Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Usah saling tuduh; kukuhkan komitmen persahabatan, kepercayaan

Masagos tekankan keganasan tidak berkait dengan sebarang agama
Jan 28, 2021 | 05:30 AM



MENTERI Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, mengingatkan warga Singapura agar tidak membuat tuduhan ke atas satu sama lain, menyusuli berita penangkapan remaja India beragama Kristian Protestan berusia 16 tahun yang merancang menyerang dua masjid di sini.



Dalam satu pos di Facebook semalam, Encik Masagos, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, mengajak orang ramai agar berusaha terus memperkukuh komitmen bagi membina persahabatan, kepercayaan dan keyakinan yang tinggi dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama sebelum kemelut timbul.



Beliau menekankan bahawa keganasan tidak berkait dengan sebarang agama, malah ia berlaku apabila seseorang mempunyai ideologi pelampau atas nama agama yang dianuti.



"Ternyata ancaman keganasan masih wujud dan pada masa seperti inilah, kita sebagai rakyat Singapura harus bersatu padu, tanpa mengira bangsa, agama ataupun usia dengan berganding bahu membanteras unsur-unsur pengganasan yang ingin memecah belahkan kita, menabur fitnah, menanam rasa syak wasangka dan mengapi-apikan masyarakat berbilang kaum kita," tulisnya.



Pertubuhan Silang Agama (IRO) dalam kenyataannya berkata memang merisaukan apabila orang muda mempunyai sikap bermusuhan terhadap penganut agama lain hingga mendorong mereka melakukan tingkah laku yang ganas.



"IRO menggesa semua orang di Singapura agar membantu memerangi keadaan ekstremisme sedemikian dengan mengukuhkan perpaduan antara agama kita.



"Dalam hal ini, IRO akan terus memainkan peranannya dalam membangunkan hubungan positif antara masyarakat agama di Singapura," kata pertubuhan itu.



Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, dalam catatan di Facebook berkata warga Singapura telah berusaha gigih untuk membangunkan ikatan kepercayaan, rasa hormat dan persefahaman dan tidak boleh membiarkan kes terpencil seorang remaja yang bertindak sendirian untuk menyemai benih kecurigaan dan perselisihan dalam masyarakat.



"Sebaliknya, ini harus mendorong kita agar bekerja lebih keras dengan menghormati dan memahami satu sama lain. Marilah kita berdiri teguh menentang kebencian dan permusuhan, dan terus saling menyokong satu sama lain, tanpa mengira agama atau kepercayaan kita yang berbeza," tulis Encik Tong.



Beliau turut menggesa semua orang agar berhati-hati dan berwaspada ketika mencari maklumat dalam talian dan membimbing ahli keluarga seberapa boleh.



"Tanpa ini, mereka yang mudah terpengaruh dalam kalangan kita dapat dimanipulasi dengan mudah oleh mereka yang mahu memecah-belah dan menghancurkan masyarakat kita," tulisnya.



Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, dalam kiriman Facebooknya pula berkata fabrik sosial Singapura terdiri daripada kaum dan agama berbeza dan warga telah membangunkan masyarakat yang harmoni sepanjang berpuluh tahun lalu menerusi sikap saling memahami dan menghormati.



Beliau menggesa keluarga agar memberi perhatian kepada setiap ahli keluarga dan agar semua orang kekal berwaspada tentang kelakuan atau orang yang mencurigakan.



"Kita mesti bersatu dan tegas menentang sebarang bentuk keganasan ekstremis dan kata-kata kebencian. Ini caranya kita dapat terus mengekalkan masyarakat yang kuat dan padu," tulisnya.




"Ternyata ancaman keganasan masih wujud dan pada masa seperti inilah, kita sebagai rakyat Singapura harus bersatu padu, tanpa mengira bangsa, agama ataupun usia dengan berganding bahu membanteras unsur-unsur pengganasan yang ingin memecah belahkan kita, menabur fitnah, menanam rasa syak wasangka dan mengapi-apikan masyarakat berbilang kaum kita."
- Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.




"... ini harus mendorong kita agar bekerja lebih keras dengan menghormati dan memahami satu sama lain. Marilah kita berdiri teguh menentang kebencian dan permusuhan, dan terus saling menyokong satu sama lain, tanpa mengira agama atau kepercayaan kita yang berbeza."
- Encik Edwin Tong.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >