Subuh
5:46
Syuruk
7:06
Zuhur
1:12
Asar
4:33
Maghrib
7:16
Isyak
8:28
Setempat

SERANGAN DI NEW ZEALAND

Usah ambil ringan isu keselamatan, bersatu lindungi satu sama lain: Zaqy

Mar 18, 2019 | 05:30 AM

MASYARAKAT Singapura tidak boleh mengambil ringan tentang isu keselamatan dan harus terus bersatu hati melindungi satu sama lain, kata Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Pembangunan Negara), Encik Zaqy Mohamad.

Ini sebagaimana yang dapat dilihat dalam kes serangan di New Zealand baru-baru ini - sebuah negara yang dianggap aman dan selamat.

Pada masa sama, Encik Zaqy menyeru masyarakat Melayu/Islam agar teruskan usaha meningkatkan pemahaman golongan lain terhadap agama Islam yang bersifat aman dan harmoni.

Encik Zaqy berkata demikian kepada Berita Harian di luar satu acara kemasyarakatan di Kelab Masyarakat Marsiling semalam.

Menurut beliau, kejadian tembakan di dua masjid di Christchurch boleh memberi iktibar kepada masyarakat setempat.

"Serangan yang berlaku di New Zealand, sebuah tempat yang dianggap memang selamat, menunjukkan bahawa keganasan itu berlaku dalam banyak bentuk. "Lantaran itu, masyarakat Singapura harus sentiasa berhati-hati dan tidak boleh mengambil ringan tentang keselamatan kita di Singapura.

"Kita perlu berdiri sebagai satu masyarakat yang teguh dan bersatu padu. "Pada masa yang sama, saya rasa gembira melihat semua lapisan masyarakat dan agama, termasuk golongan Kristian, bersatu hati dan memberi sokongan kepada satu sama lain dalam kejadian ini," ujar beliau.

Bagi masyarakat Melayu/Islam, kejadian serangan itu wajar dijadikan peringatan untuk terus menggiatkan usaha menjalin keharmonian kaum dan memainkan peranan memperkukuhkan pemahaman golongan lain mengenai Islam, menurut Encik Zaqy.

"Apa yang penting ialah kita terus mengetengahkan diri kita sebagai masyarakat yang cintakan keamanan, keharmonian dan menghormati agama lain.

"Pada masa yang sama, kita juga mahu masyarakat lain lebih memahami kita, makanya, usaha tingkatkan pemahaman perlu diteruskan.

"Ini dengan harapan agar tiada kesangsian atau keprihatinan terhadap masyarakat Melayu/Islam," tekan Encik Zaqy.

Dalam hal ini, Encik Zaqy menyeru masyarakat Melayu/Islam setempat supaya meneruskan usaha mendekati golongan lain.

Beliau turut mengingatkan masyarakat agar tidak memaksa golongan lain menerima nilai atau pendirian agama kita.

"Apabila kita memaksa orang lain menerima nilai-nilai kita, mereka akan lebih menjauhkan diri dan inilah yang kita tidak mahu.

"Jadi adalah sangat penting untuk menggalak lebih banyak pemahaman agar kita boleh mencapai pemahaman dan keharmonian.

"Jika kededua pihak bersikap defensif, inilah yang menyebabkan pergeseran atau ketegangan antara kaum," tambah Encik Zaqy.

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian