KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) sedang bekerjasama rapat dengan pengeluar vaksin Covid-19 dari Amerika Syarikat, Novavax bagi mempermudahkan penyerahan pengawalseliaan bagi vaksin tersebut.
Garis masa semakan akan bergantung kepada butiran penyerahan oleh syarikat itu kepada HSA.
Menteri Negara Kanan Kesihatan, Dr Janil Puthucheary, menekankan meskipun terdapat keperluan untuk mempermudahkan akses kepada vaksin tepat pada masanya, penilaiannya daripada sudut saintifik berhubung mutu, keselamatan dan keberkesanan tidak boleh ditolak ansur.
"Para individu yang mempunyai alahan terhadap vaksin mRNA boleh memilih untuk menunggu bagi vaksin Novavax yang telah diperolehi MOH dan dijangka diterima menjelang akhir tahun ini," kata Dr Janil.
Dalam pada itu, Dr Janil menambah individu yang telah menerima satu dos vaksin mRNA Covid-19 tetapi tidak boleh menerima dos kedua akibat reaksi alahan, telah diundang untuk mengambil vaksin Sinovac-CoronaVac.
MOH juga katanya telah menubuhkan program kesihatan awam khusus agar mereka divaksinasi di klinik dekat hospital awam bagi pemantauan rapi, memandangkan reaksi alahan yang mereka alami sebelum ini.
"Para individu yang telah menerima satu dos vaksin mRNA dan kemudian menamatkan proses vaksinasi dengan mengambil vaksin Sinovac-CoronaVac akan diterima sebagai telah mengambil vaksinasi penuh," ujarnya.
Menyentuh tentang vaksin Sinovac pula, Dr Janil berkata sehingga 5 Julai lalu, syarikat itu telah menyerahkan kepada HSA butiran kritikal yang diminta agensi itu bagi kelulusan Laluan Akses Khas Pandemik (PSAR).
Beliau menambah HSA sedang menjalankan semakan rapi semakan rapi dan terperinci data yang ada dan berharap untuk menamatkan penilaian sebelum akhir bulan Ogos.