Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: IKON MASYARAKAT

Usaha seniman lestari legasi batik dalam era digital

Dec 05, 2021 | 05:30 AM



SENI batik, berbanding dengan medium lain, berkait rapat dengan budaya.



Untuk menghargainya, bukan setakat melihat dan memiliki, bahkan perlu ada usaha menyediakan ruang atau tempat untuk mempelajari dan mempraktikkannya.



Selain itu, bahan-bahan kajian dan rujukan yang relevan dengan dunia batik Singapura perlu diperluas.



Menyedari keperluan ini demi meneruskan legasi batik di Singapura, seniman Kamal Dollah, biarpun selama ini lebih banyak "mencari makan" dengan melukis karikatur dan seni kontemporari, tetap menyiapkan ruang di studionya khusus untuk pendidikan batik, yang dibuka kepada orang ramai.



MAHU KENAL BUDAYA SENDIRI



"Pendidikan seni lukis di sini lebih tertumpu kepada ala-Barat. Semasa sekolah saya tidak diajar tentang batik. Tetapi saya sengaja mencari cara lain di luar kurikulum sekolah untuk mempelajarinya kerana jika tidak, saya tidak akan kenal seni budaya sendiri.



"Untuk teruskan legasi batik di Singapura, kita perlukan ruang untuk mempelajarinya dan berlatih. Sebab itu saya buat program untuk orang belajar asas batik, siapa-siapa pun boleh masuk belajar. Kita perlu praktikkannya daripada peringkat bawah.



"Selain itu, perlu juga ada bahan-bahan kajian untuk dirujuk.



"Sayangnya bahan-bahan rujukan batik, terutama yang berkaitan dengan dunia batik Singapura, sangat kurang dan kebanyakan bahan yang adalah daripada perspektif Barat atau bukan tentang batik di Singapura," kata pemilik studio dan balai seni Kamal Arts yang terletak di tingkat paling atas Wisma Geylang Serai.



Encik Kamal berkongsi pemerhatian itu sebagai menjawab soalan hos The BM Show yang bertanya usahanya meneruskan legasi batik di sini, terutama selepas pemergian adibatik, Allahyarham Sarkasi Said.



Encik Kamal, antara yang terlibat mengusulkan agar Allahyarham Sarkasi dianugerahkan Pingat Budaya, menyifatkan pemergian sifu seni lukis itu sebagai kehilangan yang besar. Allahyarham Sarkasi menerima pingat itu pada 2020.



"Sumbangan dan perjalanan seni batik Sarkasi antara contoh yang perlu kita simpan sebagai rujukan. Memang ada bahan tentang batik dan rujukan dari Malaysia dan Indonesia, tetapi kita perlu orang-orang kita sendiri untuk bercerita tentang kita kerana kita lebih tahu tentang kita," kata Encik Kamal.



Encik Kamal, 54 tahun, menamatkan diploma dalam reka bentuk grafik di Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa) pada 1993. Beliau terlibat secara aktif dalam persada seni tempatan dan kembali ke Nafa pada 2007 untuk mendapatkan ijazah Sarjana Sastera dalam Amalan Kontemporari dari Universiti of Huddersfield (UK), dengan tesis bertajuk Innovating Tradition - Batik Painting in Contemporary Art Practice.



ADA SENIMAN MENYERLAH



Ketika ditanya sejauh mana masyarakat tempatan menghargai masterpiece seniman Melayu Singapura sebagai seni "collector" atau karya yang disimpan kerana nilainya, Encik Kamal berkata beliau telah melihat beberapa seniman yang mendapat penghormatan dan kepercayaan ke tahap itu.



"Kita ada dua atau tiga seniman Melayu yang saya lihat sangat menyerlah, tetapi keadaannya sekarang ialah, kekurangan dari segi penghasilan daripada seniman itu sendiri.



"Seniman yang bagus tetapi kurang berkarya. Mungkin juga mereka berasa belum mantap. Kalau mereka mantap, memang ada pasaran untuk karya seni lukis kerana saya sendiri sudah melihat urusan jual beli melibatkan karya seniman Melayu yang memberangsangkan," kongsi beliau.



Bahkan Encik Kamal berkongsi baru-baru ini sebuah lukisannya yang ditempah khas oleh sebuah bank dan dijual pada harga $20,000.



Apabila ditanya apa yang boleh dilakukan untuk meningkatkan penghargaan masyarakat terhadap karya seni tempatan, Encik Kamal berkata masyarakat perlu ada kemahuan untuk mengenal seniman kita dan bersikap peduli dengan perkembangan seni tempatan.



"Datang ke balai seni adalah satu cara, tetapi sekarang, tanpa hadir secara fizikal pun kita masih boleh ambil tahu apa yang berlaku.



"Seni sudah masuk ke galeri digital dan pelukis sendiri pun boleh cari makan dengan memahami pasaran di wadah digital.



"Orang kecoh cakap pasal NFT (Non-fungible tokens), padahal, apa pun perkembangan teknologi, yang penting, seniman perlu berkarya. Dah ada banyak bantuan di zaman teknologi canggih ini. Manusia hanya perlu berkarya," kata beliau.



TAPAK LANGKAH KE DEPAN



NFT ialah aset digital yang mewakili objek dunia sebenar seperti seni, muzik, item dalam permainan dan video. Ia dibeli dan dijual dalam talian, selalunya dengan mata wang kripto, dan ia biasanya dikodkan dengan perisian asas yang sama seperti kebanyakan mata wang kripto.



"Selalu orang bertanya, kerja melukis ini boleh buat duit ke? Pemikiran kita kena berubah.



"Dengan dunia digital, kita pelukis pun boleh hasilkan lukisan tanpa perlu fizikal. Gambar itu digital. Ini alam maya dan sebagainya. Jadi saya lihat perlu ada perubahan minda.



"Jangan lihat pelukis itu macam dulu... lukisan seniman jalanan atau lukisan hanya dijual di galeri dan sebagainya. Bahkan galeri pun dah seperti perniagaan yang lain yang boleh dikatakan hampir pupus. Tak perlu lagi,'' ujar beliau.



Sebab itu, tambah beliau, galeri yang beliau uruskan di Wisma Geylang Serai lebih dilihat sebagai tapak untuk melangkah ke depan, termasuk membuka ruang kepada pelbagai projek kolaborasi.




"Selalu orang bertanya, kerja melukis ini boleh buat duit ke? Pemikiran kita kena berubah. Dengan dunia digital, kita pelukis pun boleh hasilkan lukisan tanpa perlu fizikal. Gambar itu digital. Ini alam maya dan sebagainya. Jadi saya lihat perlu ada perubahan minda. Jangan lihat pelukis itu macam dulu... lukisan seniman jalanan atau lukisan hanya dijual di galeri dan sebagainya. Bahkan galeri pun dah seperti perniagaan yang lain yang boleh dikatakan hampir pupus. Tak perlu lagi.''
- Encik Kamal Dollah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >