Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

USAHA LESTARI PERSURATAN NUSANTARA

Perkumpulan Seni lahir pelapis muda

Presiden Halimah Yacob hadir selaku tetamu terhormat di majlis pelancaran dua buku oleh Perkumpulan Seni pada Sabtu lalu. Berikut sedutan ucapan beliau di majlis itu.
Feb 23, 2022 | 05:30 AM



SAYA mengucapkan terima kasih kepada Perkumpulan Seni, atau dikenali dengan singkatan PS, kerana mengundang saya ke majlis yang penting ini.



Saya mengucapkan tahniah kepada 30 penulis atas penerbitan Enigma, dan kepada Chairul Fahmy Hussaini atas penerbitan puisi beliau Perjalanan Alang Budiman.



Ia merupakan satu perkara yang perlu dipuji bagi pihak PS yang bekerjasama dengan penulis untuk berkongsi gambar pengalaman kehidupan mereka yang bermakna sewaktu mereka menetap di Singapura, pada waktu dahulu dan sekarang.



Saya pasti cerita dan puisi ini akan memberi pembaca pandangan yang menarik tentang dunia yang kita diami, cabaran hidup kita serta tentang tingkah laku manusia.



Saya gembira apabila mendapat tahu bahawa sejak enam dekad lalu, PS telah menyumbang secara signifikan dalam mempromosikan seni dan budaya Melayu moden dan tradisional.



Saya juga memuji PS kerana memainkan peranan penting dalam menyemai norma budaya Melayu dan menghayati nilai-nilai murni di samping menggalakkan masyarakat menjadi progresif dan berjaya, bukan sahaja dalam bidang seni tetapi juga dalam mengejar kecemerlangan akademik.



Daripada pementasan drama, seperti Ribut, Rashomon dan Sumbangsih, kepada produksi kreatif pelbagai program hiburan seperti Gema Seni dan Gema Tari, PS hari ini kekal aktif, mengambil bahagian dalam program seni tempatan, serantau dan antarabangsa seperti Pesta Muara, Pesta Penulis Singapura dan pelbagai lagi pesta kebudayaan dan sastera yang dianjurkan di luar negara, seperti oleh Dewan Bahasa & Pustaka (DBP, Malaysia) dan Dewan Sastera Asia Tenggara (Mastera, Indonesia).



Hasilnya juga jelas dilihat. Selama bertahun-tahun, pemimpin dan ahli PS telah diiktiraf dan diberi penghormatan atas kecemerlangan mereka dalam bidang seni, sastera dan pembangunan belia, seperti Anugerah Sasterawan Negara Malaysia (Usman Awang); Anugerah Pingat Kebudayaan Singapura (Bani Buang dan Abdul Ghani Hamid); Anugerah Kebudayaan dan Komunikasi Asean (Zubir Said); Anugerah Penulisan SEA (Abdul Ghani Hamid); Anugerah Harapan Belia Goh Chok Tong 2017 dan Anugerah Belia Singapura 2017 (Dr Amin Farid); serta Anugerah Sastera Melayu 2020/2021 (Jamal Ismail).



Saya berharap ahli PS akan terus mencapai kecemerlangan dan terus giat mempromosikan seni dan budaya Melayu agar dapat dihayati oleh masyarakat yang lebih meluas.



Apabila saya diundang ke majlis ini, saya berasa besar hati kerana berpeluang bertemu dengan ramai penulis dan penggiat seni yang bukan sahaja gigih berkarya secara kreatif, tetapi tanpa disedari ramai, tekal sebagai pujangga yang membangun nilai insan dan kesantunan hidup.



Kedua-dua naskhah, Enigma dan Perjalanan Alang Budiman, menonjolkan resam, budaya pemikiran dan teras kehidupan masyarakat Melayu yang kian berubah - sesuai dengan perkembangan masa dan peredaran zaman.



Langkah Perkumpulan Seni mengumpul para penulis Singapura untuk menghasilkan karya kreatif dalam bentuk cerpen dan puisi bukan hanya bermakna tetapi sangat penting bagi masa depan persuratan tanah air kita - ia memberi ruang kepada para penulis muda dan mapan menggilap bakat dan mengisi takungan bakat.



Langkah ini juga menyumbang kepada usaha pelestarian persuratan Nusantara, apatah lagi dengan peranan bahasa dalam persuratan sebagai wadah yang menatar warisan budaya tidak ketara atau intangible cultural heritage.



Kedua-dua buku, Enigma dan Perjalanan Alang Budiman, merupakan dokumen kesusasteraan penting yang merakam warisan so0siobudaya bangsa.



Seperti kata pujangga Dr Masuri S.N., "sastera dicipta untuk manusia" kerana sastera "tetap mengisikan human experience, iaitu tentang suka duka, hidup mati; lapar-kenyangnya umat manusia".



Masuri S.N., Suratman Markasan, Mohamed Latiff Mohamed, Muhammad Ariff Ahmad, dan Abdul Ghani Hamid merupakan deretan sasterawan kita yang meninggalkan kesan mendalam kepada dunia sastera nasional dan serantau.



Kini tiba masanya Perkumpulan Seni memain peranan lebih besar, melahirkan golongan penulis pelapis yang berbakat untuk memikul gagasan pembangunan negara ke arah dunia baharu pasca Covid-19.



Namun untuk maju, harus ada anjakan dari segi daya fikir dan pendekatan agar penulis kita mampu mencapai kejayaan lebih besar lagi bermakna, dari peringkat tempatan dan serantau ke peringkat antarabangsa.



Ini harus menjadi iltizam kita.



Dalam zaman serba pesat ini, penulis harus berupaya meluaskan jangkauan dan capaian agar karya kreatif mereka dapat diterima dan diminati oleh generasi era digital.



Penulis perlu meluaskan daya fikir bagi memastikan karya mereka dapat disesuaikan untuk tatapan generasi millenia dan generasi seterusnya menerusi padanan untuk terbitan di alam digital.



Tidak dinafikan, Youtube, IG, Tiktok, Facebook dan Netflix contohnya, adalah wadah digital bagi penjanaan sumber rezeki.



Lihat juga bagaimana Netflix menawarkan karya kreatif dalam pelbagai Bahasa untuk tontonan dunia, dijelmakan dalam bentuk dokumentari, drama bersiri, doku-drama dan filem, sekali gus mengesahkan kepada kita Bahasa Melayu tidak harus tertumpu pada khalayak berbahasa Melayu sahaja.



Memanfaatkan saluran dan wadah berbeza bukan sahaja akan meningkatkan tahap pasaran dan populariti karya kreatif Melayu di persada antarabangsa malah lebih penting lagi, menyemarakkan usaha penggunaan bahasa ibunda agar masyarakat Melayu sendiri tidak canggung dalam memartabat Bahasa bangsa.



Diharapkan para penulis akan terus berkarya dan Perkumpulan Seni turut meneroka peluang untuk melangkah lebih jauh dalam mempopularkan karya-karya sastera dan mengantarabangsakan karya kreatif Melayu tempatan.




BERI RUANG PENULIS MUDA GILAP BAKAT DAN ISI TAKUNGAN BAKAT



Langkah Perkumpulan Seni mengumpul para penulis Singapura untuk menghasilkan karya kreatif dalam bentuk cerpen dan puisi bukan hanya bermakna tetapi sangat penting bagi masa depan persuratan tanah air kita - ia memberi ruang kepada para penulis muda dan mapan menggilap bakat dan mengisi takungan bakat. Langkah ini juga menyumbang kepada usaha pelestarian persuratan Nusantara, apatah lagi dengan peranan bahasa dalam persuratan sebagai wadah yang menatar warisan budaya tidak ketara atau intangible cultural heritage.




PERLU ADA ANJAKAN DARI SEGI DAYA FIKIR DAN PENDEKATAN



Kini tiba masanya Perkumpulan Seni memain peranan lebih besar, melahirkan golongan penulis pelapis yang berbakat untuk memikul gagasan pembangunan negara ke arah dunia baharu pasca Covid-19. Namun untuk maju, harus ada anjakan dari segi daya fikir dan pendekatan agar penulis kita mampu mencapai kejayaan lebih besar lagi bermakna, dari peringkat tempatan dan serantau ke peringkat antarabangsa. Ini harus menjadi iltizam kita. Dalam zaman serba pesat ini, penulis harus berupaya meluaskan jangkauan dan capaian agar karya kreatif mereka dapat diterima dan diminati oleh generasi era digital. Penulis perlu meluaskan daya fikir bagi memastikan karya mereka dapat disesuaikan untuk tatapan generasi millenia dan generasi seterusnya menerusi padanan untuk terbitan di alam digital.
- Presiden Halimah Yacob




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >