Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Usaha bersama MAEC, kementerian perkaya pembelajaran Bahasa Melayu

Mar 30, 2019 | 12:46 PM



PROSES pembelajaran Bahasa Melayu bagi para pelajar di sekolah rendah dapat diperkayakan lagi dengan adanya usaha kolaborasi bersama antara pihak sekolah dengan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC).



Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata kolaborasi sedemikian akan membolehkan masyarakat memanfaatkan sumber sedia ada dengan tujuan dapat mendedahkan pelajar kepada aktiviti bahasa, budaya dan kesusasteraan Bahasa Melayu, di luar bilik darjah.



“Kita akur bahawa peluang bagi anak-anak kita menggunakan Bahasa Melayu amat terhad.



“Meski ada pelbagai sumber di sekolah, tetapi kita percaya bahawa ada banyak lagi wadah yang boleh kita manfaatkan dan berikan kepada anak-anak kita,” ujarnya.



Dr Faishal berkata demikian semasa satu sesi mendekati guru-guru Bahasa Melayu daripada GRC Pasir Ris-Punggol, di Kelab Masyarakat Pasir Ris East, semalam.



Sesi tersebut bertujuan menghubungkan guru-guru Bahasa Melayu dengan MAEC untuk berkolaborasi dan berinteraksi bagi program Bahasa Melayu yang bersesuaian selain memperkasa pelajar dengan kemahiran bahasa melebihi sekolah.



Sesi tertutup itu turut disertai Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Zainal Sapari dan Timbalan Pengarah Cawangan Bahasa Ibunda, Kementerian Pendidikan (MOE), Encik Zafilin Abdul Hamid.



Menurut Dr Faishal, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), usaha kerjasama itu juga dapat terus dilestarikan dengan tertubuhnya rangkaian M³ – yang terdiri daripada Yayasan Mendaki, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Majlis Penyelaras Kumpulan Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra).

“Apabila kita menggembleng tenaga, kita dapat meraih manfaatnya bersama dan ini penting jika ia memanfaatkan para pelajar kita,” kata Dr Faishal lagi yang telah mengadakan sesi pertemuan dengan para guru Melayu selama tujuh kali sejak 2017.

Tahun lalu MLLPC dengan kerjasama MAEC telah menjalankan kem perintis Perkasa Warisan yang melibatkan 350 pelajar darjah empat daripada 15 sekolah rendah dari estet GRC Tampines dan GRC Nee Soon.

Pelajar telah ke Fort Canning untuk mempelajari tentang pelbagai jenis herba sebelum menghasilkan salad menggunakan herba yang telah mereka pelajari.

Menurut seorang penerima Anugerah Guru Arif Budiman (AGAB), Cikgu Mohamad Zareen Mohamed Shariff, 45 tahun, dari Sekolah Rendah Casuarina yang menjadi fasilitator bagi acara itu, kolaborasi sedemikian amat dialu-alukannya kerana pelajar dapat mengikuti aktiviti secara percuma melalui pendanaan MLLPC.

“Sebagai guru, kami sambut baik sebarang usaha yang dapat meluaskan pengetahuan dan pengalaman pembelajaran pelajar dalam Bahasa Melayu,” ujarnya.

Seorang lagi guru yang turut menjadi fasilitator dan penerima AGAB, Cikgu Noraishah Mostapa, 49 tahun, berkata pelajar dapat mempelajari pelbagai kosa kata Melayu menerusi kem tersebut.

“Aktiviti yang dijalankan merupakan bahan autentik yang dapat meningkatkan lagi rasa seronok pelajar mempelajari bahasa Melayu di luar bilik darjah,” ujarnya.

Tahun ini kem tersebut akan diluaskan lagi kepada sekolah rendah di lima GRC lain dan dijangka memanfaatkan sekitar 700 pelajar.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >