yang kita singgah dalam perjalanan - di lapangan terbang, dalam masjid, di restoran, di kedai dan di mana-mana.



Ini kerana, tidak semua jemaah mengikuti peraturan sekatan Covid-19.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >