Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Usah buat tempahan, bayaran pada pihak dakwa dapat urus umrah: Amtas

Jangkakan umrah hanya dapat dilaksana selepas musim Haji 2021; ingatkan jemaah ibadah umrah dalam pandemik Covid-19 berbeza berbanding ibadah umrah sebelum ini
Jan 01, 2021 | 05:30 AM



PERSATUAN Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas) telah menggesa agar orang ramai tidak melakukan sebarang tempahan atau bayaran kepada mana-mana individu atau ejen penjualan pakej umrah dan haji (GSA) yang mendakwa dapat menguruskan perjalanan umrah melalui iklan mereka.



Ini kerana tiada sebarang pengesahan rasmi yang telah dikeluarkan yang membolehkan jemaah dari Singapura melakukan ibadah umrah dalam masa terdekat ini.



Menjelaskan duduk perkara tersebut semasa persidangan media yang diadakan di pejabat Amtas di Arab Street kelmarin, Setiausaha Kehormat Amtas, Encik Shaik Dawood Mohd Yacobb, berkata:



"Untuk menjalankan ibadah umrah, yang pertama, kita perlu mendapatkan visa. Tanpa visa, kita tak boleh berangkat.



"Setakat ini di Singapura, masih belum ada sebarang agensi pun yang boleh mengeluarkan visa umrah sehingga saat ini dan mungkin ia akan mengambil masa yang agak lama... masih belum ada kelulusan lagi untuk agensi di Singapura mengeluarkan visa.



"Semoga dengan ada pengumuman seperti ini dapat memberi kesedaran... terutama kepada jemaah supaya menghindarkan iklan-iklan yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak di dalam media sosial kerana sekali lagi saya ingin menegaskan, umrah pada masa terdekat ini masih belum dapat dijalankan."



Malah, Timbalan Presiden Amtas, Ustaz Jalaluddin Hassan, berkata beliau menjangkakan ibadah umrah hanya bakal dapat dilakukan selepas musim Haji 2021.



Bulan Zulhijah tahun hadapan jatuh pada Julai 2021.



"Keseluruhan masyarakat Singapura dijangka dapat divaksinasi sekitar pada suku ketiga tahun hadapan, jadi sekiranya semuanya berjalan lancar, mudah-mudahan kita akan dapat melihat umrah mungkin bermula semula selepas musim Haji.



"Ini masih dalam perancangan... jika sekiranya lebih awal, alhamdulillah, jika tidak, ia akan mengikut pada perancangan yang ditetapkan pemerintah," ujarnya.



Oleh kerana pandemik Covid-19 masih belum menunjukkan sebarang tanda berkurangan dan keadaan masih belum stabil di serata dunia, jemaah umrah berdepan dengan banyak risiko, bukan sahaja dari segi kesihatan tetapi juga dari segi perubahan perancangan perjalanan serta prosedur operasi standard (SOP).



"Penutupan sempadan boleh berlaku secara mendadak... kalau kita terburu-buru memaksa pihak-pihak relevan supaya mempercepatkan ibadah umrah, kalau apa-apa berlaku, ia akan menjejas diri kita sendiri.



"Yang akan terjejas teruk ialah para jemaah kerana segala perbelanjaan sudah dibuat dan untuk mendapatkan wang kembali agak sukar, kita tak mahu perkara seperti itu berlaku, jadi kita ambil persediaan yang lebih berhati-hati sehingga keadaan benar-benar reda, barulah kita boleh fikirkan langkah seterusnya untuk melakukan umrah.



"Diharapkan para jemaah terus bertenang dan bersabar," tambah Encik Dawood.



Sementara itu, Amtas menegaskan ibadah umrah yang dilalui jemaah dalam pandemik Covid-19 akan berbeza berbanding ibadah umrah sebelum ini.



Beberapa langkah persediaan ketat telah ditetapkan pihak Arab Saudi sejauh ini bagi jemaah umrah, kongsi persatuan tersebut.



Antaranya, jemaah perlu berada dalam lingkungan umur 18 hingga 50 tahun, perlu menjalani kuarantin dua hari di hotel setibanya di Makkah atau Madinah, tidak boleh melakukan umrah secara berseorangan dan mesti mengikut kumpulan tidak melebihi 50 orang.



Tidak seperti dahulu di mana ibadah umrah boleh dilakukan berulang kali, tempoh pelaksanaan umrah kini hanya tiga jam dan sekali sahaja sepanjang tempoh jemaah berada di tanah suci.



Jemaah yang ingin melakukan solat di Masjidil Haram atau Masjid Nabawi/Raudhah perlu membuat permohonan menerusi aplikasi E'tamarna.



Ziarah ke tempat-tempat bersejarah pula tertakluk pada kelulusan daripada pihak berkuasa Arab Saudi.



Amtas juga menjangkakan kemungkinan kenaikan kos pakej umrah disebabkan kos-kos tambahan seperti bagi ujian reaksi rangkaian polimerase (PCR) dan kos lain di luar jangkaan, misalnya jika berlaku penutupan ruang udara secara mendadak atau jika jemaah didapati positif Covid-19 di Arab Saudi dan perlu mendapatkan rawatan di sana.




KENYATAAN MUIS



"Muis berkongsi komitmen Amtas untuk melindungi bakal jemaah dan masyarakat lain secara am daripada risiko dijangkiti. Pendekatan Amtas juga selaras dengan garis pandu nasional yang ada sekarang berkenaan perjalanan ke luar negara. Muis akan terus bekerja rapat dengan Amtas dan pihak berkuasa pemerintah lain untuk terus memantau keadaan dan menilai sama ada ia selamat dan sesuai bagi umrah disambung semula."
- Ketua Perkhidmatan Haji, Muis, Encik Mohamed Faizal Abdul Hathi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >