UPACARA pentauliahan pegawai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang telah terganggu sekian lama dek Covid-19 sekali gus menutup majlis itu kepada tetamu undangan, diadakan semula buat pertama kali kelmarin.
Para pegawai yang tamat latihan menerima pedang istiadat dan warkah pelantikan di sembilan majlis yang dianjurkan di peringkat tugasan dari kelmarin hingga hari ini.
Upacara itu juga disiarkan menerusi penstriman langsung di laman Facebook Sekolah Pegawai Kadet (OCS).
Dalam ucapannya yang dirakam terlebih dahulu, Presiden Halimah Yacob menarik perhatian bagaimana SAF telah tampil untuk mengurangkan tekanan ke atas sistem penjagaan kesihatan dengan menyokong kemudahan rawatan Covid-19 selain program pemulihan di rumah.
"Usaha kita secara kolektif telah membolehkan kita semua berkumpul di sini secara fizikal, dan menyaksikan pentauliahan anak-anak anda.
"Ini adalah satu langkah permulaan sebelum acara secara fizikal yang lebih besar boleh diadakan sedang keadaan negara kita mula stabil," ujar beliau.
Presiden Halimah menambah:
"Bagi para graduan, anda telah menghadapi cabaran di pelbagai sudut, daripada mengurus latihan di peringkat kumpulan hinggalah kepada sentiasa menyesuaikan diri dengan keadaan Covid-19 yang sering berubah... lebih penting lagi, ia juga telah mengajar anda untuk kekal berdaya tahan dalam menghadapi kesukaran."