Subuh
5:28
Syuruk
6:47
Zuhur
12:50
Asar
4:09
Maghrib
6:51
Isyak
8:02
Setempat

Usaha M³ kurangi pesalah bentan raih hasil baik

Kurikulum jagaan dalam penjara yang dipertingkat bagi persiap banduan selepas bebas, akan diperkenalkan bulan depan
Nov 17, 2019 | 05:30 AM

USAHA dijalankan di bawah gerakan M Kuasa Tiga (M³) sejauh ini bagi membantu golongan yang mudah terjejas dan mengurangkan kadar kebentanan dalam kalangan pesalah telah mencatatkan kemajuan baik.

Namun, banyak lagi yang akan dilakukan di bawah M³ - kerjasama antara Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Yayasan Mendaki dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra) - bagi mempertingkatkan lagi sokongan buat golongan itu, kata Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal dalam Negeri merangkap Kesihatan), Encik Amrin Amin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas inisiatif M³ sejauh ini dalam membantu golongan tersebut dalam satu acara bagi melancarkan bidang tumpuan kedua M³ - iaitu menyokong golongan mudah terjejas dan keluarga mereka serta memastikan kemajuan dalam mengurangkan kadar kebentanan dalam kalangan pesalah, di Masjid Assyafaah dekat Sembawang semalam.

Sejak tahun lalu, lebih 400 relawan menabur bakti untuk membantu mereka yang memerlukan menerusi pelbagai program yang dijalankan tiga badan itu.

Misalnya, seramai 130 kaunselor agama dan 196 pendamping masyarakat tampil membantu pesalah dan keluarga mereka di bawah inisiatif Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan bagi Pesalah dan Keluarga (Fitrah) kendalian Muis.

Mendaki pula merintis kumpulan Keluarga Akrab (FEC) Julai lalu, untuk penjaga kanak-kanak yang ibu bapa mereka merupakan pesalah atau bekas pesalah manakala Persatuan Rakyat (PA) melalui badan akar umbinya seperti PA Mesra merekrut 85 relawan Melayu bagi menyokong Projek Masyarakat Reben Kuning (YRCP) di M³@Woodlands, M³@Bedok dan M³@Jurong.

"... kita berganding bahu dengan pemerintah, akar umbi, di mana kita memperkukuhkan dan menggandakan usaha supaya mesej yang jelas ditekankan iaitu keluarga yang tertekan dan keseorangan tidak merasakan mereka dipinggirkan masyarakat dan tetap ada tempat dan mereka yang dibebaskan daripada penjara rasa yang mereka masih dihargai dan ada potensi tinggi," kata Encik Amrin.

Menurut beliau, kadar pesalah Melayu yang mengulangi kesalahan mereka berjaya dikurangkan hasil bantuan pemerintah, badan Melayu/Islam, rakan masyarakat dan relawan.

Jumlah penyalah guna dadah Melayu yang ditangkap berkurang daripada 3,200 individu pada 1993 kepada sekitar 1,700 individu hari ini.

Bagi menggiatkan usaha menyokong pesalah dan keluarga mereka, Encik Amrin berkata satu kurikulum jagaan dalam penjara yang dipertingkat bagi memenuhi keperluan dan mempersiapkan banduan untuk kehidupan selepas dibebaskan, akan diperkenalkan bulan depan.

"Walaupun kita telah meraih kemajuan yang baik, tetapi realitinya ialah lebih banyak yang harus kita lakukan sebagai masyarakat. Ini hanyalah satu langkah permulaan… Kita perlu secara satu masyarakat memikirkan semula cara yang benar-benar dapat memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.

"Dengan itu, kita adakan M³ ini supaya kita memberi kuasa kepada mereka yang mampu, agensi-agensi yang banyak sumber dan kebolehan, untuk menyahut cabaran ini," ujarnya.

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian