TIKET bas Laluan Perjalanan Bagi Orang Sudah Divaksinasi (VTL) (Darat) antara Singapura dan Malaysia merentas Koswe akan mula dijual pada 8 pagi hari ini.
Pelawat perlu membeli tiket bas VTL yang ditetapkan itu sekurang-sekurangnya tiga hari sebelum berangkat, kata Pejabat Perdana Menteri (PMO) semalam.
Tiket dibuka untuk penjualan 30 hari sebelum tarikh perjalanan.
Singapura dan Malaysia semalam mengumumkan VTL (Darat) antara dua negara itu akan bermula Isnin ini, bagi warga mereka yang bekerja di negara jiran untuk mengunjungi keluarga mereka.
Pelawat harus merupakan warga, Penduduk Tetap (PR) atau pemegang pas tempoh panjang (LTPH) negara yang mereka hendak masuk.
Dalam fasa pertama VTL (Darat) itu, pelawat perlu menaiki bas VTL yang ditetapkan.
Pelawat tiba menerusi pengangkutan selain bas VTL, misalnya pengangkutan privet atau berjalan merentas Koswe, dikehendaki mematuhi langkah sekatan sempadan sedia ada, termasuk menjalani Notis Jangan Keluar Rumah tujuh hari.
Sebanyak dua perkhidmatan bas ditetapkan bagi memasuki Singapura menerusi Koswe: Transtar Travel Pte Ltd dan Handal Indah Sdn Bhd, yang juga dikenali sebagai Causeway Link.
Transtar berlepas dari Terminal Bas Larkin Sentral dan tiba di Pusat Tukaran Bas Sementara di Woodlands, manakala Causeway Link berlepas dari Larkin dan tiba di Terminal Queen Street.
Transtar dan Handal masing-masing akan mengendali 32 perjalanan setiap hari (16 perjalanan Malaysia-Singapura dan 16 perjalanan Singapura-Malaysia), dengan kapasiti setiap bas ialah 45 orang bagi setiap perjalanan.
Ini bermakna hingga 2,880 orang dijangka keluar masuk Singapura menerusi VTL (Darat) setiap hari.
Harga tiket bagi orang dewasa ialah $15 di Singapura atau RM20 di Malaysia, dan untuk kanak-kanak $8 atau RM10.
Tiket boleh dibeli di laman Transtar Travel: https://transtar.travel, dan Handal Indah (Causeway Link): https://www.causewaylink.com.my.
Pelawat VTL (Darat) perlu diuji negatif dalam Ujian Rapid Antigen (ART) atau Reaksi Rantai Polimerase (PCR) dalam masa dua hari sebelum berangkat ke Singapura.
Ujian itu perlu diambil di makmal atau pusat bertauliah atau diiktiraf Kementerian Kesihatan Malaysia. Kanak-kanak berusia dua tahun dan ke bawah tidak perlu mengambil ujian itu.
Semua pelawat VTL (Darat) juga harus divaksinasi penuh dan perlu menyampaikan bukti digital vaksinasi yang diiktiraf pihak berkuasa Singapura, atau dikeluarkan di mana-mana negara VTL atau Singapura.
Pelawat tidak divaksinasi berusia 12 tahun dan ke bawah tahun ini boleh memasuki Singapura menerusi VTL Darat jika ditemani pelawat VTL sudah divaksinasi penuh.
Pelawat ke Singapura juga harus mengisi Kad Ketibaan SG bersama perisytiharan kesihatan elektronik menerusi laman ICA di (https://go.gov.sg/sgarrivalcard) atau menerusi aplikasi mudah alih SG Arrival Card yang boleh dimuat turun di App Store atau Google Play.
Ini perlu dilakukan sekurang-kurangnya tiga hari sebelum tiba di Singapura.
Kad Ketibaan SG ini menggantikan 'kad putih' yang telah dihentikan sejak 27 Mac tahun lalu, dan tidak lagi diterima di pusat pemeriksaan.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman https://safetravel.ica.gov.sg.
MEMASUKI SINGAPURA MENERUSI VTL (DARAT) DARI MALAYSIA
MERANCANG PERJALANAN
1. Pastikan anda sudah divaksinasi penuh dan mempunyai sijil vaksinasi sah dengan kod QR.
2. Tempah tiket bas VTL (Darat), sekurang-kurangnya tiga hari sebelum tiba.
- Pusat Pertukaran Bas Sementara Woodlands: https://www.transtar.travel
- Terminal Queen Street https://www.causewaylink.com.my
3. Mohon Pas VTP di laman https://go.gov.sg/vtl-portal, sekurang-kurangnya tiga hari sebelum tiba. Hanya bagi Pemegang Pas Tempoh Panjang (LTPH) Singapura. Warga dan PR tidak perlu.
BERSIAP UNTUK BERANGKAT
4. Hantar butiran peribadi dan perjalanan serta perisytiharan kesihatan menerusi e-khidmat Kad Ketibaan SG (https://go.gov.sg/sgarrivalcard). Sekurang-kurangnya tiga hari sebelum tiba.
5. Ambil ujian yang dikendali oleh profesional sebelum berangkat (ART atau PCR). Perlu negatif dan laporan ujian dalam bahasa Inggeris. Dalam dua hari sebelum tiba.
MENAIKI BAS
6. Siapkan dokumen (dalam bahasa Inggeris) untuk diperiksa (pasport, tiket bas VTL Darat, sijil vaksinasi, VTP (bagi pemegang pas tempoh panjang), ujian negatif sebelum berangkat, Kad Ketibaan SG yang sudah diisi)
7. Tiba di Terminal Bas Larkin Sentral 1 jam lebih awal, dan naik bas diperuntuk ke Singapura.
SETELAH TIBA
8. Muat turun aplikasi TraceTogether, daftar profil dan aktifkan aplikasi. Kanak-kanak 7-12 tahun dan mereka yang tidak boleh guna alat mudah alih boleh menerima token TraceTogether. Kanak-kanak 6 tahun dan ke bawah tidak perlu guna TraceTogether.