Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PENAHANAN REMAJA 16 TAHUN DI BAWAH ISA

Ustaz Ali: Usah guna kejadian untuk pecah belah masyarakat

Pengerusi bersama RRG turut gesa masyarakat bimbing anak muda agar lebih peka kepada persekitaran mereka
Jan 30, 2021 | 05:30 AM



SINGAPURA harus kekal bersatu dan mengambil iktibar daripada penahanan seorang remaja warga tempatan beragama Kristian Protestan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kerana merancang membunuh jemaah di dua masjid di sini, kata pengerusi bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Ali Haji Mohamed.



Beliau turut menyeru masyarakat agar berazam membimbing anak muda dengan lebih peka dan sensitif akan persekitaran dan tuntutan zaman mereka, yang jelas tidak sama dengan zaman dahulu.



"Kita harus mengambil peluang daripada kejadian ini untuk menyatukan diri kita semua sebagai sebuah masyarakat Singapura.



"Ia tidak harus digunakan untuk memecahbelahkan masyarakat dan menyalahkan satu sama lain kerana perbalahan akan hanya merumitkan masalah yang dihadapi," ujar Ustaz Ali.



Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung penahanan pelajar India berusia 16 tahun itu, yang merupakan individu pertama ditahan di Singapura akibat dipengaruh ideologi pelampau sayap kanan.



Dia juga individu termuda ditahan di bawah ISA bagi kegiatan berkaitan pengganasan, dengan siasatan menunjukkan dia bertindak sendiri.



Menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD), remaja yang menjadi radikal secara sendiri itu didorong kebencian yang amat terhadap agama Islam dan tertarik pada keganasan.



Dia didapati membuat persiapan dan rancangan terperinci untuk menyerang jemaah di Masjid Assyafaah di Admiralty Lane dan Masjid Yusof Ishak di Woodlands Drive 17 dengan parang pada 15 Mac, sempena ulang tahun kedua serangan pengganasan oleh seorang pelampau kulit putih, Brenton Tarrant, di dua masjid di Christchurch, New Zealand.



Ustaz Ali melahirkan rasa prihatin melihat gejala anak muda hilang panduan dan tersasar.



Namun, beliau berkata itu tidak semestinya disebabkan salah bimbingan agama, ibu bapa atau sekolah, tetapi kerana terlalu kuatnya pengaruh di keliling mereka dan juga tarikan Internet serta media sosial pada anak-anak yang masih rapuh usianya.



"Oleh itu, banyakkanlah berdoa selain berusaha gigih untuk memanfaatkan zaman muda anak-anak dengan memberi ilmu, contoh baik dan kasih sayang tidak berbelah bagi," kata beliau.



Sementara itu, menarik perhatian akan usia muda remaja tersebut, yang dikenakan Arahan Penahanan di bawah ISA pada 23 Disember, imam eksekutif Masjid Jamiyah Ar-Rabitah, Ustaz Muhamad Nuzhan Abdul Halim, berkata ini tentunya mengejutkan kerana kebanyakan remaja pada usia itu lebih tertumpu pada pelajaran dan berseronok bersama kawan mereka, daripada menaruh rasa benci yang boleh mengakibatkan tindakan ganas.



"Keganasan tiada tempat dalam mana-mana agama. Malah, remaja itu dipengaruh ideologi pelampau sayap kanan dan bukan kepercayaan agamanya sendiri," ujar beliau.



Ustaz Nuzhan mengajak warga Singapura daripada pelbagai masyarakat berbeza terus mendakap perbezaan satu sama lain dan memupuk rasa saling percaya.



Ini penting supaya warga negara ini dapat terus menikmatik kehidupan aman dan harmoni yang dinikmati selama ini, ujar beliau.



Gereja Singapura juga mengutuk tindakan remaja itu.



Mereka antara lain menegaskan bahawa tiada perasaan benci antara masyarakat Muslim dan Kristian, dan memberi jaminan kepada masyarakat Muslim bahawa masyarakat Kristian terus komited menentang dan menewaskan kebencian dan keganasan.




"Kita harus mengambil peluang daripada kejadian ini untuk menyatukan diri kita semua sebagai sebuah masyarakat Singapura. Ia tidak harus digunakan untuk memecahbelahkan masyarakat dan menyalahkan satu sama lain kerana perbalahan akan hanya merumitkan masalah yang dihadapi."
- Ustaz Ali Haji Mohamed, pengerusi bersama RRG.



"Keganasan tiada tempat dalam mana-mana agama. Malah, remaja itu dipengaruh ideologi pelampau sayap kanan dan bukan kepercayaan agamanya sendiri."
- Ustaz Muhamad Nuzhan Abdul Halim, imam eksekutif Masjid Jamiyah Ar-Rabitah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >