Subuh
5:54
Syuruk
7:16
Zuhur
1:18
Asar
4:41
Maghrib
7:19
Isyak
8:32
Setempat0

Usaha tingkat guna bahasa Melayu perlu dipergiat: Maliki

Ucapan sempena majlis ulang tahun ke-10 Pusat Bahasa Melayu S'pura
Nov 24, 2020 | 05:30 AM

DENGAN lebih ramai ibu bapa muda yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi utama dengan anak-anak, usaha untuk memastikan penggunaan bahasa Melayu terus berkembang perlu dipergiat, kata Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohd Maliki Osman.

Namun demikian, Dr Maliki tetap berasa teruja masih terdapat ramai lagi yang melihat bahasa Melayu sebagai satu bahasa yang penting bagi mereka.

Beliau berkata demikian semasa majlis ulang tahun ke-10 Pusat Bahasa Melayu Singapura (MLCS), semalam.

Menurutnya, pada 2019, 67 peratus keluarga Melayu yang mempunyai anak dalam Darjah 1 menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi utama di rumah.

Bagaimanapun, Dr Maliki menukil data yang diterbitkan Institut Kajian Dasar (IPS) tahun ini, yang menunjukkan 95 peratus responden Melayu menyatakan mereka fasih dan sangat fasih bertutur dalam bahasa Melayu berbanding bahasa Inggeris.

Beliau turut menukil tinjauan khas Berita Minggu baru-baru ini yang mendapati 69 peratus responden masih menggunakan bahasa Melayu di rumah dan 74 peratus menyatakan bahawa bahasa Melayu masih relevan digunakan.

"Bahasa Melayu juga dianggap berupaya menonjolkan identiti Melayu dan menjadi alat mengajar nilai dan kesantunan masyarakat kita," tambah beliau.

Lantaran itu, Dr Maliki menekankan bahawa dasar dwibahasa akan terus menjadi tunggak penting dalam sistem pendidikan negara bagi membentuk identiti masyarakat Singapura.

Dr Maliki, yang juga Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO) merangkap Menteri Kedua Ehwal Luar, turut berkata pemerintah dan pertubuhan masyarakat sentiasa berusaha untuk mengukuhkan penggunaan bahasa ibunda selain menerapkan nilai dan budaya Melayu dalam kehidupan masyarakat.

Kementerian Pendidikan (MOE) telah melaksanakan kurikulum Bahasa Ibunda Sekolah Rendah yang disemak semula pada 2015, dan bagi sekolah menengah, kurikulum itu akan dilaksanakan tahun hadapan.

Selain itu, pihak kementerian telah menyediakan sokongan bagi pelajar yang mengalami kesukaran mempelajari bahasa Melayu dengan menawarkan Program Sokongan Bahasa Ibunda di sekolah rendah dan Bahasa Ibunda Syllabus 'B' di sekolah menengah.

Tahun ini juga, Program Sokongan Bahasa Ibunda diperkenalkan bagi murid Darjah 3 dan 4 yang disokong menerusi pengajaran pembezaan dalam kelas bersaiz kecil.

Usaha pertubuhan masyarakat seperti kempen Bulan Bahasa dan pelbagai acara bahasa dan budaya Melayu yang dianjurkan Wisma Geylang Serai misalnya, juga dapat membantu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang nilai dan kepentingan Bahasa Melayu, kata Dr Maliki.

Dalam ucapannya lagi, Dr Maliki turut memuji usaha MLCS menyokong guru melaksanakan pembelajaran di rumah (HBL) bagi pelajar selain menawarkan kursus bersepadu secara dalam talian bagi guru.

Sebanyak 12 bahan interaktif dan 185 bahan dalam bentuk PDF telah dimuatnaikkan dalam Ruang Pembelajaran Pelajar (SLS) semasa tempoh pemutus litar.

"Saya percaya hubungan profesional yang akrab dan kukuh dalam kalangan fraterniti pendidik kita akan terus menjadikan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu relevan, bermakna, menarik dan menyeronokkan," ujarnya lagi.

Lebih 340 peserta telah menyertai acara ulang tahun ke-10 MLCS itu melalui alam maya dengan penglibatan guru setempat, serta peserta dari negara jiran termasuk Malaysia, Indonesia, Brunei dan juga Jepun.

Laporan lain:

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map