Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Wakaf bukan hanya bagi golongan hartawan: Masagos

Wakaf Masyarakat Singapura akan dibuka kepada umum demi menyokong institusi agama, pembangunan asatizah dan program jangka panjang masyarakat
Jun 11, 2020 | 05:30 AM



ORANG biasa juga - bukan hanya golongan hartawan yang memiliki beberapa hartanah - boleh menyumbang kepada Wakaf Masyarakat Singapura kelak, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli Masagos Mohamad semalam.



Bahkan, segenap lapisan masyarakat dijangka akan berpeluang menyumbang kepada Wakaf tersebut, yang bertujuan untuk memperkukuh sektor agama setempat.



"Kumpulan Kerja Warga yang diterajui Encik Abu Bakar Mohd Nor dan terdiri daripada pakar-pakar daripada pelbagai bidang akan memikirkan cara untuk merealisasikan wakaf ini, supaya segenap masyarakat dapat menyumbang kepada wakaf tersebut," kata Encik Masagos.



Beliau berkata demikian dalam satu catatan Facebook selepas satu wawancara bersama deejay Mediacorp Warna 94.2 AB Shaik dan Mariam Mas'od di program Espresso Warna mengenai wawasan untuk mengumpul hartanah dalam Wakaf Masyarakat Singapura.



"Ramai pendengar yang menghantar mesej meminta perincian lanjut, terutama butiran khas untuk anggota masyarakat umum. Terima kasih!



"Saya menjelaskan bahawa bukan yang hartawan sahaja boleh menyumbang terhadap wakaf. Alhamdulillah, kami juga menerima mesej bahawa anggota masyarakat kini mula faham tujuan dan peri pentingnya wakaf ini," ujar Encik Masagos.



Wakaf Masyarakat Singapura, yang diumumkan Encik Masagos semasa Perjumpaan Hari Raya pada 5 Jun lalu, akan membolehkan anggota masyarakat mewasiatkan hartanah mereka untuk menyokong institusi keagamaan, pembangunan asatizah dan program jangka panjang masyarakat.



Dilaporkan sebelum ini bahawa Kumpulan Kerja Warga pimpinan Encik Abu Bakar, yang merupakan anggota majlis tertinggi Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), itu akan mewujudkan sistem atau rangka kerja yang berkesan dalam usaha menggalak masyarakat mewasiatkan hartanah mereka kepada wakaf tersebut.



Encik Masagos sebelum ini berkata pemilik flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) mungkin boleh mewasiatkan sebahagian peruntukan hasil penjualan flat mereka setelah meninggal dunia kepada Wakaf Masyarakat Singapura.



Menurutnya, perwakafan hartanah bagi pendanaan ini tidak hanya bagi mereka yang memiliki hartanah tambahan selain rumah sendiri malah turut dibuka kepada masyarakat secara umum yang hampir 90 peratus tinggal di flat HDB.



Dalam satu wawancara dengan media Ahad lalu, Encik Masagos juga mengusulkan agar sepertiga daripada hasil penjualan flat disalurkan kepada Wakaf Masyarakat ini selepas seseorang itu menguruskan faraid bagi ahli keluarga.



"Simpanlah flat HDB yang kita miliki hingga akhir hayat dan tidak menjualnya terlebih dahulu semata-mata untuk mendapatkan wang tunai bagi kegunaan mendadak.



"Meski kita mewariskan sebahagian hasil penjualan flat kepada anak-anak, tetapi mungkin kita boleh mewasiatkan sepertiga daripadanya kepada sistem perwakafan masyarakat ini.



"Dengan wang tunai yang diraih, kita akan dapat mengumpulkan dan membeli hartanah yang berbentuk freehold atau hak milik bebas, yang lebih kekal dan bertahan," katanya dalam wawancara itu sebelum ini.



Semalam, Encik Masagos mengulangi gesaannya agar masyarakat terus mempertingkatkan diri dengan kemahiran yang bermanfaat dan tidak terhambat oleh wabak Covid19.



"Moga kita yakin dengan tekad kita bersama dan kita dapat hidup lebih makmur lalu memberi sumbangan berterusan di dunia dan di akhirat," ujar Encik Masagos.




Kumpulan Kerja Warga yang diterajui Encik Abu Bakar Mohd Nor dan terdiri daripada pakar-pakar daripada pelbagai bidang akan memikirkan cara untuk merealisasikan wakaf ini, supaya segenap masyarakat dapat menyumbang kepada wakaf tersebut... Saya menjelaskan bahawa bukan yang hartawan sahaja boleh menyumbang terhadap wakaf. Alhamdulillah, kami juga menerima mesej bahawa anggota masyarakat kini mula faham tujuan dan peri pentingnya wakaf.
- Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >