ORANG ramai, selebriti dan ahli politik bergilir-gilir memberi penghormatan mereka kepada mendiang pelakon Aloysius Pang hari ini (26 Jan).
Meskipun upacara penghormatan terakhir pada sebelah pagi di MacPherson Lane itu dikhaskan buat VIP, keluarga atau rakan terdekat mendiang, orang ramai mula tiba seawal 10 pagi bagi membentuk barisan untuk memasuki kawasan tersebut.
Peringatan awam diadakan di 82A MacPherson Lane dari tengah hari tadi hingga tengah hari esok.
Koperal Kelas Pertama (CFC) (NS) Pang, 28 tahun, meninggal dunia malam Rabu lalu akibat kecederaan yang dialami Sabtu lalu semasa menjalani latihan ketenteraan di New Zealand.
Mayatnya diterbangkan ke Pangkalan Udara Paya Lebar menaiki pesawat KC-135R Angkatan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) malam tadi.
Mendiang akan diberi penghormatan pengebumian tentera.
Upacara pembakaran mayat akan diadakan di Krematorium Mandai esok.