Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Vaksin Covid-19 boleh digunakan masyarakat Islam

Pejabat Mufti kelmarin mengeluarkan irsyad yang menjelaskan penggunaan vaksin Covid-19. Berikut sedutan irsyad tersebut
Dec 15, 2020 | 05:30 AM



PENULARAN wabak Covid-19 di peringkat global telah mencetuskan pelbagai cabaran yang genting, termasuk daripada aspek kesihatan, ekonomi dan juga sosial, yang terpaksa dihadapi oleh semua negara dan masyarakat.



Dalam hal ini, penemuan serta penghasilan vaksin menjadi satu keutamaan kritikal untuk menyelamatkan nyawa, memberi jaminan kesihatan serta membantu mengembalikan ekonomi serta kehidupan seharian kepada sediakala sebaik mungkin.



Agama Islam sangat menitikberatkan kesucian nyawa dan keselamatan serta melindungi kehidupan pada setiap masa.



Oleh itu, setiap usaha untuk melindungi nyawa manusia daripada sebarang jenis bahaya dan kemudaratan, seperti penghasilan vaksin di dalam suasana pandemik, adalah sangat digalakkan dalam Islam.



Secara amnya, vaksin sebagai salah satu bentuk perlindungan dan pencegahan daripada penyakit dan masalah kesihatan, merupakan perkara yang amat dialu-alukan oleh agama.



Fatwa-fatwa Muis yang lalu, seperti fatwa bagi vaksin Rotavirus (2013), menggalakkan penggunaan vaksin kerana ia merupakan sejenis rawatan pencegahan awal daripada penyakit.



Prinsip ini berdasarkan panduan dari Nabi Muhammad saw di mana kita digalakkan untuk memakan sesuatu yang dapat melindungi diri daripada penyakit.



Di dalam menghadapi situasi luar biasa disebabkan oleh penularan wabak di peringkat global, prinsip-prinsip etika Islam menjadi panduan kita. Walaupun terdapat penularan wabak di dalam sejarah Islam, namun hukum-hakam dan pandangan ulama silam adalah khusus bagi keperluan masyarakat mereka berdasarkan konteks dan cabaran mereka tersendiri.



Bagi situasi kita hari ini, tiada rujukan silam yang secara khusus menyentuh perihal vaksin mahupun yang membincangkan penularan wabak di peringkat global seperti yang kita alami.



Justeru itu, kita tidak boleh bergantung mahupun menantikan hukum fiqh yang pernah terakam pada masa silam sebagai rujukan utama. Sebaliknya, apabila kita membincangkan cabaran-cabaran yang baru berkaitan dengan Covid-19, panduan kita adalah dasar-dasar dan prinsip-prinsip agama yang bersifat syumul lagi luas.



Oleh itu, panduan agama mengenai vaksin Covid-19 perlu mengambil pendekatan yang lebih menyeluruh, bukan hanya tertumpu kepada isu halal atau haram bahan-bahan yang digunakan sahaja. Dalam hal ini, terdapat tiga aspek utama yang diberikan perhatian.



Vaksin sebagai keperluan asas



Vaksin yang berkesan adalah amat penting demi menyelamatkan nyawa dan memastikan agar masyarakat dapat berfungsi dengan selamat dan sejahtera.



Di dalam konteks ini, vaksin sama kedudukannya seperti keperluan-keperluan asas manusia lain seperti makanan dan tempat teduh.



Ia merupakan satu keperluan penting untuk memelihara kesucian nyawa manusia dan mengelakkan kemudaratan kerana ia memelihara masyarakat daripada kesan-kesan berbahaya virus Covid-19.



Keselamatan dan keberkesanan vaksin



Sebarang vaksin Covid-19 yang telah diluluskan untuk kegunaan awam perlu melalui pelbagai piawaian keselamatan perubatan yang ketat dan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, serta menepati garis panduan etika oleh badan-badan pemerintah.



Vaksin tersebut mestilah tidak mempunyai sebarang kesan perubatan yang buruk dan telah disahkan secara saintifik sebagai tidak menyebabkan sebarang kemudaratan yang dijangkakan kepada mereka yang telah mengambilnya.



Bahan-bahan yang boleh digunakan pada vaksin



Kita akur bahawa kajian saintifik bioperubatan, termasuk perkembangan bidang ubat-ubatan bersifat terapi dan vaksin, menggunakan pelbagai kandungan yang dipilih berdasarkan kesesuaian saintifik dan tujuan kajian.



Dalam banyak situasi, produk-produk ini berkemungkinan mengandungi bahan-bahan yang pada asalnya adalah najis atau yang dilarang untuk dimakan menurut hukum Islam, seperti bahan-bahan daripada sumber khinzir, ataupun telah dirawat dengan menggunakan bahan-bahan tersebut pada salah satu tahap proses penghasilan.



Terdapat juga ubat-ubatan dan vaksin yang dihasilkan secara sintetik sepenuhnya dan tidak mengandungi sebarang bahan atau sel binatang.



Fatwa-fatwa mengenai perubatan serta vaksin-vaksin sebelum ini telahpun mengambil kira situasi-situasi di atas, dan telah memutuskan bahawa sekiranya tiada pilihan lain untuk mengelakkan kemudaratan, produk-produk yang mengandungi bahan-bahan terlarang tersebut boleh digunakan untuk tujuan rawatan bagi menyelamatkan nyawa (rujuk kepada fatwa tentang vaksin Rotavirus 2013).



Di dalam ajaran agama, terdapat juga situasi di mana bahan-bahan najis atau terlarang dibolehkan penggunaannya sebagai rawatan seperti yang pernah diriwayatkan pada pelbagai hadis Nabi.



Tujuan memperkenalkan vaksin Covid-19 dan proses-proses yang terlibat dalam penghasilannya secara dasarnya adalah berlandaskan prinsip-prinsip serta nilai-nilai Syariat Islam.



Fatwa-fatwa Muis yang lalu mengenai perubatan dan vaksin-vaksin telah pun menangani keperihatinan yang timbul berkaitan asal usul bahan yang digunakan.



Sejauh ini, proses penghasilan vaksin Covid-19 dan bahan-bahan yang digunakan tidak bertentangan dengan pertimbangan-pertimbangan fatwa lalu seperti yang telah digariskan di atas. Oleh itu, vaksin COVID-19 boleh digunakan oleh masyarakat Islam.



Sekiranya ada sesuatu vaksin yang menjalani proses yang berbeza dan mengandungi kandungan atau bahan-bahan yang terlarang, lantas tidak menepati prinsip-prinsip yang telah digariskan di atas, Jawatankuasa Fatwa akan meneliti semula dan menilai kesesuaian vaksin tersebut bagi penggunaan masyarakat Islam.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >