VAKSINASI cara lebih berdaya kekal bagi melindungi penduduk daripada jangkitan Covid-19, walaupun sekatan sedia ada dan agak agresif adalah perlu, kata pakar.
Keputusan Singapura tidak melaksana pemutus litar jangkitan lagi melegakan, kerana jika ia dilakukan itu akan menunjukkan negara ini tidak lagi dapat mengawal penularan virus itu, kata Profesor Dale Fisher, seorang pakar penyakit berjangkit Sekolah Perubatan Yong Yoo Lin Universiti Nasional Singapura (NUS) semalam.
"Namun saya percaya, akan ada pemutus litar jika tiada vaksin," ujar Profesor Fisher, yang mempengerusikan Rangkaian Amaran Penularan dan Respons Global di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Beliau berkata kadar vaksinasi Singapura yang agak tinggi - lebih 30 peratus penduduk, termasuk yang sudah menerima dos pertama - adalah satu tindakan penting yang membantu negara ini mengelak pelaksanaan satu lagi tempoh pemutus litar.
Antara trend Covid-19 yang membimbangkan di Singapura ialah kelompok pantas membesar, seperti kelompok terbesar di Lapangan Terbang Changi - yang berkembang kepada 87 kes dalam hanya dua minggu - dan jumlah kes tiada kaitan yang bertambah serta kelompok aktif.
Namun, jika memasuki semula tempoh pemutus litar pihak berkuasa akan mempunyai masa untuk benar-benar memahami apa sedang berlaku dalam masyarakat dan ruang untuk kemudahan penjagaan kesihatan pulih semula, ujar Profesor Teo Yik Ying, dekan Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock NUS, dalam satu webinar.
Webinar itu dianjurkan Sekolah Perubatan Yong Loo Lin dan dihoskan oleh Profesor Madya David Allen, dengan panelis Dr Louisa Sun, konsultan bersekutu pasukan penyakit berjangkit di Hospital Universiti Nasional (NUH) dan Hospital Alexandra, serta Profesor Madya Hsu Li Yang, naib dekan kesihatan global di Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock.
Para pakar itu meneliti sekatan yang dikenakan sekarang, seperti peralihan ke pembelajaran dari rumah (HBL) bagi sekolah, yang dilaksana untuk berwaspada kerana varian B1617 virus Covid-19 lebih kemungkinan menjangkiti kanak-kanak.
Menurut Profesor Teo, HBL bukan satu strategi jangka panjang. Sebaliknya, vaksinasi kanak-kanak cara lebih berdaya kekal untuk melindungi kanak-kanak pada jangka panjang. Di Singapura, remaja berusia 12 hingga 15 tahun kini boleh mendapatkan vaksin Pfizer-BioNTech.
HBL dan penutupan sekolah akan meningkatkan ketidaksamaan sebab keluarga yang dapat menangani keadaan itu akan lebih cemerlang, sementara ibu bapa lain mungkin bergelut dengan teruk untuk memastikan anak mereka mengikuti kurikulum sekolah dan memantau mereka.
Strategi lain, seperti ujian rutin terjadual, yang baru-baru ini diluaskan bagi meliputi semua pelawat ke tapak binaan, juga bukan strategi jangka panjang berdaya maju sebab kosnya tinggi, ia tidak mudah dilaksana dan mendatangkan hasil rendah, tambah Profesor Hsu.