Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

'Usaha' tambahan pelajar mudahkan masuk sekolah pilihan

Sertai kelab, tanding di luar negara 'cerahkan' peluang diterima pengambilan langsung ke sekolah
DSA
Sep 05, 2022 | 05:30 AM



SEJAK kecil lagi Amirul Hakim Bakhtiar memang minat dengan sukan bola sepak dan menyertainya sebagai kegiatan kokurikulum (CCA) di sekolah rendah.



Namun, apabila dia berada di darjah lima, Amirul mengambil keputusan menyertai sebuah kelab bola sepak setempat, bukan sahaja untuk menajamkan kemahirannya dalam sukan tersebut, malah mendapatkan peluang mengambil bahagian dalam pertandingan antarabangsa.



Baginya, dengan peluang beraksi di pertandingan luar negara, ia dapat memberinya 'kelebihan' ke sekolah menengah pilihannya iaitu Sekolah Victoria (VS) melalui Pengambilan Masuk ke Sekolah Secara Langsung (DSA) tahun lalu.



Ternyata keputusannya itu berhasil.



Amirul yang kini berusia 14 tahun berjaya mendapatkan tempat ke VS menerusi DSA dua tahun lalu.



Sementara itu, menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), Kementerian Pendidikan (MOE) berkata hampir 10 peratus atau 3,700 daripada kohort darjah enam pada 2021 telah diterima masuk ke sekolah menengah melalui DSA-Menengah (DSA-Sec).



Untuk tahun ini, MOE berkata Latihan DSA masih lagi berlangsung.



Menurut laman web MOE, murid yang dipilih akan menerima tawaran DSA-Menengah daripada sekolah menjelang 12 September ini.



Diminta mengulas, anggota Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Pendidikan berkata DSA telah menawarkan peluang bagi pelajar terus mengejar minat mereka semasa di sekolah menengah dan berharap lebih banyak bidang akan dipertimbangkan di bawah laluan tersebut.



Anggota GPC tersebut, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, berkata buat masa ini DSA telah memenuhi matlamatnya.



"Bagaimanapun saya berharap lebih banyak tempat diperuntuk bagi pelajar yang ingin mengikuti bidang kepakaran di sekolah yang mereka pilih melalui laluan DSA agar mereka diberi peluang meneroka laluan tersebut dengan lebih mendalam.



"Namun saya sedar peruntukan bagi setiap sekolah agak terhad dari segi ruang," kata Anggota Parlimen GRC Jalan Besar itu.



Meskipun demikian, beliau menekankan bahawa perlu ada keseimbangan dan ibu bapa tidak "keterlaluan" dalam mempersiapkan portfolio anak mereka semata-mata untuk mempertingkat peluang mereka memasuki sekolah pilihan.



Menurut Dr Wan Rizal, kededua pengaruh alami dan dipupuk atau 'nature versus nurture' mampu memperbaiki prestasi seseorang pelajar dalam sesuatu bidang yang mereka dalami, tetapi setiap aspek mempunyai cabarannya.



Misalnya seseorang yang tidak mempunyai bakat boleh dilatih melebihi paras bakat yang dimilikinya menerusi bimbingan yang baik oleh jurulatih.



Pada masa yang sama, pelajar yang berbakat mempunyai potensi lebih besar untuk berjaya meski tanpa bimbingan yang meluas.



"Sekolah sedar akan aspek ini dan mereka mengambil pendekatan yang menyeluruh dalam pemilihan. Bidang lain melebihi gred turut akan dipertimbangkan pihak sekolah dan dalam kes ini, prestasi serta ciri lain yang dimiliki pelajar seperti kepimpinan, minat, karakter, dan keupayaan untuk terus memperbaiki diri, merupakan antara faktor yang dilihat sekolah," katanya lagi.



Akur, pengerusi GPC bagi Pendidikan, Encik Patrick Tay, yakin sekolah mempunyai keupayaan mengasingkan pelajar bergantung pada minat dan keupayaan pelajar dalam sesuatu bidang kepakaran mereka.



"Saya percaya proses pemilihan DSA yang dijalankan pihak sekolah bertujuan memilih mereka yang benar-benar mempunyai minat yang mendalam dalam bidang yang diterajui berbanding dengan memilih mereka yang sekadar mengambil bahagian dalam pertandingan semata-mata untuk 'mencantikkan' portfolio mereka," katanya.



Ibu Amirul, Cik Hanifah Syed Ahmad akur penglibatan dalam pertandingan antarabangsa bukan kayu ukur seseorang murid diterima masuk sekolah menerusi laluan DSA.



Justeru, bagi beliau ia sekurang-kurangnya dapat meluaskan pengalaman anaknya dalam sukan yang amat diminatinya itu.



"Pada awalnya, penglibatan Amirul dalam kelab bola sepak di luar sekolah sekadar untuk suka-suka sahaja tetapi kemudian dia sendiri mendapati mungkin penglibatannya dalam pertandingan antarabangsa akan dapat membantu dalam permohonannya. Sebagai ibu bapa, kami hanya menyokongnya," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >