Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PASTIKAN SG KEKAL TERBUKA DAN TERHUBUNG DENGAN DUNIA

Undang-undang bagi bendung diskriminasi di tempat kerja

Tafep diberi kuasa kukuh bagi lindungi pekerja berhadapan pelbagai diskriminasi termasuk kewarganegaraan, usia, bangsa, agama dan jantina
Aug 30, 2021 | 05:30 AM



DALAM satu langkah bagi membendung segala macam diskriminasi di tempat kerja, pemerintah akan menetapkan Garis Panduan Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (Tafep) dalam undang-undang.



Ia sekali gus memberi kuasa kukuh bagi melindungi pekerja yang berhadapan pelbagai diskriminasi termasuk kewarganegaraan, usia, bangsa, agama dan jantina.



Lebih banyak kuasa undang-undang kepada Tafep akan juga menangani keprihatinan yang meningkat bagi sesetengah syarikat yang tidak bersikap adil dalam pengambilan pekerja asing berbanding pekerja setempat.



"Menetapkan garis panduan Tafep dalam undang-undang merupakan satu langkah yang besar.



"Ia memberikan isyarat bahawa kita tidak akan memberikan toleransi terhadap diskriminasi di tempat kerja,'' kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong di Rapat Hari Kebangsaan (NDR) semalam.



Namun, beliau berharap tindakan undang-undang itu diambil sebagai langkah terakhir.



"Sesuatu yang jarang diperlukan tetapi, kewujudannya akan menyebabkan pihak-pihak bekerja keras untuk menghuraikan pertikaian itu melalui pendamaian dan perantaraan,'' tambahnya.



Ia akan melaksanakan pendekatan serupa seperti pertikaian lain seperti gaji yang tidak dibayar atau pekerja yang diberhentikan dengan tidak wajar.



Dalam pertikaian sedemikian, pendamaian dan perantaraan dicuba dahulu bagi menyelesaikan isu itu.



Hanya jika langkah itu gagal, kes itu akan dibawa ke Tribunal Tuntutan Pekerjaan yang akan ditimbang-tara bagi memutuskan jalan terbaik bagi kes tersebut.



Tafep diperkenalkan pada 2006 oleh perikatan tiga pihak meliputi Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef) bagi mempromosikan amalan pengambilan pekerja yang adil, bertanggungjawab dan progresif.



Di bawah garis panduan itu, majikan perlu menggajikan pekerja berdasarkan merit seperti kemahiran, pengalaman dan keupayaan tanpa mengira pelbagai faktor seperti usia, bangsa, agama dan jantina.



Encik Lee akur bahawa sebelum ini pemerintah telah menerima beberapa permintaan bagi mengukuhkan Tafep.



Contohnya NTUC dan Anggota Parlimen (AP) Buruh telah meminta pemerintah agar melaksanakan undang-undang antidiskriminasi yang mengenakan denda.



Tetapi, pemerintah menunda rancangan itu kerana tidak mahu proses itu menjadi konfrontasi atau terlalu terikat dari segi undang-undang.



Ia tetap menyifatkan pertikaian itu dapat dihuraikan dengan baik.



Encik Lee berkata pemerintah sering mendengar aduan bahawa institusi kewangan dan syarikat teknologi maklumat (IT) menggajikan terlalu ramai pekerja asing.



Kedua-dua sektor itu memerlukan pemegang pas pekerja yang ramai kerana Singapura merupakan sebuah hab perniagaan.



Syarikat kewangan dan IT menjalankan fungsi serantau dan sejagat yang memerlukan bakat setempat dan asing.



Lagipun, kata Encik Lee, sektor IT dan kewangan merupakan sektor yang berkembang di mana kemahiran masih belum mencukupi.



Menurut Encik Lee, syarikat-syarikat itu juga menggajikan ramai rakyat Singapura dan memupuk mereka yang berpotensi untuk jawatan kanan dan antarabangsa.



"Jika kita tidak membenarkan mereka (syarikat) mengimport pemegang pas pekerjaan (EP) yang mereka perlukan, syarikat-syarikat ini tidak akan ke sini dan rakyat Singapura akan mempunyai peluang yang berkurangan,'' tambah Encik Lee.



Tetapi, Encik Lee akur terdapat juga syarikat yang tidak bersikap adil dan hanya menggajikan pekerja dari negara mereka menggunakan hubungan atau rangkaian mereka daripada berdasarkan merit.



"Mereka memberikan pekerja asing pekerjaan dan peluang, dan hanya memberikan token kepada pekerja setempat. Ini tentunya menimbulkan masalah,'' tambah Encik Lee.



Sementara itu, wujud keprihatinan terhadap persaingan daripada pemegang pas pekerjaan



Sedang pemegang pas pekerjaan terus bekerja di sini, beliau berkata terdapat pekerja itu yang menjadi penduduk tetap (PR) atau rakyat.



Tetapi kebanyakannya tidak tinggal di sini lebih lama sehingga tidak dapat benar-benar menyerap dalam masyarakat kita.



Ia juga boleh menimbulkan pergeseran sosial kerana mereka tidak serupa dengan penduduk asli di sini.



Untuk mengurangkan pergeseran sosial itu, kedua pihak perlu berusaha menangani perbezaan itu,



"Rakyat Singapura perlu terbuka untuk hidup dan menerima mereka yang tidak seperti kita. Bukan rakyat Singapura pula harus menerima etos dan norma dalam masyarakat dan mencuba untuk menyesuaikan diri,'' ujar Encik Lee.



Tetapi, ada pemegang pas kerja dan keluarga mereka membawa amalan sosial dan perbezaan kelas dari negara asal mereka.



"Ini bertentangan dengan interaksi tidak rasmi dan saksama yang diamalkan rakyat Singapura apabila berinteraksi dengan orang lain, dan ia menyebabkan pergeseran. Justeru bukan rakyat Singapura perlu fahami bagaimana Singapura berfungsi dan cuba menyesuaikan diri,'' tambah Encik Lee.



Tetapi, beliau berkata terdapat juga ramai antara mereka yang telah menyesuaikan diri, yang dapat bertutur dalam Singlish, makan sambal belacan dan durian!



Realitinya, Encik Lee berkata persaingan tidak hanya datang daripada pekerja asing di sini tetapi dari seluruh dunia.



"Warga asing yang berada di Singapura akan mengukuhkan pasukan kita. Mereka adalah rakan sekerja, jiran dan rakan kita.



"Semasa Covid-19, ada antara mereka yang berhadapan dengan kesukaran peribadi, berasingan dari keluarga yang berada di luar negara atau berada di luar Singapura dan tidak dapat pulang ke sini.



"Ramai yang bekerja di barisan hadapan, bersama-sama rakyat Singapura. Mereka juga turut menyumbang kepada Singapura.



"Kita tidak harus berpaling tadah terhadap mereka dan memberikan tanggapan bahawa Singapura ini bersikap xenofobia dan bersikap tidak ramah terhadap warga asing.



"Ia akan meruntuhkan reputasi kita sebagai sebuah hab antarabangsa. Ia akan menjejas pelaburan, pekerjaan dan peluang. Ia akan menjadi satu bencana bagi kita. Dan ia bukan sesuatu yang ingin kita capai,'' katanya.



Beliau menegaskan pentingnya Singapura memberikan mesej jelas kepada dunia bahawa ia akan kekal terbuka kerana ia penting bagi kita terus menakat.




WARGA ASING PERKUKUH PASUKAN



Warga asing yang berada di Singapura akan mengukuhkan pasukan kita. Mereka adalah rakan sekerja, jiran dan rakan kita.



Semasa Covid-19, ada antara mereka yang berhadapan dengan kesukaran peribadi, berasingan daripada keluarga yang berada di luar negara atau berada di luar Singapura dan tidak dapat pulang ke sini.



Ramai yang bekerja di barisan hadapan, bersama-sama rakyat Singapura. Mereka juga turut menyumbang kepada Singapura.



Kita tidak harus berpaling tadah terhadap mereka dan memberikan tanggapan bahawa Singapura ini bersikap xenofobia dan bersikap tidak ramah terhadap warga asing.



Ia akan meruntuhkan reputasi kita sebagai sebuah hab antarabangsa. Ia akan menjejas pelaburan, pekerjaan dan peluang. Ia akan menjadi satu bencana bagi kita. Dan ia bukan sesuatu yang ingin kita capai."
​- Perdana Menteri Lee Hsien Loong.




GARIS PANDUAN PERIKATAN TIGA PIHAK BAGI AMALAN PEKERJAAN ADIL DAN PROGRESIF (TAFEP) BAGI MENANGANI DISKRIMINASI DI TEMPAT KERJA AKAN DIJADIKAN UNDANG-UNDANG.



  • Pendekatan yang diambil akan merujuk kepada cara yang digunakan untuk menangani pertikaian berhubung gaji atau pemecatan tidak adil

  • Cara yang diambil dalam pertikaian sedemikian adalah menerusi pengantaraan dan pendamaian

  • Jika masih tidak dapat dihuraikan, kes akan dirujuk kepada Tribunal Tuntutan Pekerjaan untuk diputuskan

  • Sebuah tribunal serupa akan ditubuhkan bagi menangani diskriminasi di tempat kerja

  • Ia bertujuan melindungi pekerja asing dan wanita, serta pekerja yang menerima layanan berbeza kerana usia, kaum, agama dan keadaan kurang upaya

  • Namun, semua pertikaian akan cuba dihuraikan menerusi pengantaraan dan usaha pendamaian terlebih dahulu




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >