Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Usahawan Gen Z imbangi pelajaran dan dunia niaga

Jan 19, 2021 | 05:30 AM



Dengan lebih banyak akses kepada program-program keusahawanan seawal peringkat sekolah menengah, tidak hairan mengapa ramai golongan Gen Z - mereka yang dilahirkan selepas 1995 - sangat berminat memulakan perniagaan sendiri. BERITA HARIAN menampilkan tiga usahawan muda untuk mengetahui lebih lanjut pengalaman mereka menjalankan perniagaan dalam era digital.



SEJAK usianya 17 tahun, Encik Nur Irsyad Abu Bakar sudah menjual bermacam jenis kuih-muih dan manisan melalui dalam talian.



"Saya suka membuat kuih-muih dan suka membuatnya untuk orang lain," ujar mahasiswa pengajian komunikasi dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU) itu, yang kini berusia 22 tahun.



Beliau kini meraih sekitar $800 sehingga $1,000 sebulan hasil perniagaan dari rumahnya, The Mixing Bowl (@themixingbowl), di mana beliau menjual beraneka jenis manisan seperti kek, kek cawan dan krim paf.



Seperti Encik Irsyad, ramai golongan Gen Z - mereka yang dilahirkan selepas 1995 - mahu menunjukkan kebolehan mereka dalam bidang keusahawanan.



Profesor Foo Maw Der dan Profesor Madya Marilyn Ang Uy dari Sekolah Perniagaan Nanyang di NTU percaya bilangan usahawan daripada golongan Gen Z telah meningkat sejak beberapa tahun ini, lapor The Straits Times.



Walaupun kebanyakan daripada mereka menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan, terdapat juga segelintir mereka yang menjalankan perusahaan berskala besar, seperti ketua eksekutif syarikat pembangunan sofwe Team Labs, Encik Harsh Dalal, yang baru berusia 19 tahun.



Encik Dalal adalah seorang pelajar Politeknik Singapura yang memimpin 120 orang pekerja dari seluruh dunia di syarikat teknologinya yang bernilai AS$25 juta ($33 juta).



Satu faktor yang menyumbang kepada peningkatan dalam semangat keusahawanan golongan Gen Z ini ialah adanya akses kepada program-program keusahawanan untuk mereka, kata dua pakar itu.



Program-program itu bukan sahaja ditawarkan di institusi pengajian tinggi, malah ditawarkan di peringkat sekolah menengah juga.



Menjalankan suatu perniagaan juga sangat mudah dalam zaman digital sekarang. Usahawan daripada golongan Gen Z "lebih cenderung menggunakan wadah dalam talian sebagai satu cara utama untuk menjual barangan dan khidmat mereka", kata Profesor Foo.



Encik Irsyad menyedari terdapat ramai usahawan dalam lingkungan usianya yang memulakan perniagaan mereka sendiri.



"Kami tidak takut dengan risiko yang ada di dalam memulakan sebuah perniagaan. Tambahan pula, saya rasa kami sentiasa mencari jalan untuk menukar hobi kami kepada sesuatu yang boleh meraih keuntungan," katanya.



Bagi seorang lagi usahawan Gen Z, Cik Charlotte Chan, membeli barangan terpakai adalah satu cara beliau menjimatkan wang semasa membeli-belah untuk pakaian dan menganggapnya sebagai satu pengalaman yang menyeronokkan apabila berjaya mendapatkan sesuatu yang diminatinya.



Maka, beliau memutuskan untuk memulakan perniagaan barangan terpakainya sendiri di Instagram.



Selepas menduduki peperiksaan GCE peringkat 'O' pada November 2019, beliau memulakan perniagaannya yang dinamakan Charmai (@charmai.thrifts), dan antara pembeli pertamanya terdiri daripada rakan-rakannya sendiri.



"Saya tidak mempunyai sebarang jangkaan yang tinggi semasa memulakan perniagaan ini," kata Cik Chan.



Usahanya itu berbaloi apabila jumlah pengikutnya melonjak dua kali ganda daripada 500 kepada lebih 1,000 pada Februari tahun lalu.



Angka itu kini telah meningkat kepada lebih 3,000 orang. dan beliau meraih pulangan sebanyak $350 sebulan.



Nasihatnya untuk golongan Gen Z yang ingin memulakan perniagaan sendiri:



"Mulakan sahaja, kerana pada usia inilah kami boleh mengetahui dengan lebih dalam tentang proses perniagaan, walaupun ia tidak berjalan seperti yang dirancangkan."



Seorang lagi usahawan muda, Cik Sarah Goh, pula membuka perniagaan yang dinamakan Avocagoh (@avocag0h), pada 2019 dengan menjual pelekat-pelekat vinil hasil coretan ilustrasinya sendiri.



Melihat barangan yang dihasilkan seniman-seniman bebas yang diminatinya dan juga perusahaan-perusahaan kecil yang berniaga di pasar-pasar seni ini, beliau memutuskan untuk membuka perniagaan sendiri.



"Pada awalnya, saya agak kecewa kerana pengikut di Instagram terdiri daripada rakan-rakan dan ahli keluarga sendiri," kata mahasiswi NTU itu.



Kini pengikutnya di Instagram seramai 17,000 orang, dan Cik Goh telah meluaskan hasil seninya kepada rantai kunci yang diperbuat daripada bahan akrilik dan juga beg sandang kanvas.



Cik Goh mengakui agak sukar mengimbangi pelajaran dan perniagaan. Namun, beliau sangat menghargai sokongan yang diberikan oleh pelanggannya.



"Beberapa pelanggan saya telah memberikan kata-kata sokongan selepas membeli barang-barang yang saya jual. Sokongan inilah yang membantu saya untuk meneruskan dengan apa yang saya minati."




(Usahawan daripada golongan Gen Z) lebih cenderung menggunakan wadah dalam talian sebagai satu cara utama untuk menjual barangan dan khidmat mereka."
​- Profesor Foo Maw Der dari Sekolah Perniagaan Nanyang di NTU yang percaya bilangan usahawan daripada golongan Gen Z telah meningkat sejak beberapa tahun ini.



"Saya suka membuat kuih-muih dan suka membuatnya untuk orang lain...



Kami tidak takut dengan risiko yang ada di dalam memulakan sebuah perniagaan. Tambahan pula, saya rasa kami sentiasa mencari jalan untuk menukar hobi kami kepada sesuatu yang boleh meraih keuntungan."
- Encik Nur Irsyad Abu Bakar mahasiswa NTU yang membuka perniagaan dari rumah, The Mixing Bowl (@themixingbowl), menjual beraneka jenis manisan seperti kek, kek cawan dan krim paf.



"Saya tidak mempunyai sebarang jangkaan yang tinggi semasa memulakan perniagaan ini...



Mulakan sahaja, kerana pada usia inilah kami boleh mengetahui dengan lebih dalam tentang proses perniagaan, walaupun ia tidak berjalan seperti yang dirancangkan."
- Cik Charlotte Chan, memulakan perniagaan barangan terpakainya sendiri di Instagram yang dinamakan Charmai (@charmai.thrifts). "



"Pada awalnya, saya agak kecewa kerana pengikut di Instagram terdiri daripada rakan-rakan dan ahli keluarga sendiri...



Beberapa pelanggan saya telah memberikan kata-kata sokongan selepas membeli barang-barang yang saya jual. Sokongan inilah yang membantu saya untuk meneruskan dengan apa yang saya minati."
- Cik Sarah Goh, mahsiswi NTU yang membuka perniagaan Avocagoh (@avocag0h), pada 2019 dengan menjual pelekat vinil hasil coretan ilustrasinya sendiri.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >