USTAZAH Khairulnizah Abdul Hamid masih ingat pengorbanan yang dilakukannya semasa menyiapkan tesis bagi pengajiannya sekitar empat tahun lalu.
Ibu tujuh anak ini terpaksa berulang-alik antara Singapura dan Kuala Lumpur bagi bertemu penyelianya bagi perbincangan, semakan dan pembentangan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) - Kuala Lumpur, selain mendapatkan bahan untuk tesis.
Waktu itu beliau mengikuti program sarjana falsafah di bawah program pascasarjana pengajian Islam di Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri dengan kerjasama Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan Pusat Kajian Tinggi Sains, Islam dan Peradaban-Raja Zarith Sofiah Universiti Teknologi Malaysia.
Semua kerja keras dan penat lelah Ustazah Khairulnizah, 42 tahun, membuahkan hasil apabila beliau bukan sahaja lulus, malah muncul sebagai pelajar terbaik kohortnya.
Lulusan Madrasah Aljunied Al-Islamiah ini antara lebih 340 siswazah daripada Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri, Andalus dan Cordova yang menerima sijil tamat pengajian dalam satu konvokesyen hujung minggu lalu.
Ia acara fizikal terbesar yang dianjurkan institut Islam itu sejak sekatan Covid-19 dilonggarkan.
Mengongsi tentang perjalanan pendidikannya, Ustazah Khairulnizah, seorang pengurus kanan Divisyen Pendidikan Andalus, berkata meskipun menghadapi pelbagai cabaran, beliau bersyukur kerana ramai orang, termasuk ahli keluarganya, sentiasa menyokong usaha beliau.
"Saya masih ingat apabila perlu ke KL, ada kalanya keluarga ikut saya, tapi ada masa pula mereka terpaksa ditinggalkan.
"Tetapi saya amat bersyukur mereka memahami, terutama sekali suami saya, yang memberi sokongan sepenuhnya sejak saya meluahkan hasrat melanjutkan pelajaran.
"Malah, beliau sering membantu menguruskan perihal anak-anak, terutama pada masa kritikal," katanya.
Anak-anaknya berusia antara dua bulan dengan 19 tahun.
Ustazah Khairulnizah, yang mempunyai ijazah sarjana muda pengajian Islam dalam bidang Syariah dari Universiti Al-Azhar di Mesir, menambah bahawa kejayaannya tidak mungkin tercapai tanpa sokongan dan doa ibunya, Cik Kamariah Abdul Rahim, 65 tahun.
"Saya sering memohon emak saya mendoakan agar semua urusan saya dipermudahkan dan berjalan lancar," katanya.
Lebih daripada itu, yang sering mendorong Ustazah Khairulnizah ialah keinginan dan daya tahan mengejar bukan ganjaran di dunia sahaja, bahkan di akhirat, yang bagi beliau, lebih bermakna,
"Niat adalah penting. Kita perlu pasangkan niat melakukannya ikhlas kerana Allah swt. Kita juga perlu berusaha dan mempunyai kesungguhan untuk terus meningkatkan ilmu dan menjadikannya prinsip berterusan dalam hidup kita," katanya.