Ustazah muda dakwah di Instagram

Ada di antara kita yang berasa kekok apabila berinteraksi dengan asatizah. Namun, golongan itu juga ingin berhubungan dengan masyarakat di samping berkongsi ilmu yang ada. SRI AFIQAH HAMIR (afiqahh@sph.com.sg) mengetengahkan dua asatizah muda sedemikian.

ISU berkaitan masyarakat Singapura terutama sekali mengenai belia amat dekat di hatinya.

Apatah lagi, Ustazah Nur Hidayah Azman, 23 tahun, juga seusia dengan golongan tersebut.

Hal berkenaan telah mendorong asatizah muda itu untuk membuka satu akaun Instagram bagi memberi inspirasi kepada rakan-rakan sebayanya.

Akaun @nurhdyhaz itu bertujuan memberi refleksi setiap hari khususnya bagi belia Islam di negara ini.

"Meski saya membuka akaun itu bagi golongan berkenaan, ada juga rakan-rakan saya yang bukan beragama Islam mengikutinya.

"Mereka berkata bahawa isu berkaitan nilai dan moral juga boleh diterapkan dalam kehidupan harian mereka," kongsi Ustazah Hidayah.

Akaun tersebut yang dibukanya awal tahun ini, kini mempunyai lebih 400 pengikut.

Di samping itu, Ustazah Hidayah turut melibatkan diri dalam Projek Ekspedisi Belia (YEP) anjuran Pasukan Belia Singapura (YCS).

Beliau dan rakannya, Ustazah Unaisah Adam, 25 tahun, adalah dua azatizah muda yang terlibat dalam ekspedisi berkenaan.

"Kami ingin membina persahabatan baru bersama belia dari pelbagai latar belakang dan menyumbang kembali kepada masyarakat melalui pengalaman yang diraih.

"Di samping itu, kami juga ingin menunjukkan kepentingan berintegrasi dalam masyarakat tidak kira bangsa dan agama.

"Sebagai seorang Muslim, kami mewakili agama kami, bukan hanya daripada segi percakapan malah dari segi tingkah laku," ujar Ustazah Hidayah.

Ekspedisi tersebut dibuka kepada semua belia Singapura.

Melalui ekspedisi berkenaan, golongan belia dapat ke luar negara dan menjalankan kerja sukarela.

Selain melibatkan diri dalam kegiatan kemasyarakatan, Ustazah Hidayah turut merupakan seorang pendidik di Perdaus.

Lulusan ijazah Sarjana Muda dalam Usuluddin (Al-Quran dan Al-Hadis) dari Universiti Malaya (UM) di Malaysia itu, mengajar ilmu agama, khususnya kepada belia di Perdaus.

Beliau juga pernah mengajar di Andalus dan Nadi Furqan.

"Saya tidak mahu dilihat sebagai ustazah sahaja.

"Sebagai seorang belia, saya mahu berhubung dengan rakan-rakan sebaya dan ingin mereka tahu bahawa saya juga memahami situasi yang mereka lalui," ujar Ustazah Hidayah.

Bagi melengkapkan dirinya dengan ilmu, beliau sanggup menghadiri bengkel media sosial bagi mengetahui kandungan apa yang diminati belia kini.

Berbekal pengetahuan itu, beliau berharap ia dapat membantunya dalam usaha dakwah melalui akaun Instagram berkenaan.

Beliau turut berharap akan dapat menyediakan satu wadah buat belia saling berinteraksi antara satu sama lain pada masa akan datang.


"Meski saya membuka akaun itu bagi golongan berkenaan (rakan sebaya), ada juga rakan-rakan saya yang bukan beragama Islam mengikutinya. Mereka berkata bahawa isu berkaitan nilai dan moral juga boleh diterapkan dalam kehidupan harian mereka."
- Ustazah Nur Hidayah Azman, 23 tahun, yang membuka akaun Instagram untuk belia Islam namun mendapat pengikut daripada rakan bukan Islam.

Waktu Solat

Subuh
5:45
Syuruk
7:04
Zuhur
1:09
Asar
4:25
Maghrib
7:13
Isyak
8:23
3 HR PSI: 32
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.