Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Usaha bantu 120 asatizah daftar bagi Surat Kuasa Berkekalan

Jan 16, 2022 | 05:30 AM



BUAT julung-julung kalinya, sekumpulan relawan undang-undang di bawah rangkaian M3 bekerjasama dengan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Persatuan Rakyat (PA) semalam dalam usaha membantu sekitar 120 asatizah mendaftar bagi Surat Kuasa Berkekalan (LPA).



LPA ialah alat undang-undang yang membolehkan individu yang berusia sekurang-kurangnya 21 tahun secara sukarela melantik orang lain untuk membuat keputusan dan bertindak bagi pihaknya dalam soal kebajikan peribadi dan ehwal harta sekiranya beliau kehilangan upaya mental, seperti demensia, pada satu hari.



Sesi anjuran tiga karyawan undang-undang di bawah kumpulan Peguam@M3 - Encik Imran Rahim, Encik Matin Razak dan Cik Fathiah Najwa Hassim - itu telah diadakan di Kelab Masyarakat Toa Payoh East, dengan asatizah dapat mendaftar bagi LPA secara percuma.



Acara itu turut dihadiri Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat.



Encik Saktiandi berkata kerjasama kumpulan Peguam@M3 itu bersama Muis dan PA dalam mempertingkatkan kesedaran tentang LPA adalah satu usaha baik, memandangkan kadar orang Melayu yang telah mendaftar bagi LPA adalah rendah jika dibandingkan dengan seluruh negara.



"Masyarakat kadangkala salah tafsir LPA sebagai wasiat atau faraid dan mengaitkannya dengan hal selepas kematian.



"Namun, sebenarnya, ia adalah berkenaan tempoh peralihan apabila seorang individu itu hilang upaya mentalnya. Disebabkan isu kehilangan upaya mental itu, anggota keluarga mempunyai cabaran menguruskan hal ehwal mereka dan ini (LPA) membantu mengurangkan masalah itu.



"Oleh itu, kerjasama ini menyediakan sumber khidmat profesional oleh peguam untuk membantu dan melakukan kebaikan untuk masyarakat," kata beliau.



Menurut perangkaan tahun lalu, daripada 125,000 pendaftaran LPA, hanya sekitar 1,950, atau 1.5 peratus sahaja, dibuat oleh masyarakat Melayu.



Sejak 2019, LPA telah diiktiraf di bawah undang-undang Islam dan disahkan fatwa Muis sebagai alat perancangan awal yang dibenarkan.



Encik Saktiandi menambah bahawa LPA juga membantu dari segi penjimatan kos kerana kos untuk melantik seseorang menguruskan kebajikan dan ehwal individu hanya selepas individu itu kehilangan upaya mentalnya adalah lebih mahal berbanding individu yang sudah mendaftar LPA terdahulu.



"Jika ia (kehilangan upaya mental) berlaku, terdapat kos bagi keluarga anda dari segi melantik seseorang untuk menguruskan kebajikan dan ehwal dan mendapatkan peguam bagi menyelesaikan masalah.



"Dan malah, jika anda mendapatkan khidmat secara pro bono, ia akan mengambil masa yang lama dan masa itu berharga," kata beliau.



Salah seorang asatizah yang mendaftar LPA di sesi itu semalam ialah guru ngaji, Ustazah Wati Arshad, 54 tahun.



Keputusannya untuk mendaftar LPA itu dibuat selepas beliau sendiri mengalami pengalaman menjaga kakaknya yang sakit dan dimasukkan ke unit jagaan rapi (ICU) dahulu.



"Sebagai penjaganya, saya perlu membuat keputusan bagi pihak kakak saya… Pada ketika itu, saya fikir, sekiranya sesuatu seperti ini berlaku pada diri saya sendiri, saya akan memerlukan seseorang yang saya boleh percaya untuk menguruskan hal saya," kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >