Penglibatan beliau lebih lima dekad merentas institusi agama berbeza memberikan beliau perspektif menyeluruh akan isu-isu yang perlu diatasi masyarakat.
Di sebalik pelbagai perkembangan yang boleh dibanggakan dalam sektor tersebut, tokoh agama tersohor, Ustaz Pasuni Maulan, berharap keprihatinan berkaitan remunerasi asatizah terus diberikan perhatian tertumpu.
Ini merupakan antara kekhuatiran utama yang dilahirkan tokoh agama tersebut dalam temu ramah bersama Berita Minggu (BM) baru-baru ini.
Ustaz Pasuni, yang telah memainkan peranan dalam melakar Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) dan terlibat dalam Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB) sejak 2007, menekankan pentingnya langkah tersebut dalam memastikan masyarakat dapat melahirkan ulama generasi seterusnya.
“Saya lihat visi madrasah untuk lahirkan ulama bertaraf antarabangsa, kita perlukan mereka.
“Kekhuatiran saya ialah, bila kita lahirkan pelajar madrasah. Apabila di akhir pengajian, (pelajar madrasah) pilih ‘channel’ lain, bidang lain.
“Ini mungkin kerana minat mereka, tapi ia juga mungkin ada kaitan dengan pulangan yang mereka jangkakan dalam sektor itu,” ujar Ustaz Pasuni yang dilantik sebagai pengerusi ARB pada 2023.
Beliau berkata ini merupakan satu cabaran yang perlu terus diatasi, untuk memastikan sektor agama bersaing dengan majikan lain.
“Mungkin ini sesuatu yang akan terus difikirkan dan diatasi (pemimpin) generasi akan datang. Saya tinggal tidak berapa lama saja lagi,” katanya, ketawa.
Khidmat serta sumbangan Ustaz Pasuni – yang juga anggota Majlis Muis – yang meluas diiktiraf apabila beliau menerima Anugerah Jasa Cemerlang Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada Sabtu.
Menyentuh tentang anugerah yang diterima itu, Ustaz Pasuni berkata:
“Saya bersyukur diberikan pengiktirafan ini. Tapi pada masa yang sama apa yang saya lakukan selama ini, memang bukan ini (penerimaan anugerah) matlamatnya.”
Baca laporan penuh wawancara Berita Minggu bersama Ustaz Pasuni pada Ahad.