Vivian lawat Bangladesh

MENTERI Ehwal Luar Vivian Balakrishnan kini berada di Bangladesh bagi satu lawatan dua hari, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) menerusi satu kenyataan hari ini (3 November).

Dr Balakrishnan akan bertemu dengan Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina serta Menteri Ehwal Luar Bangladesh Mahmood Ali.

Beliau juga akan berkunjung ke Cox's Bazar esok, kata MFA.

Sebelum ke Bangladesh, Dr Balakrishnan berada di Afrika Selatan untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Menteri Persatuan Lingkungan Lautan Hindi (IORA) yang ke-18.

Semasa mesyuarat itu, beliau menekankan pentingnya terus berusaha dengan kerjasama serantau, memelihara aturan antarabangsa yang berdasarkan peraturan serta mengukuhkan IORA sebagai sebuah pertubuhan.

Dr Balakrishnan juga telah bertemu dengan Menteri Perhubungan dan Kerjasama Antarabangsa Afrika Selatan Lindiwe Nonceba Sisulu. Mereka mengesahkan lagi hubungan baik antara Singapura dengan Afrika Selatan.