PEMERINTAH akan mempergiat usaha meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahaya dadah, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Ini akan dilakukan, antara lain, dengan menambah peluang bagi bekas penyalah guna dadah mendampingi masyarakat dan mendapat bimbingan daripada mereka.
Bekas penyalah guna dadah juga boleh berkongsi pengalaman mereka sebagai contoh dan peringatan akan bahaya dadah.
"Pemerintah akan meluaskan usaha ini serta proses dan pendekatan dalam membangunkan aktiviti dan kumpulan prososial.
"Ini penting kerana saya dapat melihat mereka memerlukan wadah prososial yang boleh memberi dampingan dan sokongan," ujar Dr Faishal.
Beliau juga berkata pemerintah akan membolehkan lebih banyak peluang bagi interaksi prososial sedemikian, di mana masyarakat juga boleh belajar daripada bekas penyalah guna dadah tentang cara mereka meneruskan kehidupan selepas terjebak dalam dadah.
Beliau berkata demikian semasa menyertai sesi pertemuan Inspirasi, salah satu program di bawah kempen Dadah Itu Haram (DIH), semalam.
Ini kali ketiga Inspirasi diadakan sejak 2019, dan kali kedua di alam maya dek Covid-19. Ia disokong Biro Narkotik Pusat (CNB) dan Rumah Peralihan Pertapis dan Darul Islah.
Pertemuan maya itu menghimpunkan penyalah guna dadah yang menjalani program pemulihan dalam sesi perkongsian bagi memberi perangsang dan panduan kepada satu sama lain.
Pertemuan semalam turut dihadiri pelakon Aaron Aziz. Beliau berpesan kepada penyalah guna dadah yang hadir supaya terus tabah, sabar dan cekalkan hati supaya tidak mengulangi kesilapan lalu.
Aaron Aziz memberitahu mereka banyak bantuan sedia ada pada masa ini untuk menyokong pemulihan penyalah guna. Pemerintah, dan agensi lain sedia menghulurkan bantuan, kata beliau.
"Ambil mereka sebagai kawan dan bukan lawan," nasihatnya.
Sementara itu, Dr Faishal turut menekankan peri penting pengaruh ibu bapa dalam mengasuh anak mereka supaya menjauhi dadah.
"Ada sebahagian kandungan di media sosial pada masa ini memaparkan bahawa kesan dadah tidak serius... ini amat membimbangkan kerana bilangan belia bersikap lebih terbuka terhadap dadah telah meningkat," ujar beliau, yang berkata pandangan seperti itu adalah salah.
Singapura juga tidak bersifat toleran terhadap dadah.
"Ibu bapa memainkan peranan penting untuk mendidik anak-anak kerana nilai-nilai bermula dari rumah."
Mengenai program Inspirasi itu, Dr Faishal berkata ia antara wadah penting yang disediakan untuk menyokong penghuni rumah peralihan dadah.