Subuh
5:58
Syuruk
7:15
Zuhur
1:19
Asar
4:32
Maghrib
7:21
Isyak
8:30
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Vivian: Jalinan kukuh, rapat SG-KL mudahkan hubungan dua hala dikekal

May 20, 2022 | 05:30 AM



DR BALAKRISHNAN berkata Singapura dan Malaysia menikmati hubungan kukuh dan rapat yang mampu mengharungi pandemik Covid-19.



Hubungan rapat sedemikian telah memudahkan Singapura mengekalkan hubungan dua hala dengan negara jirannya itu, walaupun terdapat beberapa perubahan dalam kerajaan Malaysia sejak pilihan raya umum 2018.



"Kekuatan hubungan dua hala, keakraban interaksi telah diperkukuh, dan tahap kepercayaan telah meningkat secara langsung semasa pandemik Covid-19," katanya, lapor The Straits Times.



"Hakikat bahawa kita boleh bekerjasama untuk saling menyokong dan membantu pada saat-saat genting, membuat perbezaannya.



"Dari segi hubungan politik dua hala, ia kuat, ia rapat, kita boleh saling dipercayai."



Semasa lawatannya, Dr Balakrishnan telah diperkenan menghadap Timbalan Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang juga Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah.



Beliau turut bertemu Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, dan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang merupakan Perdana Menteri Malaysia sebelum ini.



Semasa taklimat media itu, Dr Balakrishnan ditanya sama ada mencabar bagi Singapura untuk mengukuhkan hubungan dua hala di tengah-tengah ketidaktentuan dan ketidakpastian keadaan politik di Malaysia.



Walaupun beliau mengakui bahawa politik Malaysia sedang melalui "masa yang mencabar dan rumit" sejak 2018, beliau menyatakan hubungan antara dua negara jiran itu telah lama terjalin, dan beliau telah mengenali Datuk Ismail Sabri dan Datuk Hishammuddin selama hampir dua dua dekad.



"Hubungan ini telah melalui kedua-dua masa baik dan masa sukar. Jadi ia adalah hubungan yang rapat," katanya.



"Menjadi rakan, mempunyai sejarah interaksi dan penglibatan yang lama, memastikan kita boleh berkomunikasi dengan berkesan tanpa salah faham, dan kita juga boleh bekerjasama dengan berkesan dan menikmati hasil projek yang saling membawa manfaat bersama.



"Jadi secara keseluruhannya, saya masih akan menyifatkan hubungan kami sebagai rapat, boleh diharap, boleh dipercayai."



Projek dua hala termasuk laluan Sistem Transit Laju (RTS) Johor Bahru- Singapura, yang sedang dalam pembinaan, dan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang dibatalkan, turut dibincangkan.



Beliau berkata "kemajuan yang baik" telah dibuat pada RTS, yang akan meningkatkan hubungan darat antara Johor dengan Singapura.



"Kami sedang melihat, dan berharap perkhidmatan penumpang sepenuhnya dapat bermula menjelang akhir 2026," katanya.



Mengenai projek HSR yang telah dibatalkan, beliau berkata:



"Di pihak Malaysia, mereka sedang meneroka beberapa idea baru."



Pemerintah Singapura akan menunggu dan mengkaji cadangan baru itu, tambahnya.



Dr Balakrishnan mengulangi bahawa kedua-dua negara telah menjadi rakan kongsi yang boleh dipercayai semasa wabak Covid-19.



"Tempoh dua tahun lalu adalah sukar bagi rakyat kedua-dua negara, tetapi satu elemen utama yang telah dicapai adalah hakikat bahawa kedua-dua Malaysia dan Singapura telah menjadi rakan kongsi yang mantap, boleh diharap dan boleh dipercayai sepanjang krisis ini," katanya.



Rantaian bekalan telah dapat terus dibuka sepanjang pandemik, dengan aliran perkhidmatan penting, makanan, ubat dan logistik dikekalkan tanpa gangguan.



Kedua-dua negara, kata Dr Dr Balakrishnan, juga sedang mengkaji bidang kerjasama baru termasuk pertanian berteknologi tinggi, meningkatkan bekalan makanan, ekonomi digital dan ekonomi kreatif.




"Kekuatan hubungan dua hala, keakraban interaksi telah diperkukuh, dan tahap kepercayaan telah meningkat secara langsung semasa pandemik Covid-19.



Hakikat bahawa kita boleh bekerjasama untuk saling menyokong dan membantu pada saat-saat genting, membuat perbezaannya.



Dari segi hubungan politik dua hala, ia kuat, ia rapat, kita boleh saling dipercayai."
- Dr Vivian Balakrishnan, Menteri Ehwal Luar, mengenai hubungan dengan Malaysia.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >