Encik Bali Anak Jalal, 36 tahun, yang berasal dari Sarawak antara penumpang pertama yang berangkat ke Malaysia dari Singapura di bawah skim VTL (Darat) pada Isnin (29 November)
Bercakap dengan Berita Harian, Encik Bali, yang tiba di Pusat Pertukaran Bas Sementara Woodlands sekitar 6 pagi tidak sabar pulang untuk bertemu dengan keluarganya di Johor Bahru, terutama sekali untuk menimang bayi perempuannya yang lahir lima bulan lalu, buat kali pertama.
Menjelang 6.30 pagi, ada sekitar 15 orang sedang beratur untuk menjalani pemeriksaan oleh pengendali bas, Transtar Travel.
Kakitangan syarikat bas setempat itu - antara dua syarikat bas yang diberi kebenaran mengendalikan khidmat bas di bawah skim ini - dilihat memeriksa salinan cetak dokumen yang wajar dibawa oleh bakal penumpang bas seperti Encik Bali. Ini termasuk sijil vaksinasi dan hasil ujian Covid-19.
Sekitar 1,440 warga Singapura, penduduk tetap dan pemegang pas jangka panjang di Singapura dijangka menyeberang Tambak untuk memasuki Singapura pada Isnin.
Skim VTL darat antara Singapura dengan Malaysia pada masa ini memberi keutamaan kepada warga pekerja di Singapura dan Malaysia yang tidak dapat pulang ke rumah sejak sempadan darat ditutup pada Mac tahun lalu.