Subuh
5:36
Syuruk
6:53
Zuhur
12:57
Asar
4:02
Maghrib
6:59
Isyak
8:08
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

Usaha bagi kaji cabaran keganasan keluarga, perkasa mangsa akan dilaksana

Apr 23, 2020 | 09:58 PM

SATU usaha bagi mengkaji cabaran yang dihadapi pelbagai golongan yang mengalami keganasan keluarga dan mengenal pasti cara di mana pemerintah dengan kerjasama rakan masyarakat dapat memperkasa mangsa dan juga pesalah untuk menamatkan kitaran keganasan sedang diusahakan oleh satu pasukan bertindak.

Pasukan Bertindak mengenai Keganasan Keluarga itu akan melaksanakan kajian tersebut dalam beberapa bulan mendatang dan menyasar melaporkan saranan mereka kepada Menteri Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga dalam tempoh setahun.

Pasukan bertindak itu, yang dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling, dan Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, telah mengadakan mesyuarat mereka yang pertama dalam alam maya hari ini.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata kajian itu antara lain akan meneliti usaha mengadakan siri konsultasi bersama agensi khidmat sosial dan pertubuhan bukan pemerintah yang mempunyai pengalaman dalam khidmat keganasan keluarga.

Ini demi mengemaskini dan memperdalami pemahaman mereka tentang landskap keganasan keluarga.

Mereka juga akan mengenal pasti bidang utama bagi peningkatan dan membangunkan daya usaha untuk menyokong mangsa keganasan keluarga dengan lebih baik, dengan menggunakan konsultasi tersebut sebagai dasar untuk membina sepersetujuan.

Pasukan itu juga akan memeriksa bagaimana memberikan sokongan lebih baik dan memperkasa mangsa apabila kes mereka melalui sistem pengadilan jenayah.

MHA dan MSF menambah bahawa disebabkan tempoh pemutus rantaian jangkitan yang dilanjutkan semasa tempoh Covid-19 ini, pasukan itu menyedari bahawa individu dan keluarga mungkin mengalami lebih banyak tekanan pada waktu ini dan ini boleh membawa kepada kejadian keganasan dalam sesetengah kes.

Oleh itu, mereka menggesa individu yang mengalami keganasan keluarga agar tampil mendapatkan bantuan menerusi talian bantuan oleh MSF dan rakan yang lain.

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), MSF berkata Khidmat Perlindungan Orang Dewasa dan Kanak-Kanak mereka menyaksikan peningkatan sebanyak 14 peratus dalam pertanyaan berkenaan keganasan keluarga dalam dua minggu pertama semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan ini (bermula 6 April lalu) berbanding dua minggu sebelumnya.

Cik Sun berkata MHA akan bekerja rapat dengan MSF untuk memastikan penguatkuasan undang-undang dan tugas perundangan berganding bahu dengan pendekatan berteraskan keluarga dan masyarakat MSF untuk menentang keganasan keluarga dengan berkesan.

“Kami akan bekerja keras dalam tahun mendatang, memahami landskap, mempertimbang dan menyemak pelbagai idea sebelum membuat saranan kami,” kata beliau.

Dr Faishal pula berkata usaha seluruh masyarakat diperlukan untuk menangani keganasan keluarga dan pihaknya telah membina rangkaian masyarakat yang kukuh sejak bertahun lalu.

“Semasa tempoh langkah pemutus rantaian jangkitan ini, kami boleh dan akan terus membantu keluarga menangani tekanan secara kolektif agar konflik keluarga tidak bertukar menjadi keganasan.

“Pasukan bertindak ini akan memperkukuh rangkaian sedia ada, mengenal pasti jurang dan bekerjasama dengan pihak berkepentingan kita untuk mewujudkan dan menyampaikan bersama huraian yang menawarkan sokongan lebih menyeluruh, mudah dan berselaras kepada keluarga ini,” kata beliau.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3