PEMEGANG jawatan politik dan parti politik di Singapura akan dikenakan langkah-langkah ketat demi menghindari mereka daripada dipengaruhi pihak asing, sekiranya sebuah rang undang-undang yang dibentangkan di Parlimen semalam diluluskan.
Langkah-langkah yang akan dikenakan termasuk keperluan mengisytiharkan sebarang hubungan asing dan sebarang faedah penghijrahan - seperti pasport asing, hak untuk bekerja di sebuah negara asing, atau untuk tinggal di sana secara tetap.
Mereka yang akan dikenakan langkah-langkah itu termasuk anggota Kabinet, parti politik dan pemegang pejabat lain, dan juga Anggota Parlimen (AP), calon pilihan raya dan ejen pilihan raya mereka yang terlibat secara langsung dalam proses politik Singapura.
Mereka ditakrifkan sebagai individu yang penting dari segi politik (PSP) di bawah Rang Undang-Undang Campur Tangan Asing (Langkah Balas), kata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam satu kenyataan yang menyatakan tujuan dan skop rang undang-undang itu.
Rang undang-undang itu bertujuan memperkukuh keupayaan Singapura mencegah, mengesan dan menggendalakan campur tangan asing dalam politik domestik yang dilakukan melalui kempen maklumat bermusuhan dan penggunaan proksi tempatan, kata MHA.
Campur tangan asing dijelaskan sebagai percubaan oleh pelaku negara asing memanipulasikan politik domestik dalam cara terselindung dan mengelirukan demi menjejas kedaulatan dan keselamatan negara.
Di samping PSP yang ditakrifkan, sebuah "pihak berkuasa cekap" dilantik Menteri Ehwal Dalam Negeri boleh menetapkan mana-mana rakyat Singapura - yang tinggal di sini atau di luar negara - iaitu sebarang individu yang tinggal di Singapura, atau sebarang pertubuhan yang berdaftar di sini sebagai PSP.
MHA tidak menjelaskan siapa pihak berkuasa ini.
Penetapan ini boleh dibuat sekiranya kegiatan individu atau pertubuhan itu "dihala ke arah politik", dan jika mengenakan langkah balas terhadap mereka telah dinilai oleh pihak berkuasa cekap sebagai dalam kepentingan awam.
Sebagai garis dasar, PSP yang ditetapkan dikenakan kawalan kurang ketat berbanding PSP yang ditakrifkan meskipun langkah-langkah boleh dipertingkat.
Contohnya, PSP yang ditetapkan akan perlu melaporkan sumbangan derma tunggal sebanyak $10,000 atau lebih daripada penderma setempat dan asing, dan juga pelbagai sumbangan derma daripada penderma sama yang berjumlah $10,000 secara keseluruhan atau lebih dalam tempoh yang ditentukan.
Mereka juga mesti mendedahkan hubungan dengan entiti asing.
Di samping keperluan itu, sebagai garis dasar, PSP yang ditakrifkan mesti mengekalkan akaun bank berasingan untuk menerima sumbangan derma politik, dan tidak dibenarkan menerima derma tanpa nama melebihi $5,000 semasa "tempoh relevan" atau dalam tahun kalendar mana pun.
Individu asing juga tidak dibenarkan menjadi sukarelawan bagi kegiatan politik mereka, kata MHA.
"Jika terdapat risiko campur tangan asing yang meningkat, pihak berkuasa cekap boleh mengeluarkan arahan untuk melarang PSP yang ditakrifkan daripada mempunyai hubungan dengan pelaku asing," tambah kementerian itu.
Rang undang-undang baru itu bertujuan menyekat wadah di mana campur tangan asing dalam politik Singapura boleh berlaku dan tidak ditangani di bawah undang-undang semasa, kata MHA.
Akta Derma Politik buat masa ini melarang hubungan politik dan calon serta ejen pilihan raya daripada menerima derma daripada sumber asing, kata kementerian itu.
Akta itu akan dimansuhkan dan kewajipannya yang sedia ada akan dimasukkan ke dalam rang undang-undang itu dengan langkah tambahan.
Bagaimanapun, tidak ada larangan ke atas derma kepada AP, pemegang pejabat politik, Ketua Dewan atau Ketua Pembangkang, kata MHA.
Tambahan, individu asing kini dibenarkan menjadi sukarelawan dengan parti politik, calon pilihan raya dan AP.
"Ini merupakan potensi wadah bagi pelaku asing mempengaruhi politik domestik kita. Rang undang-undang ini bertujuan menangani jurang ini," kata MHA.
"Ini merupakan potensi wadah bagi pelaku asing mempengaruhi politik domestik kita. Rang undang-undang ini bertujuan menangani jurang ini."
- Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).
CONTOH CAMPUR TANGAN ASING DALAM TALIAN DAN PENGGUNAAN PROKSI TEMPATAN
- DI LUAR NEGARA
- Menjelang Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat pada tahun lalu, masyarakat perisikan Amerika mendapati bahawa pelaku asing menubuhkan pertubuhan hasutan maya (troll), atau pertubuhan yang menggajikan orang untuk sengaja membuat catatan menyinggung perasaan atau provokatif di dalam talian, untuk memperluas isu domestik kontroversial, dan berusaha mempromosi atau mengkritik sesetengah calon.
Terdapat juga kempen pengaruh yang dijalankan untuk mencemarkan usaha pemerintah Amerika menangani pandemik Covid-19 dan menyebarkan keraguan tentang vaksin yang dibangunkan di Barat.
- Bot Twitter digunakan untuk menyebarkan e-mel yang digodam daripada kempen Macron semasa Pilihan Raya Presiden Perancis pada 2017.
- DI SINGAPURA
- Pada 1980-an, diplomat Amerika Syarikat, Hank Hendrickson, memupuk sekumpulan peguam rakyat Singapura untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum 1988.
Peguam tersebut ditawarkan pendanaan, dan salah seorang daripada mereka, Francis Seow, ditawarkan perlindungan di Amerika jika dia menghadapi cabaran dengan pemerintah Singapura. Dia kemudian diberikan kerakyatan Amerika.
- Apabila Singapura menghadapi isu dua hala dengan sebuah negara lain pada lewat 2018 dan 2019, terdapat kenaikan luar biasa dalam komen dalam talian yang mengkritik Singapura di media sosial.
Catatan tersebut, yang dibuat akaun tanpa nama, cuba menimbulkan tanggapan palsu penentangan terhadap kedudukan Singapura.
Jawatankuasa Pilihan mengenai Kepalsuan Dalam Talian pada 2018 memberi amaran bahawa usaha maklumat palsu yang berkaitan dengan negara asing mungkin sudah berlaku di Singapura.