Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Ustazah gigil trauma diri jadi mangsa 'tinjauan' bersifat lucah

Pergas, asatizah dan AP kutuk perbuatan, gesa pihak berkuasa ambil tindakan
May 28, 2021 | 05:30 AM



TUBUH Ustazah Liyana Musfirah Anwar mula menggigil kerana trauma selepas beliau mendapat tahu butiran peribadinya, termasuk gambar dan video, dijadikan bahan dalam satu 'tinjauan' bersifat lucah.



"Saya macam dah nak demam. Sepanjang malam saya cuba menenangkan diri. Pagi baru saya kuatkan diri dan mula berfikir sesuatu perlu dilakukan untuk membantu mangsa lain," kata beliau apabila dihubungi Berita Harian semalam.



'Tinjauan' itu, yang diterbitkan di aplikasi sosial media MeWe, menyenaraikan 12 ustazah Singapura dan meminta pengguna aplikasi itu menilai mereka berdasarkan tarikan seksual dan mengundi siapa yang ingin mereka pilih untuk dirogol beramai-ramai.



Aplikasi yang boleh dimuat turut percuma itu serupa Facebook, dan membolehkan pengguna menjalin hubungan, menghantar pesanan ringkas dan membentuk kumpulan perbincangan tertutup.



Pemeriksaan BH menunjukkan 'tinjauan' itu dimulakan oleh pengguna yang menggelar dirinya M.A dan dikongsi dalam kumpulan tertutup bernama 'Awek Tudung'.



Difahamkan bahawa kumpulan itu mempunyai lebih 79,000 anggota dari berbilang negara, termasuk Singapura, Malaysia, Indonesia.



Sehingga pagi semalam, lebih 1,000 orang telah menyertai 'tinjauan' itu.



Kewujudan 'tinjauan' itu kali pertama didedahkan oleh Ustaz Muhamad Zahid Mohd Zin, yang giat di media sosial, pada lewat malam kelmarin.



Semasa dihubungi BH, Ustaz Zahid berkata beliau diberitahu mengenainya oleh seorang mangsa.



"Ada yang takut, ada yang gelisah. Mereka takut nak keluar rumah. Mereka takut kalau diperkosa," katanya.



Menurut Ustaz Zahid, beberapa orang telah menghubungi beliau selepas membaca posnya di Instagram untuk mengucapkan terima kasih dan meluahkan harapan agar dalang 'tinjauan' itu dikenakan tindakan.



Semalam, beberapa Anggota Parlimen (AP) dan asatizah menyuarakan rasa terkesan oleh 'tinjauan' itu dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan.



AP GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, berkata insiden itu menunjukkan bagaimana media sosial disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab.



"Tingkah laku misoginistik dalam talian seperti tinjauan ini perlu dikenakan tindakan dalam kehidupan sebenar," tegas beliau.



Setiausaha Parlimen (Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, meskipun tidak merujuk langsung kepada tinjauan itu, berkata beliau gembira ramai dalam masyarakat, terutama kaum lelaki, menentang kesalahan itu dan mengutuk tindakan sedemikian.



"Kita perlu mengutuk salah laku sedemikian tetapi kita juga perlu mengajar warga, terutama yang muda, mengapa adalah salah untuk mereka menjatuhkan maruah wanita (dan lelaki)," katanya.



Ustaz Irwan Hadi Mohd Shuhaimy, menegaskan bahawa dalang perbuatan terkutuk itu perlu dikenakan tindakan undang-undang sepenuhnya.



"Ini tidak seharusnya berlaku kepada sebarang wanita, termasuk ustazah setempat kita, yang menawarkan bimbingan agama kepada masyarakat," ujarnya.



Ustaz Ahmad Mumdzir berkata: "Kami mahukan perubahan. Kami tidak mahu asatizah wanita kita atau para siswazah wanita kita takut untuk keluar berdakwah."



Semalam, Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) mengeluarkan kenyataan menyokong semua asatizah yang terjejas dan wanita yang diganggu secara seksual dan dianiaya.



"Kami menggesa anda (pelaku) agar mengentikan tindakan berdosa ini.



"Jika anda tahu orang di sebalik insiden ini, gesa mereka untuk menghentikannya, tampil, meminta maaf dan ditangani mengikut undang-undang," kata Pergas.



Ustazah Liyana, yang membuat laporan polis semalam, berkata beliau telah mengumpulkan semua ustazah yang menjadi mangsa dengan menggunakan kumpulan WhatsApp dan mendapatkan kaunselor serta juruterapi untuk memberi sokongan emosi.



"Ada yang menangis tidak berhenti apabila mengetahui mereka menjadi mangsa bahan lucah dalam talian," katanya, sambil menambah bahawa ada mangsa berusia sangat muda.




“Saya telah menggesa pihak berkuasa supaya menyiasat hal ini dengan segera. Individu dan pihak tidak bertanggungjawab di sebalik tinjauan keji itu perlu dihukum dengan kuasa penuh undang-undang. Saya juga sedar, terdapat beberapa individu yang berkata kumpulan di sebalik tinjauan itu adalah pelajar yang sedang belajar agama Islam. Saya telah menugaskan Muis (Majlis Ugama Islam Singapura) supaya menyiasat dakwaan ini dengan segera. Jika dakwaan itu didapati benar, mereka yang bertanggungjawab perlu dihukum dengan kuasa penuh undang-undang kerana telah melakukan perbuatan amat menyedihkan.”
– Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.



“Kita perlu mengutuk salah laku sedemikian tetapi kita juga perlu mengajar warga, terutama yang muda, mengapa salah untuk mereka menjatuhkan maruah wanita (dan lelaki),” katanya.”
– Cik Rahayu Mahzam, Setiausaha Parlimen (Kesihatan), yang juga berkata beliau gembira ramai orang, terutama kaum lelaki, mengutuk perbuatan sedemikian.



“Gangguan seksual haram di sisi Islam. Pergas menyatakan kebencian dan tidak pernah membenarkan perbuatan itu. Kami terkejut mengenai tindakan sekumpulan individu tidak bertanggungjawab yang terlibat dalam menjadikan wanita sebagai objek dan perbincangan seksual. Mereka bukan menyiarkan foto asatizah wanita dengan alasan salah sahaja, bahkan memainkan peranan dengan menjalankan undian dan mendorong orang lain kepada perbuatan keji itu. Para pelaku ini boleh dimasukkan dalam golongan yang disebut Allah swt dalam surah Al-Maidah ayat ke 79, ‘Mereka tidak melarang satu sama lain melakukan kejahatan. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka lakukan.’. Perbuatan ini juga bertentangan dengan apa yang diajar oleh Islam, agar mengajak kepada kebaikan dan melarang kejahatan.”
– Ustaz Dr Mohamed Qusairy Thaha, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >