PASUKAN Pertahanan Awam Singapura (SCDF) sedang menyiasat dua video yang dimuat naik ke media sosial yang menunjukkan sebuah dormitori SCDF dalam keadaan berselerak.
Pengarah Ehwal Awam SCDF, Kolonel Abdul Razak Raheem berkata SCDF memandang serius kejadian itu dan akan menyiasatnya dengan teliti.
"Kami di SCDF juga risau tentang kejadian ini, sama seperti orang ramai yang menyaksikan video itu dan orang awam. Kami akan menyiasat dan memberitahu anda hasilnya," katanya.
Menekankan bahawa ia merupakan kejadian terpencil, Kolonel Abdul Razak berkata:
"(Kejadian ini) tidak mencerminkan budaya, disiplin, dekorum dan kelakuan pegawai SCDF, baik pegawai tetap dan pegawai Perkhidmatan Negara (NSF) di barisan hadapan mahupun anggota kerahan NS."
Beliau berkata demikian kepada media ketika turun padang semasa kebakaran kilang di Joo Koon Crescent pagi tadi.