MADRASAH Irsyad Zuhri Al-Islamiah akan menyaksikan perubahan pucuk pimpinannya menjelang penggal baru persekolahan nanti.
Naib pengetua Ustazah Warintek Ismail bakal mengambil alih Encik Noor Isham Sanif sebagai pengetua mulai 1 Januari tahun depan.
Encik Noor Isham, 55 tahun, telah menyandang jawatan tersebut sejak 2011 dan sebelum itu merupakan naib pengetua madrasah yang terletak di Braddell Road itu.
Pengganti beliau, Ustazah Warintek, 45 tahun, merupakan salah seorang daripada tiga Naib Pengetua Madrasah Irsyad Zuhri. Beliau menerajui bahagian Bahasa Arab dan Pembelajaran Islam.
Dua lagi naib pengetua madrasah itu adalah Encik Zuremi Sukri (bahagian pentadbiran) dan Cik Faizah Abdul Rahman (bahagian akademik).
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), Encik Noor Isham, yang telah bersama madrasah itu selama 13 tahun berkata bahawa keputusannya melepaskan jawatan sebagai pengetua ialah kerana terdorong melakukan “penghijrahan bagi mendapatkan pendedahan dan pengalaman yang baru”.
“Dengan langkah ini ia akan membolehkan saya mendapat peluang meluaskan lagi sumbangan saya kepada lebih ramai orang,” kata beliau.
Encik Noor Isham menambah:
“Saya masih tetap dalam sektor pendidikan, masih dalam ruang yang saya rasa selesa. Kalau diberi peluang, saya ingin membantu madrasah-madrasah lain mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) dan peperiksaan nasional yang lain.”
Beliau turut meluahkan keyakinan terhadap keupayaan Ustazah Warintek, yang juga mempunyai pengalaman 15 tahun di unit strategik pembangunan kurikulum, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Ketika dihubungi, Ustazah Warintek berkata: “Pelantikan ini merupakan suatu amanah yang besar dan berat namun harus tetap dilaksanakan sebaiknya dengan dedikasi serta komitmen yang penuh.
“Matlamat utama saya adalah untuk menyediakan pendidikan holistik dan melahirkan insan yang berakhlak mulia dan berjaya dalam akademik.
“Setiap usaha dan pembaharuan yang bakal dilakukan, tujuan utamanya adalah demi anak didik madrasah yang bakal menjadi pemimpin masyarakat pada masa akan datang.”