Subuh
5:28
Syuruk
6:47
Zuhur
12:50
Asar
4:09
Maghrib
6:51
Isyak
8:02
Setempat

'Uncle' bantu susun selipar, kawal trafik di masjid

Sep 24, 2019 | 05:30 AM

SETIBANYA di Masjid Al-Mawaddah tepat waktu solat Jumaat, hampir mustahil untuk terlepas pandang kehadiran seorang lelaki Cina berkaki ayam yang bermandi peluh sedang menyusun selipar.

Dengan penuh teliti, satu demi satu selipar mahupun kasut disusunnya, semata-mata ingin memperkemaskan perkarangan masjid tersebut buat jemaah.

Setelah jemaah selesai menunaikan solat Jumaat pula, beliau akan turut membantu mengawal aliran trafik.

Meskipun bukan beragama Islam, namun Encik Steven Tan Lee Meng, 55 tahun, yang lebih dikenali sebagai 'Uncle Steven' telah menjadikan kegiatan itu sebagai rutin mingguannya.

Sebagai tanda hormat, Encik Tan berkata beliau hanya berada di luar kawasan masjid dan mengelak daripada menjejakkan kaki ke ruang solat.

"Semua datang ke masjid dari kerja atau dari rumah memakai kasut. Tetapi selepas itu, ada yang hilang kasut dan tak dapat carinya. Saya tolong susunkan," ujar bekas teknisyen komputer yang merupakan anak keenam dalam tujuh adik-beradik itu.

Membantu menjalankan amalan baik itu menurutnya, mendatangkan "rasa kepuasan dalam hidup".

Perwatakan Encik Tan yang ramah dan ringan tulang jelas kelihatan hingga beberapa jemaah masjid akan menegur sapanya sambil menghulurkan duit atau makanan.

"Ada orang yang beri saya duit tapi saya beritahu mereka saya bukan datang untuk duit. Saya hanya ingin membantu.

"Mereka beritahu saya untuk terima saja dan mungkin boleh dermakan duit itu," kata Encik Tan yang tidak menganut sebarang agama dan kerap menderma kepada masjid tersebut.

Encik Tan, yang mempunyai gangguan mental, khususnya Gangguan Bipolar, tinggal berdua bersama abangnya yang juga mengalami sakit mental, di kawasan Hougang.

Ini disahkan kakak Encik Tan sendiri, Cik Tan Geck Kian, 59 tahun, yang menambah bahawa Encik Tan masih menjalani rawatan di Institut Kesihatan Mental (IMH) dan pernah diwadkan di sana.

Biarpun begitu, relawan tetap Masjid Al-Mawaddah, Encik Shahrudin Rudin, 60 tahun, berkata Encik Tan "tak kacau orang", sebaliknya membantu merapikan kawasan masjid supaya terdapat ruang solat lebih.

"Kalau tak ada dia, saya kena buat ini semua sendiri," katanya.

Seorang jemaah tetap Masjid Al-Mawaddah, Syed Mohamed Bathushah antara mereka yang rajin memberi Encik Tan buah tangan.

"Bila saya lihat beliau... hati saya tersentuh... masih ada lagi orang seperti ini di Singapura.

"Walaupun mempunyai gangguan mental dan bukan beragama Islam, mulia hatinya," ujar pegawai Sats berusia 42 tahun itu.

Ketika ditemui Berita Harian (BH), Encik Tan berkata beliau bukan sahaja ke masjid bahkan melawat kuil dan gereja.

Lelaki yang riang orangnya itu berseloroh: "Saya bujang tetapi masih mahu berkahwin!"

Dengan nada serius, Encik Tan berkata beliau akur ia mungkin boleh menjadi isu yang sensitif baginya untuk kerap ke masjid.

"Tetapi saya tak takut... kerana saya tahu jemaah di sini ikhlas," tambahnya.

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian