PENGUASA Pembangunan Semula Bandar (URA) akan melakukan ujian percubaan untuk memeriksa sama ada kesalahan meletak kenderaan boleh dikesan secara langsung menerusi kamera yang dilengkapkan dalam sebuah kenderaan.
Seorang jurucakap URA pada Khamis (18 Mac) berkata, tujuan percubaan itu untuk membuat kajian terhadap kebolehlaksanaan penggunaan analitis video menerusi kenderaan yang sedang bergerak untuk mengesan dan mengkategorikan pelbagai jenis kesalahan meletak kenderaan, lapor The Straits Times (ST).
Kesalahan tersebut termasuk meletakkan kereta di kawasan yang mempunyai dua garisan kuning, melawan aliran lalu lintas, di laluan mempunyai garisan putih di tengah-tengah jalan raya dua-hala dan di luar kotak letak kenderaan.
Teknologi itu, yang dijangka boleh beroperasi dalam apa jua keadaan cuaca dan pencahayaan, juga berupaya mengesan sekiranya sebuah kenderaan besar telah diletakkan di tempat letak kenderaan yang khusus buat kereta.
Jika kajian tersebut berjaya, bilangan sumber tenaga manusia yang dikerah untuk menangkap pesalah pada masa depan dapat dikurangkan kerana hanya seorang sahaja diperlukan memandu kenderaan tersebut sewaktu operasi penguatkuasaan.