Subuh
5:50
Syuruk
7:07
Zuhur
1:12
Asar
4:13
Maghrib
7:15
Isyak
8:23

Usaha seluruh masyarakat diperlu bagi ubah salah tanggap isu kesihatan mental

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

WEBINAR KESIHATAN MENTAL ANJURAN PPIS-BH

Usaha seluruh masyarakat diperlu bagi ubah salah tanggap isu kesihatan mental

Presiden Halimah: Harus wujudkan ruang selamat dalam masyarakat agar lebih ramai rasa selesa dapat bantuan
Oct 03, 2021 | 05:30 AM

MENGUBAH pemikiran masyarakat mengenai masalah kesihatan mental memerlukan usaha sama setiap pihak dalam masyarakat itu sendiri, kata Presiden Halimah Yacob

Bahkan, mengadakan lebih banyak wacana tentang isu kesihatan mental dan usaha membina daya tahan terhadapnya dapat membantu menghasilkan perubahan positif yang nyata dalam landskap kesihatan mental di Singapura, tambahnya.

Ini setelah kajian setempat menunjukkan kesan psikososial yang buruk akibat Covid-19 pada pelbagai segmen penduduk.

"Usaha mengubah tanggapan masyarakat yang sudah berakar umbi memerlukan usaha setiap orang dalam masyarakat.

"Mudah untuk kita menganggap bahawa sebagai individu, usaha kita tidak cukup untuk menghasilkan perubahan positif yang nyata dalam landskap kesihatan mental di Singapura.

"Namun, usaha yang kecil pun boleh meninggalkan kesan besar dalam menjaga dan menyokong seseorang," kata Puan Halimah ketika berucap di webinar kesihatan mental anjuran Persatuan Pemuda Pemudi Islam Singapura (PPIS) dan Berita Harian semalam.

Menurut beliau lagi, usaha membina daya tahan mental merupakan usaha sepanjang hayat dan harus bermula dari usia muda - sama seperti bagaimana seseorang menjaga kesihatan atau kesejahteraan fizikal mereka.

Justeru, dengan adanya ruang yang selamat bagi perbincangan terus-terang akan menjadikan tindakan meminta bantuan satu perkara biasa.

"Kita harus mewujudkan ruang yang selamat dalam masyarakat agar lebih ramai orang akan kian merasa selesa untuk tampil dan meminta bantuan," ujarnya.

Meskipun begitu, Puan Halim menegaskan bahawa adalah penting untuk mengenal pasti simptom kesihatan mental awal.

Dalam pada itu, sokongan yang boleh didapatkan di rumah, sekolah, tempat kerja dan masyarakat juga penting bagi pemulihan.

Memberi contoh, Puan Halimah berkata ibu bapa yang mempunyai kanak-kanak yang menghadapi masalah kesihatan mental perlu memainkan peranan penting.

Ini kerana stigma yang dikaitkan dengan kesihatan mental boleh membawa akibat yang buruk jika ibu bapa mengelakkan daripada meminta bantuan buat anak-anak mereka.

Oleh itu, masyarakat perlu bertimbang rasa dan mempunyai sikap terbuka apabila ibu bapa mengetengahkan masalah kesihatan mental anak-anak mereka, tegas Puan Halimah lagi.

Menyusuli trend yang membimbangkan terhadap isu kesihatan mental di kalangan masyarakat, terutama sepanjang tempoh pandemik Covid-19 ini, Puan Halimah memuji usaha yang dijalankan pelbagai pihak untuk membantu menangani masalah ini.

Antaranya, inisiatif oleh badan Melayu/Islam seperti Club Heal dan PPIS. Sebagai contoh, PPIS telah memperkenal SYM Academy, ruang yang selamat di mana wanita Muslim boleh berusaha meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan mental mereka.

"Saya gembira kerana kita juga menjalankan usaha mengenai perkara ini dalam masyarakat Melayu/Islam.

"Terdapat pelbagai inisiatif yang memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan daya tahan psikososial masyarakat.

"Usaha seperti ini membina sumber masyarakat yang ada dan menyediakan jalan bagi orang ramai mendapatkan sokongan tanpa dinilai," kata beliau.

Mengulas tentang webinar yang bertajuk 'Be Kind To Your Mind' atau Utamakan Minda Anda, Puan Halimah berkata ia merupakan satu inisiatif penting untuk mendekati masyarakat tentang langkah meningkatkan kesedaran tentang kesihatan dan kesejahteraan mental.

Lebih daripada webinar tersebut, beliau turut menggesa institusi yang sehaluan untuk terus bekerjasama dengan satu sama lain untuk meningkatkan usaha memperkukuh kesejahteraan mental masyarakat.

"Kita semua tidak bersendirian dalam perjalanan ini. Pendekatan kolektif dan secara bekerjasama diperlukan agar ia berkesan dalam usaha kita membangun masyarakat yang lebih prihatin dan inklusif.

"Bersama, kita dapat memperkasa mereka yang hidup dengan masalah kesihatan mental untuk mencapai potensi mereka sepenuhnya, dan membantu orang lain dalam pemulihan mereka, sedang kita berusaha menuju masa akan datang yang lebih baik buat semua," ujarnya.


MASALAH MENTAL DI SINGAPURA

Kajian tempatan menunjukkan kesan buruk psikososial Covid-19 ke atas pelbagai golongan masyarakat.

  • Kajian oleh Institut Kesihatan Mental (IMH) antara Mei 2020 hingga Jun 2021 mendapati, 13 peratus penduduk menghadapi kemurungan atau tanda-tanda kegelisahan atau perasaan tidak menentu, dalam tempoh setahun sejak pandemik bermula
  • Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) menjalankan satu kajian bagi mengetahui kesan Covid-19 ke atas kumpulan yang lebih memerlukan bantuan, termasuk isi rumah berpendapatan rendah dan orang kurang upaya.
    Kajian mendapati semasa tempoh Pemutus Litar (CB), tekanan dalam psikologi dan rasa sakit dan kurang selesa di kawasan psikosomatik adalah satu yang biasa merentasi kumpulan yang diselidik.
  • Pusat Penyelidikan Berkenaan Penuaan Yang Berjaya Universiti Pengurusan Singapura melaporkan peningkatan sangat tinggi dalam rasa keasingan di kalangan responden semasa CB bermula pada April 2020, dengan jumlah lebih besar bagi mereka yang tinggal sendirian. Ini membimbangkan kerana kajian juga menunjukkan pengasingan sosial sering dikaitkan dengan hasil kesihatan mental yang negatif.
  • Talian National CARE (NCH) dilancarkan pada April 2020 bagi menyediakan sokongan untuk mereka yang menghadapi masalah kesihatan mental disebabkan Covid-19. Sehingga akhir Ogos 2021, jumlah panggilan melebihi 50,000 dengan tiga pemanggil menyatakan tiga keperluan utama: sokongan emosi, isu berkaitan kesihatan mental dan berkaitan keluarga atau hal sosial.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3