Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

KORONAVIRUS

Ustazah Nadia Hanim dijangkiti Covid-19

Beliau merupakan anggota bersekutu Jawatankuasa Fatwa Muis
Mar 25, 2020 | 05:30 AM



DEMAM ringan, badan yang sakit dan rasa migrain yang dialami Ustazah Nadia Hanim Abdul Rahman, pada awalnya disangka sekadar sakit-sakit biasa.



Mentelah lagi, beliau tidak mengalami sebarang simptom seperti flu, batuk atau selesema.



Dan beliau yakin tidak terdedah kepada sesiapa yang dijangkiti koronavirus.



Namun apabila demamnya tidak juga reda dan suhu badan yang semakin melonjak kepada 39 darjah Celsius serta sakit badan yang teruk terutama di bahagian dada, ia terus membuat Ustazah Nadia, 36 tahun, mengambil tindakan dengan serta-merta untuk cepat-cepat berjumpa doktor.



Ustazah Nadia yang merupakan anggota bersekutu Jawatankuasa Fatwa, disahkan positif Covid-19 pada 13 Mac dan beliau merupakan kes 203.



Bercakap kepada Berita Harian, Ustazah Nadia yang mempunyai dua orang cahaya mata berusia empat tahun dan lapan tahun, berkata sebaik sahaja beliau mengalami simptom, segala tugasan dan mesyuarat yang perlu dihadirinya, dibatalkan.



"Semua temu janji saya batalkan. Mesyuarat juga, meski penting, saya memilih untuk tidak menghadirkan diri.



"Ini kerana saya tahu ini sebahagian daripada tanggungjawab sosial saya sebagai individu kepada masyarakat," katanya.



Beliau berkata pihak berkuasa tidak dapat mengesan daripada mana beliau dijangkiti virus itu.



"Menurut Kementerian Kesihatan (MOH), besar kemungkinan ia merupakan kes import menyusuli lawatan saya ke Jakarta, sebelum terdapatnya sebarang kes koronavirus dilaporkan di sana," kongsinya.



Beliau telah ke sana pada 7 dan 8 Mac lalu atas urusan kerja, dan hanya mula mengalami demam, sekitar tiga hari kemudian pada 11 Mac.



Menurutnya, sejak beliau pulang dari Jakarta, beliau tidak ke mana-mana dan sekadar duduk di rumah sahaja.



"Pada mulanya apabila saya mendapat tahu saya diuji positif, saya hanya mampu terdiam dan seakan belum dapat mencerna dengan baik khabar yang baru sahaja diberikan.



"Saya langsung beristighfar kepada Allah swt, akur dengan ujian dan yakin bahawa saya akan mampu untuk mengharunginya kerana Allah telah berjanji tidak akan membebani seseorang hamba kecuali hamba itu mampu untuk melalui ujian itu," katanya.



Menulis di akaun media sosialnya, Ustazah Nadia berkata beliau hanya boleh dapat mengungkapkan perkataan "sorry" kepada suami dan anak-anak kerana mereka orang yang paling dekat dengannya.



"Saya bersyukur ada ahli keluarga dan kawan-kawan yang sangat prihatin. Tidak seseorang pun yang menyalahkan saya walaupun saya memohon maaf kepada mereka atas sebab rasa serba salah. Sebaliknya, mereka memberi doa-doa indah dan kata-kata semangat kepada saya," ujarnya lagi.



Ahli keluarganya kini sedang menjalani kuarantin di rumah.



Sejak didapati positif, Ustaz Nadia yang aktif berceramah di beberapa masjid termasuk Masjid Al-Ansar dan Masjid Yusof Ishak, telah diasingkan dalam wad di Hospital Besar Changi.



Sejauh ini, beliau telah diasingkan selama dua minggu dan masih lagi dirawat di wad yang sama.



Sepanjang tempoh itu, beliau berkata fikiran dan emosinya agak berkecamuk.



Setiap hari, darahnya perlu diambil.



Meski ada membawa komputer riba bersamanya, beliau tidak dapat melakukan sebarang tugasan kerana mengalami kesakitan yang teramat sangat.



Paru-parunya telah dijangkiti dan beliau juga mengalami pneumonia.



"Saya mempunyai beberapa penyakit sebelum ini, justeru saya memang terjejas teruk apabila dijangkiti. Antara kesan sampingan yang saya alami termasuk pneumonia, jangkitan paru-paru, cirit-birit, rasa mual yang teruk dan sakit badan.



"Saya hanya mampu terbaring sahaja di atas katil, dengan titisan intravena (IV drip).



"Tiada siapa yang dibenarkan masuk untuk melawat saya di dalam wad pengasingan yang dipisahkan dengan dua lapisan pintu. Saya hanya mampu berdoa kepada Allah swt sahaja," ujarnya yang juga pernah dijangkiti virus H1N1 sebelum ini.



Menurut Ustazah Nadia, pada mulanya beliau tidak memberitahu ramai orang kerana tidak mahu menimbulkan kekhuatiran dalam kalangan para jemaahnya.



Namun selepas dua minggu, beliau mula membuat perkongsian di media sosial untuk meluangkan masa selain meningkatkan kesedaran ramai agar tidak mengambil ringan koronavirus ini.



"Sedih juga apabila ada yang menuduh saya mendapat virus ini kerana telah ke majlis tabligh di Kuala Lumpur, walhal saya tidak ke sana pun.



"Saya mahu menggesa masyarakat agar terus mematuhi segala garis panduan dan nasihat yang telah diberikan pihak berkuasa untuk sama-sama mengurangkan penularan wabak ini.



"Jaga jarak selamat tetapi pada masa yang sama tetap peka dengan keadaan satu sama lain," ujarnya.



Beliau juga turut tabik dengan kerja keras dan pengorbanan yang dilakukan kakitangan perubatan yang sentiasa berada di barisan hadapan untuk membantu pesakit sepertinya.



"Semoga para pegawai perubatan kita sentiasa diberikan kekuatan untuk melaksanakan tugas mereka hari demi hari," katanya lagi.



Ditanya bila beliau dijangka dapat pulang ke pangkuan keluarga, Ustazah Nadia berkata:



"Pihak hospital hanya akan membenarkan saya pulang jika ujian yang dijalankan mendapati saya negatif Covid-19 sebanyak dua kali. Tetapi sekarang meski dah dua minggu, saya masih lagi positif. Doakan saya."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >