USAHA bersama dalam memperkukuhkan keluarga di sini berupaya menyediakan pelbagai sokongan yang dapat membantu Singapura membina sebuah masyarakat inklusif, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Encik Masagos menekankan bahawa keluarga yang kukuh menjadi asas kepada masyarakat di Singapura.
Beliau berkata sedemikian kerana "nilai-nilai daripada ikatan kita dalam keluarga kita adalah apa yang menanam rasa prihatin terhadap orang lain dalam masyarakat dan mengangkat peranan dan tanggungjawab kita terhadap satu sama lain".
"Kekuatan sebuah masyarakat lahir daripada anggota yang menyumbang dan memberi kepada orang lain," ujar Encik Masagos ketika berucap dalam sesi rangkaian masyarakat SG Cares di HomeTeam NS@Khatib semalam.
"Dan apabila keluarga kuat dan stabil, mereka meletakkan asas untuk masyarakat yang kukuh, dan menyediakan persekitaran yang membolehkan kita kanak-kanak untuk berkembang maju, membentuk generasi akan datang," tambah beliau.
Bagaimanapun, Encik Masagos berkata bahawa usaha meningkatkan kehidupan keluarga dan mentransformasi hidup ini memerlukan pelbagai sokongan, yang melibatkan pemerintah, masyarakat, individu dan syarikat.
Encik Masagos mengakui bahawa isu yang dihadapi keluarga hari ini menjadi semakin rumit dalam masyarakat yang pesat berkembang. Justeru, beliau berkata bahawa pendekatan berbeza diperlukan.
"Pendekatan yang mana kita melaluinya bersama keluarga, dalam tempoh yang berterusan, dengan campur tangan di banyak peringkat. Usaha seluruh masyarakat," kata Encik Masagos.
"Sekiranya kompak sosial hari ini adalah untuk kerja bersama-sama, saya percaya bahawa kompak sosial kita hari esok mestilah yang mana kita bekerja secara selari.
"Bukan sebagai bantuan yang berasingan, tetapi sebagai pelbagai sokongan yang kuat. Memenuhi keperluan mereka yang kita bantu," tambahnya.
Usaha sebegini sudah dijalankan pemerintah, menurut Encik Masagos. Pemerintah telah beralih daripada menunggu orang ramai untuk mendekatinya kepada mendekati golongan ini secara proaktif untuk memahami keperluan mereka.
Inisiatif ComLink - yang menyatukan rakan sektor masyarakat, swasta dan awam untuk keluarga yang menetap di rumah sewa dan mempunyai anak-anak kecil - juga menjadi "anjakan paradigma" kepada cara Singapura menyokong keluarga, kongsi Encik Masagos.
Beliau menambah: "Kompak sosial kita telah berkhidmat dengan baik setakat ini. Tetapi sudah tiba masanya untuk kita mengkaji semula, memperbaharui dan mengukuhkan kompak sosial ini, sambil kita membina masa depan yang lebih baik, untuk diri kita dan generasi akan datang."
Turut hadir dalam sesi semalam ialah Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Eric Chua.
Sesi rangkaian SG Cares semalam adalah sebahagian daripada Teras Prihatin (Care Pillar) dalam inisiatif Melakar Hala Tuju Singapura.
"Pendekatan yang mana kita melaluinya bersama keluarga, dalam tempoh yang berterusan, dengan campur tangan di banyak peringkat. Usaha seluruh masyarakat.
Sekiranya kompak sosial hari ini adalah untuk kerja bersama-sama, saya percaya bahawa kompak sosial kita hari esok mestilah yang mana kita bekerja secara selari.
Bukan sebagai bantuan yang berasingan, tetapi sebagai pelbagai sokongan yang kuat. Memenuhi keperluan mereka yang kita bantu."
- Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.