PENCEROBOHAN ke atas Ukraine menunjukkan bagaimana negara yang lebih mudah diserang boleh ditakluki dalam masa yang singkat, terutama sekali apabila berdepan dengan pihak yang lebih berkuasa.
Ini merupakan realiti bagi semua negara kecil, dan Singapura tidak terkecuali, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.
Justeru, penting untuk memastikan Singapura sentiasa mampu mempertahankan diri sendiri, tambahnya.
"Undang-undang antarabangsa dan prinsip diplomatik memang penting. Namun, ia tidak mencukupi.
"Kita tidak boleh bergantung kepada (negara) lain untuk melindungi negara sendiri. Justeru, kita tidak boleh hilang keupayaan untuk mempertahankan dan melindungi diri sendiri," kata Dr Balakrishnan.
Pelaburan secara konsisten terhadap pembangunan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) serta mengekalkan Perkhidmatan Negara (NS) sebagai elemen asas kewarganegaraan merupakan antara usaha memastikan Singapura terus bersedia, ujarnya.
Pada masa yang sama, negara kecil juga perlu mengelak daripada menjadi 'korban' di tengah-tengah perbalahan politik antara negara yang lebih besar.
Sementara mengekalkan hubungan yang baik dengan semua negara jiran dan kuasa besar dunia, tindakan yang diambil Singapura akan berasaskan prinsipnya sendiri dan bukan berpihak kepada mana-mana negara.
"Apabila timbulnya satu situasi, penilaian dan tindakan kami akan berasaskan prinsip yang jelas dan dipegang secara konsisten yang selaras dengan keperluan nasional jangka panjang kita sendiri.
"Kita tidak akan memilih pihak tertentu, tetapi akan mempertahankan prinsip," katanya.
Dasar ehwal luar negara yang dilaksanakan dengan jelas dan konsisten juga boleh membantu negara lain yang mempunyai prinsip yang sama, kata Dr Balakrishnan.
Singapura jarang mengenakan langkah sekatan terhadap negara lain, namun ia merancang untuk bertindak selaras dengan negara lain yang memiliki pandangan yang sama berkaitan keputusan Russia menyerang Ukraine dan akan mengenakan langkah sekatan yang sesuai.
Menyentuh tentang keadaan warga Singapura di Ukraine, isu yang turut dikemukakan Anggota Parlimen (AP) Dr Lim Wee Kiak dan Encik Zhulkarnain Abdul Rahim dalam soalan mereka, Dr Balakrishnan menjelaskan Kementerian Ehwal Luar (MFA) telah menasihatkan semua warga Singapura untuk meninggalkan Ukraine secepat mungkin melalui penerbangan komersial dalam dua notis yang dikeluarkan pada 26 Januari dan 13 Februari.
Tujuh warga Singapura telah meninggalkan negara tersebut sebelum pertempuran bermula dan tiga lagi telah menyeberang sempadan ke Poland sejak Russia menyerang, katanya.
Pihak MFA juga kini berhubungan dengan lapan warga Singapura yang masih di sana, dan sedang berusaha untuk menghubungi seorang lagi.
MFA kini mencari jalan untuk memastikan mereka dapat meninggalkan negara itu, kata Dr Balakrishnan.
Beliau menambah bahawa warga Singapura yang telah menyeberangi sempadan ke Poland bersama konvoi warga Malaysia dan menyampaikan penghargaannya kepada pihak Malaysia.
"Selaras dengan itu, saya pasti kita akan terus bekerjasama di sana, mencari warga Asean lain dan jika mampu, boleh 'tumpang' atau bergotong-royong untuk membantu satu sama lain.
"Ini merupakan detik yang menjadi peluang bagi Asean mempamerkan nilai dan perpaduan bersama," katanya.